22Januari2020

Agenda Daily

Apa nak jadi kalau terus begini...?

Seorang rakan lama di Utusan Melayu menelefon saya pada suatu petang. Beliau menegur tulisan saya keluaran minggu lalu dan beberapa minggu sebelumnya.

 

Menurut kawan ini, tajuk dan jalan cerita ruangan saya itu telah terbabas daripada konsep asal. Katanya, saya sudah terlalu banyak menulis mengenai politik semasa sedangkan sebelum ini ,ruangan WADTK dipenuhi dengan cerita-cerita mengenai pengalaman sebagai wartawan, ahli dewan dan kini tidak ketahuan.

Saya cuba menjelaskan bahawa apa yang saya tulis termasuk yang minggu lepas adalah berkaitan dengan pengalaman. “Betul…, tetapi janganlah banyak sangat fasal politik. Aku tahulah kau pernah jadi pemimpin politik. Mengenai politik, biar orang lain tulislah….

Melambak sekarang ni..bloggers VIP pun ada,’’ katanya menyanggah penerangan saya.

Akhirnya saya setuju dan saya akan cuba mengecilkan skop litupan penulisan mengenai politik. Namun, nak lari terus.. tak mungkin. Minggu ini saya nak sentuh mengenai hal makan dan sumber makanan.

Kini heboh fasal harga beras tiba-tiba naik sehingga RM4 sekampit. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapha Mohamad terpaksa memberi jaminan, setok mencukupi. Namun soalnya sampai bila…?

Kunjungan ke rumah rakan di utara tidak berapa lama dahulu mengusik perasaan saya apabila melalui kawasan ‘The Rice Bowl of Malaysia’ iaitu Kedah dan Perlis. Sejak dari zaman sekolah rendah lagi, saya sentiasa ingat terhadap negeri-negeri pengeluar padi negara, termasuk di Tanjung Karang, Selangor.

Maklumlah, dari dahulu lagi, saya diajar makan nasi tiga kali sehari (sebenarnya bukan diajar, tetapi itu sahaja yang ada), maka apabila dah besar, dan berusia seperti hari ini, perlu pula mendengar nasihat doktor supaya makan nasi dua atau satu kali sahaja sehari.

Yang menggusarkan saya melihat kawasan-kawasan bendang di Kedah dan Perlis ialah perihal banyaknya rumah teres dan banglo yang terdapat di tengah-tengah bendang berkenaan.

Tuan punya tanah mungkin sudah keletihan untuk bersawah. Mereka juga mungkin sudah tua manakala anak-anak pula berjaya ke menara gading dan tidak perlu lagi membanting tulang dan berhempas pulas mengerjakan sawah di bawah terik matahari.

Permintaan untuk rumah baru dan moden pula ada. Jadi, apa lagi, tanah dimajukan sebagai taman perumahan yang pastinya menjanjikan pulangan lebih tinggi dan lebih cepat berbanding dengan tuaian padi.

Apa akan jadi sekiranya semakin banyak tuan punya tanah mengambil keputusan memajukan tanah masing-masing sebagai taman perumahan, apatah lagi jika ada pula anak-anak yang berkelulusan mahu menjadi pemaju perumahan?

Jika ini berlaku, maka suatu hari nanti, negara tidak akan mempunyai tanah secukupnya untuk penanaman padi. Namun, apakah yang boleh dilakukan kerana kerajaan tidak boleh menghalang tuan punya tanah untuk beralih tujuan. Nak beralih parti dan kerajaanpun tak dapat dihalang, inikan pula menukar kegunaan tanah!

Apakah pilihan yang ada? Mungkinkah kerajaan perlu menyediakan tanah rizab untuk penanaman padi sahaja? Mungkin, tetapi masih adakah tanah kerajaan yang luas untuk tujuan itu. Kalaupun ada tanah, adakah ia sesuai untuk menanam padi atau sebaliknya.

Saya teringat kunjungan ke Pulau Mauritius lebih daripada 10 tahun lalu. Saya bersama-sama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor diberi kesempatan menyertai Persidangan Ketua-ketua Negara Komanwel (CHOGM) di Pulau Peranginan itu.

Negerinya kecil dan sumber pendapatan atau pengeluaran utamanya adalah tebu yang kemudiannya dijadikan gula. Dari ladang hingg ke pintu pejabat atau dapur rumah, semuanya ditanam dengan tebu. Bahu-bahu jalan hampir tiada kerana setiap inci tanah digunakan untuk menanam tebu.

Di sebelah pusat membeli-belah dan kelab-kelab malampun ada tanaman tebu.

Mari kita bandingkan dengan negara kita. Ada di kalangan anak-anak kita tidak pernah kenal macam mana bentuk pokok padi dan bagaimana padi dihasilkan menjadi beras. Yang pernah tahu mengenai sawah padi, akan terkejut pula mendengar atau melihat mengenai padi yang ditanam di lereng bukit. Mereka terkejut kerana memikirkan padi hanya ditanam di kawasan yang berair.

Dahulu, Beranang di Selangor, disebut juga sebagai kawasan pengeluaran padi, tetapi kini saliranpun dah banyak yang tak berair. Tanah digunakan untuk tanaman serai atau jagung yang menghasilkan pulangan segera dan lebih ‘berbaloi’

Di Hulu Selangor, langsung tidak ada orang menanam padi lagi. Di Tanjung Karang dan Sabak Bernampun dah banyak perubahan. Mereka tanam jagung dan juga buah mangga yang mahal harganya. Pendek kata, tanaman padi sudah tidak menjadi pilihan utama lagi.

Pengeluaran padi kita hanyalah pada tahap 70 peratus daripada keperluan negara. Maksudnya jika kita tidak import beras, 30 peratus rakyat negara ini terpaksa tidak makan nasi. Kalau rakyat Malaysia ada 25 juta orang, maka 7.5 juta daripada mereka tak dapat makan nasi…!

Apa macam, kalaulah 7.5 juta orang itu termasuk kita? Saya ok.. sebab dah dua bulan kurang makan nasi. Pertamanya jika dahulu, tiga kali, kini dikurangkan menjadi satu atau dua kali sahaja. Keduanya, jika dahulu dua pinggan, kini sepinggan sahaja sekali hadap.

Apakah pilihan kita yang ada? Puasa sebulan Ramadhan (siang je) memang boleh. Mahu dan mampukah kita berpuasa dua atau tiga bulan pula! Kata doktor yang merawat saya, tak perlu puasa lama-lama sangat. Kurangkan sahaja jumlah pengambilan.

Atau, kita nak bertukar makanan. Bolehkah kita makan selain daripada nasi? Mungkin kita boleh cuba makan ubi macam nenek moyang kita dahulu khusus sebelum zaman Jepun. Bolehkah kita makan keledek atau sayur sahaja.

Sebenarnya, nak makan apapun bekalan tempatan tak pernah mencukupi. Sayur pucuk ubi dan pucuk pakupun susah nak dapat. Kalau adapun cukup mahal, umpamanya pucuk paku yang dijual 50 sen untuk lapan atau sembilan batang.

Jantung pisang RM3 satu manakala sawi RM4 sekilogram. Kobis import RM1.90 sekilogram manakala kobis tempatan (Cameron Highlands) dijual RM4 sekilogram.. Nak makan sayurpun mahal.

Nak makan apa lagi…mungkin ikan. Ikan yang dijual di bawah RM5 sekilogram hanya boleh diperolehi di Hypermarket atau pasaraya besar sahaja dan pasar-pasar begini cuma ada di bandar-bandar besar.

Ikan keli, ikan patin, ikan tilapia yang diternak di kolam bolehlah dapat harga sedemikian. Nak cuba makan ikan bawal atau tenggiri hari-hari, takut nanti tergigit jari. Harganya melebihi RM15 sekilogram. Ketam harganya RM18, daging RM16, ayam RM6, udang RM15 dan ikan-ikan sungai yang dahulunya dikatakan murah, kini tidak lagi.

Jadi, nak makan apa selepas ini? Pergi ke kedai mamak sahajalah agaknya yang sesuai. Minta capati kosong dan air suam sahaja dah cukup. Capati agak mengenyangkan. Timbul pula soal tepung nanti. Sebelum inipun dah banyak kali timbul soal kekurangan tepung.

Peristiwa berkunjung ke kampung halaman nenek moyang saya di Sumatera beberapa tahun lalu mungkin boleh dijadikan panduan. Kampungnya terletak dalam daerah Bonjol, lapan jam perjalanan berkereta dari ibukota Medan.

Rumah saudara mara yang dikunjungi agak menarik. Terletak jauh dari pekan, tiada pengangkutan awam, tiada bekalan elektrik, tiada kemudahan telefon dan yang ada hanyalah keheningan desa yang diselang-seli dengan bunyi serangga di kali.

Di belakang rumah ada sedikit kebun sayur dan pokok buah-buahan untuk kegunaan sendiri. Di belakang rumah juga ada sungai yang mengalir lesu. Air yang sejuk dan jernih disalirkan ke sebuah kolam yang dibuat sendiri. Di dalam kolam pula ada banyak ikan. Ikan inilah dijadikan lauk harian dan selebihnya sekali-sekala dijual sebagai sumber kewangan tambahan.

Selain membela lebih kurang 25 ekor ayam, keluarga itu juga menternak itik. Telur itik dijadikan telur masin.

Kita di Malaysia bumi yang bertuah ini bagaimana agaknya? Tanah sawah dah ditukar dengan ladang lalang. Kebun sayurpun bertukar menjadi belukar. Begitu juga dengan kolam ikan menjadi pusat ternakan bebudu (anak katak).

Yang pelik, apabila tidak bertanah, umpamanya mereka yang tinggal di rumah teres, berlumba-lumba tanam pokok mangga atau rambutan di depan rumah yang tanahnya sekangkang kera. Yang tanam pokok durian dan petaipun ada.

Dahulu, kerajaan menggalakkan tanaman hidroponik, maka berbondong-bondonglah orang membeli takungan air untuk tanaman secara tanpa tanah itu. Kini, takungan itu menjadi pusat pembiakan nyamuk aedes atau tempat menanam bunga tahi ayam.

Berbalik kepada persoalan apa yang hendak dimakan tadi, Universiti Pertanian (oops Putera) Malaysia hendaklah mencari dan mencipta kaedah pengeluaran yang lebih bagus. Tanah semakin kurang, tetapi perut semakin bertambah.

Begitu juga dengan MARDI yang wajar mengeluarkan idea-idea baru dengan penggunaan teknologi lebih moden dan mampu dilakssanakan oleh petani bersekil kecil. Jabatan Pertanian pula hendaklah terus mengumpulkan kebun-kebun kecil dan memajukannya sebagai mini estet. Kebun-kebun terbiar harus dimajukan juga….

Kini banyak orang mati kerana terlalu banyak makan, jangan nanti kembali seperti dahulu atau di negara-negara miskin, mati kerana tak cukup makan!- 24/4/2008

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 198  tetamu dalam talian