18Jun2019

Berkenalan jiran belakang rumah di Tokyo

“Asalamualaikum,’’ demikian seseorang menegur saya dan Ridhwan Syam ketika kami bersuamuka dalam satu majlis makan malam di Tokyo dalam kunjungan pertama kali pada tahun 1987. Kami terus menjawab salamnya.

 

Melihatkan perawakannya dengan kulit sawa-matangnya, saya terus bertanya “saudara dari Malaysia ke?

Lelaki berkenaan menjawab benar dan memperkenalkan dirinya sebagai Razak. Saya dan Ridhwan saling memperkenal diri. Kami dari Selangor.’’ Ridhwan pula bersuara. “Sayapun dari Selangor.. Kat Kajang,’’ kata Razak.

Saya terkejut dan memberitahunya kami tidaklah berjauhan kerana saya tinggal di Bandar Baru Bangi. Razak pula terkejut kali ini dan memberitahu sebenanrya rumah diapun di Bandar Baru Bangi. Saja-saja sebut Kajang sebab semua orang tahu di mana bandar itu yang masyhur kerana satenya itu. Kalau sebut Bandar Baru Bangi, belum semua orang tahu.

Razak, Ridhwan dan saya sendiri bertambah terkejut. ‘Saya tinggal di Jalan 6A/3, rumah saudara pula di mana,’’ saya bertanya lagi, lantas Razak ketawa kerana katanya rumahnya di Jalan 6A/5 iaitu di belakang rumah saya.

Kami ketawa lagi sambil berpelukan bermaaf-maafan kerana tidak berkenalan sebelum ini walaupun dipisahkan oleh pagar deretan rumah sahaja. Seorang rakan rakyat Jepun yang menjadi wakil BERNAMA di Tokyo turut ketawa. Beliau geleng kepala. “Tak kenal,’’ katanya senyum tetapi saya tersipu-sipu.

Sebahagian daripada anak Malaysia yang sedang menuntut di Tokyo….. Di manalah mereka agaknya sekarang?

Kami hadir ke majlis berkenaan setelah dipelawa oleh pihak penganjur setelah diperkenalkan oleh ‘stringer’ BERNAMA tersebut yang saya tidak ingat namanya. Majlis jalinan mesra itu diadakan bagi meraikan kunjungan rombongan Kementerian Pelajaran ke sana..

Sekembali ke tanahair, kami menjadi jiran yang sering bertemu. Tatkala menjadi Ahli Parlimen Hulu Langat, Cikgu Razak adalah Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Langat. Maka bertambah seringlah kami bertemu khususnya pada majlis-majlis anjuran pihak sekolah. Ada ketikanya apabila tidak dapat hadir ke majlis, saya wakilkan sahaja kepada Cikgu Razak.

Kisah di Tokyo belum selesai. Ketika berkunjung ke kawasan hiburan Kabukicho, sempatlah berkenalan dengan beberapa orang pekerja pusat hiburan. Apabila memperkenal diri sebagai wartawan, pekerja itu terus menyelok poketnya dan mengeluarkan beberapa keping ‘calling card’.Dia membelek-belek dan lantas mengeluarkan sekeping kad milik rakan sejawatan dari Utusan Melayu.

Saya akui amat kenal dengan rakan berkenaan dan dalam hati saya berkata “wah… saudara aku ni dah sampai dahulu,’’ Balik ke KL kemudiannya saya cerita kepada kawan berkenaan perihal kadnya yang ditemui di pusat hiburan berkenaan. Dia cuma tersengeh dan senyum simpul. Sayapun begitu juga.

Dalam kunjungan ke Tokyo, walaupun tidak dibiayai langsung oleh Utusan, saya tetap mengambil kesempatan membuat beberapa laporan.

Kebetulan ketika itu, Utusan dan MAS menganjurkan pertandingan Sepaktakraw. Saya berkunjung ke Universiti Tokyo. Di sana, melalui seorang rakan, saya diperkenalkan kepada seorang professor di Jabatan Pengajian Melayu. Sebelum ini saya pernah berbual dengannya melalui telefon dari KL setelah diperkenalkan oleh Alan Kato.

Profesor itu yang fasih sungguh berbahasa Melayu telor Indonesia, memberitahu saya beliau amat meminati sukan sepaktakraw dan akan memperkenalkannya kepada pelajar-pelajar yang mengikuti kursus di jabatan berkenaan.

Saya membuat laporan hasil temuramah berkenaan dan Ketua Pengarang, Zainuddin Maidin (kini Tan Sri) amat gembira dengan penghasilan tersebut. Selain daripada mengenai sepaktakraw, saya juga menghasilkan beberapa laporan lain tanpa arahan sesiapa - sekadar syok sendiri.

Anak-anak Jepun yang mengikuti kursus pengajian Melayu di Universiti Tokyo yang mementaskan teater Musang Berjanggut

Di universiti berkenaan, saya dan Ridhwan turut diperkenalkan kepada beberapa orang pelajar Jepun yang mengikuti pengajian Melayu. Mereka yang diperkenalkan itu sedang menyiapkan kerja kursus masing-masing dan yang menariknya adalah mengenai usaha mereka mementaskan teater tradisional Melayu.

Mereka sedang berlatih untuk mementaskan drama bertajuk Musang Berjanggut berdasarkan filem arahan P. Ramlee. Walaupun agak janggal pertuturan mereka, usaha yang bersungguh-sungguh itu memang patut dibanggakan. Saya amat terpegun mengetahui ada peminat P. Ramlee di kampus itu.

Pelbagai tinjauan lain turut dipaparkan sebagai laporan eksklusif saya dari Tokyo. Pulang ke Kuala Lumpur saya menulis beberapa rencana lain. Tidak beberapa lama kemudian, saya mendapat ‘memo’ daripada Zainuddin Maidin. Memo adalah istilah sensitif di pejabat kerana ia sering dikaitkan dengan sesuatu yang negatif berupa peringatan, amaran ataupun tindakan.

Memo daripada ZAM itu lain bunyi… selain ditujukan kepada saya disalinkan juga kepada anggota Jabatan Pengarang yang lain. Memo itu menyatakan penghargaan dan terima kasih jabatan kerana saya telah menghasilkan beberapa laporan eksklusif tanpa arahan syarikat.,,Kembang menerima penghargaan sedemikian.

Memo berkenaan adalah yang kedua saya terima pada tahun berkenaan. Yang satu lagi diterima sekembali dari mengerjakan ibadat hajI. Walaupun dilarang membawa kamera ke Mekah, oleh kerana mengiringi VVIP dan menjadi tetamu diraja, saya berpeluang merakamkan kacau-bilau akibat letupan gas yang disangka bom ketika kerja-kerja membaik pulih Masjidil Haram.

Letupan itu mengakibatkan puluhan ribu umat Islam yang berada di sekitar masjid bertempiaran lari, Ada yang terjatuh, yang terpijak dan ada juga cedera selain daripada maut. Sukar untuk menerangkan huru-hara ketika itu menggunakan ayat. Mujurlah saya ada kamera. Rakaman kamera itulah yang mengiringi laporan muka hadapan saya di Utusan Malaysia dan Utusan Melayu ketika itu.

Pengurus Jabatan Pengarang Utusan. Hj. Taib Ahmad memotong kek yang menjadi acara tahunan wartawan yang menyertai Utusan pada tahun 1984. Di sebelah beliau, Rozaid Abdul Rahman (kini di Mstar), Ho Hock Chye (kadet), Zaini Hassan (Datuk, juga junior tetapi kini amat senior) dan duduk, A. Razak Rashid (senior)

Balik dari Mekah, terima ucapan terima kasih daripada Zam….tetapi saya lebih berterima kasih kepadanya kerana ‘huluq’ RM500.. Tidak lama kemudian dapat satu lagi memo iaitu memaklumkan kepercayaan syarikat untuk saya memangku tugas sebagai Ketua Pemberita. Jawatan berkenaan ketika itu disandang oleh Rosli Ismail (kini Ketua Pengarang Agendadaily) yang diiberi amanah pula untuk menggantikan (Dato') Khalid Mohd. sebagai Pengarang Berita. Khalid pula ke luar negara kerana mengikuti kursus lanjutan.

Sejak daripada itu, saya sering seiiring dan serentak dengan Rosli hinggalah kini. Cuma apabila saya menjadi Ahli Parlimen, kami tidak bersama, tetapi tetap ada persamaan dalam pengalaman dan perjalanan hidup kami.

Ketika menjadi ahli parlimen, pihak kerajaan pula menghantar saya bersama pegawai-pegawai tinggi kerajaan ke Jepun. Kali ini kerana urusan rasmi iaitu meninjau dan menyiapkan laporan mengenai insinerator pelupusan sampah.

Ketika itu heboh fasal cadangan membina insinerator berkenaan di Broga, Semenyih dalam kawasan Hulu Langat. Pergilah melihat beberapa insinerator besar di negara matahari terbit itu. Selain daripada ke Jepun kami juga ke Taiwan untuk melihat insinerator yang lebih kecil.

Balik ke Malaysia, laporan disiapkan oleh pihak berkuasa kerajaan negeri Selangor. Sampai sekarang, insinerator yang diwar-warkan tidak menjadi kenyataan…. tetapi pusat pelupusan moden milik swasta sudah ada di Hulu Semenyih…..5/1/2011

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 382  tetamu dalam talian