26Januari2020

Agenda Daily

Calon…ada cuba tawar ‘ wang besar’

Apakah yang paling wajar dimuatkan dalam ruangan ini jika bukan fasal pilihanraya? Begitulah yang saya fikirkan, tetapi lama betul terpaksa difikirkan di mana hendak bermula. Cerita mengenai calon lama yang tak ditukar walaupun itu adalah harapan pengundi, sudah di paparkan dalam media harian.

 

Nak paparkan mengenai calon-calon baru khususnya calon ‘payung terjun’ pun dah tak menarik lagi. Begitu juga perihal calon di kalangan anak-anak yang menggantikan bapa masing-masing – pun sudah diketahui umum.

Mungkin agak masih relevan ialah mengenai perihal calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kawasan Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin yang menentang Datuk Aziz Sheikh Fadzir .

Seperti yang dilaporkan, Zulkifli berhadapan dengan masalah dirinya sendiri yang dianggap melanggar peraturan Suruhanjaya Pilihanraya kerana tidak menghantar penyata kewangannya selepas bertanding di kerusi Parlimen Kuala Langat, pada tahun 2004.

Kesalahan itu mengakibatkan beliau disenaraihitamkan di Selangor. Apabila disenaraikan sedemikian, beliau dilarang menyertai sebarang pilihanraya untuk tempoh lima tahun.

Bagaimanapun, ketika proses penamaan calon pada 24 Februari lepas, maklumat mengenai senaraihitam ini tidak sampai ke pengetahuan pihak Datuk Aziz dan juga Pengurus Pilihanraya di kawasan berkenaan menyebabkan pencalonan beliau diterima.


Oleh kerana ‘nasib’ di Kulim-Bandar Baharu masih belum dapat dipastikan, orang ramai, khususnya para pengundi masih tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya apakah kesudahan cerita ini.

Hangatnya semakin membara apabila pihak SPR sendiri telah membuat laporan polis mengenai perkara tersebut.

Semasa menulis ini, saya sudah ronda-ronda beberapa kawasan Parlimen. Berdasarkan pengamatan yang sedang berlaku pada masa kini ingatan saya melayang jauh kepada pengalaman lama dalam pilihanraya 1995 dan penggal keduanya pada tahun 1999.

Saya bercerita beberapa pengalaman semasa berkempen kepada rakan-rakan wartawan yang sedang sibuk membuat liputan. Masa makan yang sepatutnya mengambil masa 15 minit sahaja sudah menjadi lebih daripada dua jam. Salah seorang rakan berkenaan memberitahu: “Pengalaman macam nilah yang patut ditulis.” Renung punya renung, saya setuju.

Pada tahun 1995, adalah pertama kali saya menjadi calon. Sebelum itu, menjadi ahli jentera kempen pilihanraya memang ada pengalaman beberapa kali. Saya dicalonkan di kawasan Parlimen Hulu Langat, tetapi cawangan saya di Bandar Baru Bangi dan beberapa cawangan lain baru beberapa bulan sahaja dipindahkan ke Parlimen berkenaan dari kawasan lama iaitu Sepang. Maklumlah, dilihat sebagai ‘orang baharu’, ada individu tertentu yang tidak senang dengan kehadiran saya.

Maka itu, akibatnya, poster-poster saya ‘hilang’. Yang dah naik di tiang dan pokok di tepi jalan, juga ghaib dalam masa yang sungguh singkat. Sebagai orang yang tidak pernah menghadapi keadaan seperti itu, saya amat berterima kasih kepada semua jentera kerja yang telah memberikan kerjasama sehingga kempen dapat berjalan dengan lancar.

Tidak mengenali jentera-jentera kerja dan ketua-ketua kampung serta segala macam pemimpin meliputi parti politik dan badan bukan kerajaan, saya berhadapan dengan segala macam masalah. Oleh kerana belum kenal banyak orang, ada yang menyangka saya tidak mesra rakyat. Ada juga yang mencemik kerana melihat saya terlalu muda iaitu baru berusia 36 tahun ketika itu.

Untuk ‘terasa’ lebih tua daripada usia, saya mula menggunakan panggilan Haji di hadapan nama saya. Dengan ‘tittle’ haji itu, rasa tualah sikit. Sejak dari sekolah menengah lagi, saya amat gemar memaki kopiah, tetapi apabila bertanding perlu memakai songkok hitam. Kopiah putih dikaitkan dengan parti pembangkang dan songkok hitam pula lazimnya digunakan oleh orang UMNO.

Rambut yang mencecah ke leher terpaksa dipotong dan jangkut sejemput di dagu perlu dikemaskan. Memakai baju-T adalah dilarang sama sekali. Seluar jeans atau jaket juga tidak dibenarkan.

Baju kemeja terpaksa beli yang baru. Kasut berhabukpun kena ganti. Nasib baik ada pihak yang ‘huloq’ untuk bayar bil – jika tidak, pengsan juga dibuatnya.

Dalam sibuk-sibuk berkempen, pada suatu hari, saya ‘terperasan’ ada sebuah kereta mewah besar yang sentiasa mengikut konvoi kenderaan yang mengiringi pergerakan saya. Saya tidak mengenali siapa yang mengekori pergerakan kami itu. Bagaimanapun, pada hari kedua, saya memberi peluang kepada pihak berkenaan menemui saya setelah dihalang oleh jentera parti yang mengikuti saya.

Tokoh dalam kereta yang bercermin gelap itu, memperkenalkan dirinya tetapi saya tidak pernah mengenalinya sebelum ini. Sampai sekarangpun saya masih belum mahu mengenalinya.

Lelaki berkacamata hitam itu kemudiannya membuka beg ‘james bond’ dan menawarkan saya semua wang yang ada sebagai perbelanjaan untuk menampung perbelanjaan berkempen. Saya menolak dan menyuruhnya supaya menyerahkan wang itu kepada pihak bahagian, tetapi beliau tidak mahu.

Esoknya, saya mendapat tawaran yang lebih hebat iaitu jumlah semalam dan kereta mewah yang dinaiki lelaki yang sama. Beliau menawarkan kenderaan itu untuk kemudahan pergeranan saya. Saya suruh lelaki itu beredar dan jangan kacau saya lagi. Walaupun ketika itu saya hanya menggunakan MPV Mazda Bongo, belum lagi tergerak di hati untuk memandu kereta mewah.

Sebenarnya, seorang rakan telah ‘sponsor’ atau mungkin meminjam kenderaan rakan-rakannya untuk kemudahan saya dan jentera kerja. Ada kenderaan sedan biasa, ada van dan ada juga pacuan empat roda.

Yang hendak menjadi cerita ialah perihal sebuah pacuan empat roda tiba-tiba ‘ghaib’ dalam masa dua jam sahaja diterima daripada wakil rakan berkenaan. Esoknya saya memberitahu rakan itu yang kenderaan tersebut sudah tiada. Rakan itu sebaliknya memarahi saya agar menumpukan perhatian kepada kempen dan jangan bimbang dengan kenderaan tersebut.

“Jip tu ada insuranslah… kau jangan fikir hal itu. Tahulah aku macam mana nak buat,’’ begitu rakan berkenaan meninggikan suara ketika kami berhubung melalui telefon bimbit.

Pada pagi hari mengundi, kenderaan berkenaan muncul kembali dan diletakkan di depan pejabat UMNO bahagian di Kajang. Menurut jentera kerja yang menjaga pejabat sepanjang malam, kenderaan tersebut dihantar selepas waktu Subuh. Tidak lama kemudian, saya tahu ke mana hilangnya jip bertuah itu.

Pilihanraya 1999 lagilah mengerikan kerana orang UMNO terpaksa berhadapan dengan bekas orang UMNO atau ringkasnya ketika itu Barisan Nasional terpaksa berhadapan dengan Keadilan.

Pada tahun 1995 saya berhadapan dengan orang bekas UMNO juga iaitu Haji Mohd. Zainal Abidin Mutalib yang bernaung di bawah parti Semangat 46. Ketika itu saya hanya gabra kerana pertama kali bertanding sedang pada tahun 1999 sedikit pucat kerana BN memang berhadapan dengan masalah di seluruh Negara.

Saya lagi gelisah sebelum penamaan calon kerana Menteri Besar Selangor ketika itu, Datuk Abu Hassan Omar hanya mengenali saya kerana jawatan dan memang sebelum daripada itu hanya saya yang kenal beliau sedangkan beliau tidak mengenali saya kerana walaupun 11 tahun menjadi wartawan, hanya dua kali saya membuat liputan majlis beliau. Gabra dan tertanya-tanya, lekat atau tidak untuk penggal kedua sebab saya tak ada ‘kabel’ langsung dengan beliau, tetapi Allah telah menetapkan untuk saya meneruskan tanggungjawab yang diberikan, maka bertandinglah sekali lagi.

Ada juga orang tertentu yang mahukan saya tidak tercalon. Pihak ini bertambah ‘angin’ apabila saya bertanding lagi. Apabila sampai poster untuk diedarkan – hilang lagi. Sebahagiannya kemudiannya dijumpai terapung-apung di Sungai Hulu Langat.

Terima kasih kepada rakan-rakan, termasuk dari Gerakan Belia 4B Hulu Langat yang mempunyai bilik gerakan sendiri kerana banyak memantu bilik-bilik gerakan yang telah ‘pancit’.

Jentera harus terus digerakkan. Sarapan pagi tidak lagi di rumah, tetapi di warung-warung’ Peniaga dah mula menyediakan jualan untuk esok kira-kira jam 2.00 atau 3.00 pagi, saya baru pulang ke rumah. Menghadiri sehingga 15 kegiatan sehari adalah lumrah.

Makan, sembahyang, mandi dan sebagainya di mana-mana sempat sahaja. Pelawaan daripada sesiapa sahaja sukar untuk ditolak. Kadang-kadang, terpaksa bersarapan tiga kali sehari, makan tengahri dua kali, minum petang setiap jam dan makan malam ikut kemampuan perut menanggung sahaja.

Ke mana sahaja pergi, ada sahaja jamuan yang disediakan. Tak makan tak boleh, nanti dikatakan tak sudi pula. Mahu tak mahu, telan ajalah. Nak jaga hati jentera dan pengundi… sebat je..!

Ada pula kenalan baharu yang datang menemui saya sehari selepas memenangi pilihanraya berkenaan. Kenalan itu adalah kontraktor besar. Beliau mengajak saya bercuti di Jakarta selama seminggu. Beliau mencadangkan Jakarta sebagai destinasi rehat dan mengembalikan kesegaran badan.

Teringat kembali kisah rakan yang sediakan macam-macam kenderaan, sampai sekarang tidak mahu ‘menuntut’ apa-apa daripada pertolongannya itu. Kami masih berhubungan tetapi beliau tidak suka jika saya membangkitkan pertolongan dan bantuannya itu.

Tokoh yang cuba ‘huloq’ sesuatu itu dah ghaib dan harap-harap dia tidak mencari calon lain pula, maklumlah pelaburan harus diteruskan!

Salah seorang rakan dari GB4B iaitu Ismail Sani, kini dicalonkan pula untuk bertanding untuk kerusi negeri kawasan Dusun Tua. Inilah balasan tunai daripada Allah kerana keikhlasannya membantu dan menjalankan tugas.

Rakan yang mempelawa saya ke Jakarta itupun kini sedang berhempas pulas untuk bergelar YB pada pilhanraya 8 Mac nanti! - 2/3/2008

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 249  tetamu dalam talian