27Februari2021

Agenda Daily

“Apalah makna hari raya bagi kami…..”

Semakin hampir 1 Syawal, semakin teringat pelbagai peristiwa yang dilalui semasa menjadi wartawan bersama Utusan Melayu. Kenangan yang paling mengusik jiwa ialah apabila ditugaskan menemuramah anak-anak yatim yang bakal menyambut perayaaan setahun sekali itu tanpa ibu atau bapa. Dan, yang lebih menyedih dan menyayat perasaan adalah berhadapan dengan anak-anak yang bergelar yatim piatu.

 

“Sama je pakcik…..raya tak raya takde beza. Kami dah tak ada emak, tak ada ayah. Apalah maknanya hariraya bagi anak-anak macam kami,’’ ayat-ayat seperti inilah yang sering mempelawa air mata berjuraian. Walaupun ibu bapa meninggal tatkala saya sudah dewasa, tetapi saya tidak dapat membayangkan sekiranya yang berkata-kata sedemikian adalah anak-anak saya sendiri.

Anak-anak ketika itu masih kecil dan belum tahu erti kehidupan dan kematian. Apa yang mereka tahu ialah keceriaan dan kegembiraan. Jadi… saya tidak dapat membayangkan bagaimana halnya jika saya terlebih awal dijemput menemui Ilahi.

Suatu ketika, saya ke sebuah rumah anak yatim di Sabak Bernam, Selangor untuk tujuan yang sama. Di sana, bersama rakan yang baru berkhidmat dengan Utusan, saudara Ramli Karim kami menemui kanak-kanak yang benar-benar terhimpit.

Mereka tinggal bersama-sama rakan-rakan senasib dalam pondok-pondok yang kecil dan sempit. Mereka yang lebih dewasa menjadi ketua rumah - menjaga adik-adik yang lebih muda. Ada juga ibu tunggal yang dibawa bersama ke pondok berkenaan kerana anak-anak terlalu kecil dan masih belum boleh berdikari.

Rumah anak yatim berkenaan adalah milik persendirian. Rumah serta pondok pada mulaya didirikan oleh pemilik rumah kebajikan itu dengan kewangan keluarga serta sumbangan orang ramai. Ada pondok yang sudah siap dan ada juga yang terbengkalai.

Tatkala kami sampai, beberapa orang kanak-kanak menerpa dan menyambut kami dengan penuh mesra walaupun mereka tidak mengetahui apa tujuan kedatangan kami. Mereka menghulur tangan untuk bersalam sambil mengucapkan salam. Di situ perasaan saya mulai tersentuh.

Setelah menemui pihak pentadbir dan mendapat keizinan untuk membuat temuramah, kami mulakan tugas. Soalan lazim yang ditanyakan ialah sudah berapa lama menjadi anak yatim dan berapa lama pula sudah tinggal di rumah kebajikan itu.

Soalan paling sensitif tentulah yang berbunyi “Apakah perasaan berhariraya tanpa ibu dan bapa yang tercinta’.

“Ada orang beri kami kuih raya dan pakaian raya. Duit rayapun ada yang beri…… Abah dan umi mana nak cari….dan siapa nak beri,” begitu jawapan daripada seorang anak gadis berusia 10 tahun yang cukup petah bercakap.

Saya cukup tergamam mendengar jawapannya. Perhatian saya cukup terganggu. Mata saya terus menuju ke tangan gadis itu yang mengusap-usap rambut adiknya berusia lima atau enam tahun. Hati kecil terus berkata-kata, beginikah anak-anakku jika aku tiada nanti…?

Ramli meneruskan temuramah dan membuat catatan sedangkan saya sudah tidak berupaya lagi. Entah kenapa fikiran saya terus melayang jauh…. Terkenang umi dan abah yang pergi dalam usia belum tua.

Seorang lagi anak yatim memberitahu, dia sudah cukup bahagia tinggal dan berhariraya di rumah berkenaan. Beliau menginap di rumah itu sejak kecil lagi, setelah ibu dan bapanya meninggal dunia. Sejak itu, katanya, rumah berkenaan adalah tempat perlindungannya.

Rakan-rakan penghuni lain yang senasib dengannya adalah adik-beradik dan keluarganya.

Pentadbir dan pengasuh adalah pengganti ibubapanya dan berhariraya di situ adalah cukup bahagia baginya..

“Kalau ada saudara mara datang, mereka bawakan makanan dan pakaian… Ada juga yang bawa berjalan-jalan ke rumah saudara yang lain.,’’ begitu katanya penuh kecekalan.

Seorang kanak-kanak yang lain, yang pada tahun berkenaan baru per tama kali berhariraya tanpa bapa yang sudah meninggal dunia tidak dapat menyembunyikan perasaannya.

“Apalah makna hariraya ni pakcik….. Ayah tak ada. Baju rayapun orang yang beri. Syukurlah masih ada yang sayang pada kami,’ begitu beliau melepaskan perasaan yang terpendam dengan nada yang terhenti-henti dan teresak-esak.

Adik beradiknya yang lain masih tinggal dengan ibunya di kampung dan pada hariraya berkenaan, beliau akan berkumpul dengan ahli keluarga lain untuk menziarah kubur ayah sebelum menunaikan solat Idulfitri bersama-sama orang kampung.

Menemuramah anak-anak yatim berkenaan membawa banyak makna kepada kami. Jika sebelum ini anak-anak yatim dikaitkan dengan kemiskinan, pengalaman dua jam berkenaan membawa scenario baru kepada kami.

Di sanalah kami lebih mengenali erti kecekalan hidup…bagaimana anak-anak yang masih dibuai kasih sayang terpaksa mengharungi masa depan bersendirian. Tatkala mereka masih perlu diasuh, mereka pula yang menjalankan kewajipan untuk mengasuh.

Walaupun tanpa ibu dan bapa sebagai pengasuh, tetapi anak-anak ini cukup bersopan dan berbudi bahasa. Setiap kali berjumpa akan saling sapa-menyapa. Tetamu disambut dengan senyuman penuh mesra. Walaupun mengharungi hidup sukar, perasaan itu tidak dizahirkan, sebaliknya disalut dengan wajah yang ceria.

Demikianlah berjayanya pengusaha rumah berkenaan membela anak-anak yang miskin, tanpa ibu atau bapa dan pembelaan itulah yang bakal menjadi bekal masa depan mereka yang terjamin dan gemilang..

Lima tahun lalu iaitu kira-kira 12 tahun selepas temuramah berkenaan, bersama keluarga, saya kembali ke rumah anak-anak yatim tersebut kerana menyempurnakan hayat yang lama terpendam. Walaupun selepas temuramah tersebut saya ke sana sebanyak dua kali lagi termasuk meliputi kehadiran Datin Paduka Tengku Puteri Zahariah anakanda Almarhum Sultan Selangor, saya amat terpegun melihat perubahan yang sangat membanggakan.

Sudah tiada lagi rumah atau pondok usang. Bangunan batu tersergam indah. Sudah ada dewan serbaguna dan pelbagai kemudahan lain. Malah, jika dahulu cuma ada dua mesin basuh, kini telah bertambah. Persekitarannya ada landskap dan jalan bertruap dengan sempurna.

Alangkah gembiranya anak-anak penghuni rumah berkenaan kerana mendapat bapa dan ibu angkat yang cukup prihatin iaitu para penderma yang cukup budiman. Namun, pemilik dan penuche serta kakitangan rumah kebajikan itu harus mendapat pujian dan balasan daripada Ilahi.

Dalam bulan Ramadhan penuh keinsafan ini kenangan saya melayang juga ke satu lagi daerah dalam negeri Selangor. Di daerah itu juga terdapat sebuah rumah kebajikan atau rumah anak-anak yatim.

Agak ternama juga rumah berkenaan. Ia menjadi sebutan bukan kerana kegemilangannya mengasuh anak-anak yatim tetapi kerana pengasuh yang tidak mampu ‘mengasuh’ diri sendiri. Hamba Allah berkenaan bolehlah diibaratkan seperti ‘Harapkan pagar, pagar makan padi’.

Sawah padi jarang sekali dipagar kerana kos membuat pagi adalah tinggi. Lagipun, yang sering mencuri padi hanyalah burung yang berterbangan bebas, maka tidak mungkin pagar boleh menghalang burung. Maka dibina ‘orang-orang’ di sekitar sawah untuk menghalau burung.

Tujuan memasang pagar adalah untuk mengawal keselamatan, tetapi jika pagar itu sendiri ‘menghempap’ padi berkenaan bermakna sia-sia sahaja pagar itu kerana ia sendiri menjadi pemusnah kepada yang dijaga.

Begitulah perihalnya yang terjadi kepada orang kuat rumah anak-anak yatim itu yang kisahnya berakhir di mahkamah setelah diheret oleh Badan Pencegah Rasuah (dahulunya Biro Siasatan Negara)

Semoga Ramadhan Al-Mubarak benar-benar membawa pengertian bagi kita. Yang pergi diiringi Al-Fatihah dan yang tinggal diabai jangan. Anak-anak yatim juga mahu dan berhak untuk menikmati kelangsungan hidup yang sempurna dan di situ ada tanggungjawab dan kewajipan kita semua.

Selamat menyambut Idulfitri - Maaf zahir dan batin. - 22/9/2008

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 346  tetamu dalam talian