07Julai2020

Agenda Daily

Berlumba tukar parti gara-gara nak jadi ketua kampung

Pada malam 20 Mac, Ahli Parlimen Kuantan, Fauziah Salleh merungut-rungut kerana tidak mendapat ‘layanan’ baik daripada Majlis Perbandaran Kuantan yang mengamalkan dasar ‘tutup pintu’ terhadapnya.

Dalam sidang akhbar di pejabatnya, beliau memberitahu bahawa MPK juga tidak pernah menjemput beliau menghadiri sebarang mensyuarat yang diadakan. 

“Saya terasa macam menjadi ahli parlimen kelas dua kerana seolah-olah diketepikan dalam pelbagai kegiatan,’’ ujarnya.

Demikianlah hal. Mungkin ahli yang berhormat baru itu belum dan tidak jelas mengenai perjalanan mesyuarat di MPK atau mana-mana kerajaan tempatan di Negara ini. Mesyuarat majlis kerajaan tempatan dihadiri oleh ahli-ahli majlis.

Ahli-ahli majlis pula terdiri daripada ahli-ahli dewan undangan negeri dan wakil-wakil parti memerintah. Wakil rakyat parti pembangkang tidak menganggotai majlis kerajaan tempatan. Malah, ahli parlimen parti memerintahpun tidak menganggotai majlis berkenaan atas kapasitinya sebagai ahli parlimen.

Jika ahli parlimen kerajaan memerintahpun tak menjadi ahli mesyuarat, ahli parlimen pembangkang faham-faham ajelah…. Inilah kenyataan yang perlu dilalui.

Ada juga individu-individu tertentu yang menjadi ahli majlis di pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum bergelar YB di peringkat negeri. Apabila menjadi YB, kerusi ahli majlis terlepas dengan sendirinya. Ini kerana, negeri itu kini diperintah oleh kerjaan pimpinan pembangkang.. Maka dapat gelaran YB, kerusi ahli majlis pula yang terlepas.

Itu kisah di Kuantan. Di daerah Hulu Langatpun ada cerita menarik juga untuk dicatatkan dalam ruangan ini. Ceritanya mengenai seorang sahabat yang semangatnya untuk ‘berkhidmat’ kepada masyarakat amat tinggi.

Sahabat lama ini adalah kenalan saya sejak 28 tahun lalu. Kami pernah bekerja sebumbung suatu ketika dahulu, tetapi beliau cepat meningkat. Sewaktu saya baru bergaya dengan Proton Saga 1.3, beliau sudah memiliki Mercedes Benz. Semasa saya menyewa rumah, beliau sudah memiliki beberapa buah rumah. Itulah kayu ukurannya.

Pada suatu petang pada tahun 1995, dalam perjalanan pulang dari mesyuarat ahli jawatankuasa UMNO Bahagian di Kajang, kami singgah ‘pekena’ teh tarik di tepi jalan. Ketika minum, sahabat itu bercerita penuh keyakinan bahawa beliau akan bertanding kerusi DUN di Kajang.

Lima tahun sebelum itu, seorang pemimpin wanita yang berjiranan dengan sahabat itu juga pernah memberitahu bahawa beliau akan bertanding di kerusi yang sama. Sebagai wartawan ketika itu, saya cuba memberi publisiti semampu mungkin. Maklumlah, sebagai wartawan, hanya mampu menghasilkan berita – sama ada disiar atau sebaliknya, adalah di tangan orang lain pula.

Wanita berkenaan tidak berpeluang menjadi calon, begitu juga dengan sahabat tadi tidak terpilih juga. Ada seperkara yang mungkin mereka tidak faham bahawa kerusi DUN Kajang adalah milik MCA sedangkan mereka dari UMNO.

Itu cerita dahulu. Muktahirnya, sahabat tadi mengikut rakan-rakan ketua kampung berhampiran dengan kampungnya, telah meninggalkan UMNO dan menyertai Parti Keadilan Rakyat.

Seorang ketua kampung memberitahu saya kononnya sahabat tadi menukar parti untuk menyesuaikan diri dengan pucuk pimpinan negeri Selangor yang diketuai PKR.

“Apa maksud menyesuaikan diri?’’ saya bertanya.

“Yalah….. Menteri Besar dari PKR, jadi diapun ikut PKR juga. Dia melabur….. nak jadi ketua kampung,’’ katanya. Barulah saya faham.

Saya mudah faham kerana sahabat ini memang sudah lama mengidamkan jawatan ketua kampung. Beliau rasa, dengan jawatan ketua kampung, beliau boleh berkhidmat dengan lebih meluas.

Usaha sahabat ini nampak cantik, tetapi belum tentu mudah berhasil. Khabarnya, ketua kampung yang sedang berkhidmatpun dah tukar parti juga. Beliau lagi bingkas – tak masuk PKR, tetapi menyertai PAS kerana Ahli Dewan Undangan Negerinya dari parti itu.

YB dari PAS inilah yang akan membuat ‘ recommendation’ kepada kerajaan negeri mengenai perlantikan ketua kampung kelak.

Apabila tersebar cerita ketua kampung yang tukar parti, ketua-ketua kampung yang lain lantas mendapatkan penjelasan daripadanya. Selamba je beliau menjawab: ”Kalau dia melabur, kitapun melabur juga.”

Kisah ketiga yang hendak dicatatkan minggu ini ialah perihal seorang pesara kerajaan yang jambatan di depan rumahnya roboh akibat hakisan setelah hujan turun berturut-turut hari.

Bekas pegawai kerajaan ini baru pulang ke kampungnya. Oleh sebab belum mengenali wakil rakyatnya, pesara ini menghubungi saya bertanya sama ada boleh temukan dia dengan YB baru atau sebaliknya.

Saya beritahu, tiada masalah langsung, kerana kami memang rapat. Dalam perbulan telefon, beliau berkata, mahu mendapat bantuan daripada YB untuk menggantikan jambatan tersebut.

Hendak cuba bolehlah, begitu saya katakan padanya. Beliau rasa hairan dan bertanya kenapa saya katakana begitu sedangkan YB itu mewakili BN.

“Yalah, YB kita dari BN, tetapi kerajaan negeri bukan BN lagi,’’ begitu saya terangkan lagi.

“Kalau macam tu kita minta pada YB Parlimenlah…,” katanya. Saya beritahu dia bolehlah berjumpa sebab sayapun kenal Ahli Parlimen tu ketika beliau menjadi pensyarah lagi.

Tiba-tiba pesara itu tersedar sesuatu dan berkata, “La…. Kerajaan pusat BN tetapi Ahli Parlimen pula pembangkang.’’ Saya cuma ketawa dan pesara itu tumpang sekaki.

Walaupun sudah lima tahun tidak bergelar YB, masih banyak orang yang datang meminta pandangan dan nasihat. Kisah keempat yang saya catatkan ini berkaitan dengan seorang usahawan yang mendapat projek kerjaan negeri melalui majlis perbandaran daerah.

Beliau mendapat tawaran mengenai satu projek beberapa hari sebelum Parlimen dibubarkan. Oleh kerana semua pihak sibuk terlibat dengan pilihanraya, kontraktor kecil ini pula menangguhkan projeknya untuk dimulakan selepas pilihanraya.

Pilihanraya dah berlalu, tetapi dia datang berjumpa saya meminta pandangan sama ada mahu buat atau tidak projek berkenaan. Kalau diteruskan, dia khuatir kerajaan negeri yang sudah bertukar tangan tidak akan membayarnya.

Nasihat saya hanya satu kepadanya iaitu pergilah tanya kepada pihak yang menawarkan projek itu – masih sah diperlakukan atau sebaliknya kerana yang bertukar pemimpin hanya di peringkat negeri sedangkan di daerah tidak.

Dahulu, bermula sebagai wartawan dan apabila meninggalkan jawatan ahli dewan, hanya saya seorang sahaja yang tidak ketahuan, tetapi kini, rupa-rupanya banyak juga yang tak ketahuan… malah sudah ada yang naik sawan.- 22/3/2008

 

 

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 432  tetamu dalam talian