Ali Rustam...kenangan mengusik jiwa
- Terakhir dikemaskini: 24 Januari 2011
Tidak lama dahulu, ketika berlaku kemalangan jalan raya dekat Melaka,melibatkan dua buah bas, kereta dan van, yang mengorbankan 12 nyawa, banyak orang mulai hingar-bangar mengenai langkah-langkah pencegahan yang menjadi retorik. Ketua Menteri Melaka, Datuk Ali Rustam pula mencadangkan agar pedal minyak bas dikunci pada kelajuan 90 kilometer sejam sahaja.
Prihatin sungguh beliau nampaknya mengenai had laju yang boleh membunuh, tetapi jika saya katakan Datuk Ali ketika mengetuai Gerakan Belia 4B Malaysia dulu pernah ‘merempit’ di trek lumba Batu Tiga, Shah Alam Selangor, apa macam…?
Ini bukan omong kosong tetapi kisah benar. Memang benar , bekas Pengerusi World Assembly of Youth (WAY) ini pernah menunggang motosikal di trek berkenaan. Para belia Hulu Langat dan ahli jawatankuasa 4B Selangor serta Kebangsaan menjadi saksi-saksinya.
Ketika itu 1997, Datuk Ali masih menjadi Timbalan Menteri Pengangkutan. Beliau menunggang dalam trek bukan untuk berlumba atau merempit, sebaliknya sekadar untuk mencuba trek sahaja. Itupun, beliau terbabas di salah satu selekoh tajam. Saya dan beberapa orang rakan lain ikut serta bawa motosikal masing-masing.
Datuk Ali masuk trek selepas merasmikan program salah satu pengiisian Program Belia di Jalan Raya anjuran Gerakan Belia 4B Hulu Langat dengan kerjasama pihak polis dan juga JPJ, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) serta UPM. Program itu diberi jolokan “Friday Night Fever iaitu membawa para mat rempit dan pesalah bermotosikal yang lain berlumba secara sah dan terdidik di trek berkenaan.
Kementerian Pengangkutan pada tahun 1996 dan 1997 memberi peruntukan tahunan sebanyak RM60,000 menjalankan kempen mengurangkan kemalangan maut di kalangan penunggang motosikal. Pada hujung-hujung minggu tertentu, iaitu bermula 10 malam kami mengadakan sekatan jalan raya di sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang iaitu lokasi pilihan para remaja untuk merempit.
Pihak polis dan JPJ tidak keluarkan saman kepada pesalah, kecuali yang serius. Maklumat diri direkodkan dan sebulan sekali kami jemput mereka ke Batu Tiga di Shah Alam untuk berlumba secara sah. Banyaklah yang tertarik hinggakan kami tidak terlayan lagi kerana setiap kali menggunakan trek, sewaannya adalah RM5,000 satu malam.
Memang setiap kali sampai masa Friday Night Fever, yang tidak dijemput oleh pihak urusetia dan penganjur, pun ramai yang hadir. Kami terima juga sebahagian daripadanya yang ikut syarat, tetapi jangan ingat nak merempit ketika bergerak dari Bangi ke Batu Tiga atau sebaliknya kerana mereka diiringi pihak polis bermotosikal kuasa besar.
Program dua tahun itu melebihi pencapaian matlamatnya. Sasaran kerajaan adalah untuk menurunkan 4 peratus kadar kemalangan maut dalam masa setahun, tetapi pencapaian kami adalah 2 peratus lebih tinggi. Saya kurang pasti apakah yang dilakukan pihak kementerian kemudiannya kerana pada tahun 1999 Datuk Ali menjadi Ketua Menteri Melaka. Yang pasti cadangannya untuk membina trek kecil untuk para remaja yang tidak kesampaian di peringkat pusat kini sudah terbina dekat Ayer Keroh, Melaka
Bercerita mengenai Datuk Ali ada banyak kenangan…..salah satu daripadanya adalah ketika singgah berhariraya di rumahnya di Melaka pada tahun 1998. Jamuan rumah terbuka, ramailah yang hadir. Ketika memandu balik dari rumahnya saya rasa kasut sempit dan tak selesa. Jalan penyelesaian, buka kasut dan bersetokin sahaja.
Selang beberapa lama kemudian saya bercerita pada Mohd. Shah, pengiring peribadi Datuk Ali mengenai kasut yang sempit itu. Mendengar cerita itu, Mohd. Shah ketawa dan seraya berkata,” patutlah hari tu Tok Ali komplen kasutnya longgar.” Rupa-rupanya saya tersarung kasutnya. Kami sama-sama pakai kasut keluaran Gerakan Belia 4B Malaysia.
Kalau nak menjemput Datuk Ali ke sesuatu majlis iaitu yang tiada had waktunya seperti jamuan hariraya, kenduri dan sebagainya, memang berbaloi. Jika berkesempatan walaupun jamuan telah dikemas dan khemah telah dibuka beliau akan sampai juga.
Begitulah yang dialami ketika mengadakan jamuan hariraya idulfitri di Stadium Kajang, Pengerusi Belia 4B Malaysia itu muncul juga walaupun dengan berbaju t sahaja. Sangat ‘sempoi’ dan bersahaja. Kami bangga dengan kehadirannya
Dalam operasi Program Belia di jalanraya bersama pihak polis dan JPJ, Datuk Ali juga perrnah datang ke Bangi melihat sendiri proses operasi tersebut. Beliau hadir lebih kurang pukul 12.00 tengah malam. Kali ini berbaju batik kerana baharu pulang dari satu majlis rasmi di Kuala Lumpur. Kira-kira dua jam kemudian barulah beliau pulang - ke Melaka bukannya Kuala Lumpur kerana esoknya ada majlis di kawasan Parlimennya.
Cerita terbaharu, tiga tahun lalu apabila Datuk Ali datang ke rumah jiran saya, Datuk Othman Desa, mantan Setiausaha Politik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk majlis perkahwinan anak lelakinya. Datuk Ali tiba jam 1.00 pagi tatkala semua orang siap-siap untuk tidur. Pengantin dah tentulah dah lena. Begitulah Datuk Wira Ali Rustam yang jarang menghampakan rakan-rakannya.
Suatu ketika terdahulu, AJK pusat Belia 4B Malaysia mengadakan mesyuaratnya di Seremban Negeri Sembilan. Mesyuarat bermula jam 9.00 malam dan sehingga coffee house ditutup jam 2.00 pagi kami masih lagi bermesyuarat. Kira-kira jam 3.45 pagi tiba-tiba seorang exco dari Terengganu bersuara: “Tok dah nak pukul 4.00 pagi kita belum tidur lagi.. Pukul 8.00 dah nak jumpa MB (Tan Sri Mohd. Isa Samad)…” Selamba je Datuk Ali jawab:’’ Kalau YB mengantuk tidurlah dulu.”
Ekoran daripada itu, saya sering bertanya pada diri sendiri berapa jamkah sehari pemimpin belia ini tidur dan pukul berapa pula dia masuk tidur kerana jam 1,2,3 dan 4 masih menjalankan tanggungjawabnya. Pertanyaan itu terjawab apabila saya diajak ke Bukit Gantang pada suatu hari.
Saya sedang berehat di lobi Parlimen petang itu apabila diajak oleh Timbalan Menteri Pengangkutan itu untuk mengikutnya sebentar. Saya menduga beliau mengajak minum petang di luar iaitu di salah sebuah ‘port’ di ibukota. Dah masuk dalam kereta baharulah beliau beritahu sebenanrnya destinasi kami ialah Bukit Gantang di Perak. Tujuan ke sana kerana mahu berceramah membantu calon Barisan Nasional, Datuk Md. Isa yang bertanding dalam pilihanraya kecil di situ.
Apa nak kata…dah berada dalam kereta timbalan menteri… teruskan sahajalah. Baharu sahaja melepasi tol Rawang iaitu kira-kira 15 minit perjalanan, Datuk Ali dah hanyut lena. Saya tak bolehlah nak lena sama kerana perlu temankan Mohd. Shah yang memandu. Pengiring ini terpaksa memandu kerana pemandu bercuti.
Rupa-rupanya begitulah beliau. Amat mudah terlena dalam kereta dan bagi beliau tidur di rumah atau dalam kereta sama sahaja asalkan dapat berehat. Malam itu selepas berceramah di sebuah surau, dalam perjalanan kami ‘hentam’ makan durian dahulu.
Kira-kira pukul 2.45 pagi baharulah sampai kembali ke bangunan Parlimen. Pagar utama telah terkunci rapi. Seorang anggota polis yang sedang bertugas kelihatan terkejut dan terus bertanya apahal kepada Mohd. Shah yang menerangkan mahu mengambil Mercedes diesel model 1982 saya yang ditinggalkan di kawasan parkir. Kira-kira 40 minit kemudian baharulah tiba di rumah di Bangi dan kena buat ‘explanation’ panjang lebar kepada isteri…..- 8/12/2010
Datuk Badrul Hisham Abdul Aziz ialah bekas Ahli Parlimen Hulu Langat, bekas wartawan Utusan dan kini Timbalan Ketua Pengarang Agendadaily.