14Julai2020

Agenda Daily

Alahai van merah...

Pengalaman membuat liputan pilihanraya umum di Kelantan pada tahun 1986 sebenarnya tidak sekadar apa yang dicatatkan dalam ruangan ini sebelum ini. Seperti yang saya pernah catatkan, ada banyak kenangan manis. Cuma, menanti waktu dan isu sesuai untuk memaparkannya pada masa hadapan.

 

Untuk minggu ini saya teringatkan kisah seorang pengiring rasmi seorang pembesar negara yang tertidur dalam van merah saya. Maklumlah, dalam musim pilihanraya, pembesar dan pemimpin biasa akan berceramah siang dan malam, pagi dan petang – semuanya terkejar ke sana ke mari.

Tempoh berkempen boleh sehingga 12.00 tengah malam. Pagi esoknya, celik je mata, dah boleh berceramah lagi.. begitulah halnya setiap hari dalam tempuh berkempen. Sebagai wartawan, nak dapat cuti rehat mingguan, maaflah, takkan dapatnya!

Jadi, ‘letih’ adalah mainan harian dan setiap orang harus cukup kuat membiasakan diri bekerja dalam keadaan letih dan tidak cukup tidur.


Demikianlah perihalnya suatu hari yang berlaku kepada kami. Di kalangan wartawan yang bertugas, kami harus bijak ‘mengatur strategi’ bagaimana membuat liputan. Ketika itu, kami tidak akan ‘scoop’ kawan-kawan lain, sebaliknya berpakat untuk bekerja sama.

Adalah lumrah, dari jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang, ada lima atau enam majlis yang harus diliputi sedangkan tenaga kerja adalah amat terhad dan lokasi sesuatu ‘ assingment’ pula amat jauh yang tidak memungkinkan kami bekejar dari satu tempat ke tempat yang lain.

Jawabnya ‘ kautim’ lah – pakat berpecah dan waktu makan tengahari berjumpa kembali untuk bertukar-tukar nota.

Al-kisah van merah tadi….. seperti yang dicatatkan, saya lazimnya menjadi ‘drebar’ sahaja kerana kelibat wartawan Utusan tak boleh muncul. Jadi dalam satu tugasan di Kuala Krai, saya terlalu letih dan meminta Zainal Epi dari The Star ‘ cover’ sementara saya berehat sekejap dalam van merah itu.

Van merah pula bukan calang-calang. Selain daripada dilengkapi dua set alat penghawa dingin, van itu juga ada tilam ‘ queen-size setebal lapan inci. Apabila tempat duduk belakang van dilipat dan tilam mengambil tempat, van itu sudah bertukar menjadi katil ekskutif.

Belumpun sempat melelapkan mata, tingkap van merah diketuk beberapa kali. Saya menyingkap langsir dan melihat seorang pengiring pembesar yang memang saya kenali. Saya buka tingkap dan memberi salam kepadanya. Sahabat tadi menjawab lalu berkata:

“Bagilah tumpang sekaki.’’ Saya pula jawab ok lalu membuka pintu van. Van merah itu agak luas, setakat dua orang lepak kat belakang memang no problem. Kalau badan kecil macam Kamal Zailani (saiz dulu), tiga orangpun muat juga.

Dipendekkan cerita, oleh kerana terlalu mengantuk, kami segera terlena dalam van berhawa dingin itu. Entah berapa lama tertidur, kami tak perasaan, tetapi apabila terbangun, yang pasti pembesar berkenaan sudah habis berucap. Helikopter yang membawanyapun dah siap sedia untuk berlepas….. maka terkial-kiallah sahabat tadi berlari ke arah helikopter dengan bosnya sudah berada di dalam.

Dua hari kemudian, dalam majlis yang lain, kami berjumpa lagi.. kali ini, saya pula yang mengajaknya berehat dalam van merah itu. Katanya,” Terima kasih banyak sahabat.”

Van merah ini memang banyak jasanya kepada saya. Semasa terjadinya kes Jimmy Chua menjadikan petugas perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Penjara Pudu sebagai tebusan kemudiannya, van itu juga menjadi pejabat bergerak kepada wartawan Utusan.

Lima hari kami berkampung di situ. Van itulah pejabat dan van itu jugalah tempat kami bergilir-gilir berehat dan tidur-tidur ayam. Van itu juga menjadi tempat kami menjamu selera dengan nasi bungkus dan yang pastinya van itu juga menjalankan rutin harian membawa lapan atau 10 orang rakan termasuk dari media lain ke Hotel Hilton atau Equatorial setiap pagi.

Kami ke hotel itu bukan untuk menginap, tetapi sekadar basuh muka atau mandi, buang air dan menukar pakaian. Demikianlah halnya gara-gara Jimmy Chua yang akhirnya tewas digempur oleh pihak polis. Jimmy menjadi lemah kerana sepanjang peristiwa tebusan itu, beliau hanya makan mi segera yang terdapat dalam klinik tempat beliau cuba menawan itu.

Van merah ni..walaupun banyak membantu saya dan rakan-rakan menjalankan tugas, namun ada ketikanya ‘memeningkan’ kepala Datuk Khalid Mohd. yang ketika itu menjadi Pengarang Berita.

Saya hanya menyedari hal itu pada suatu hari apabila sambil senyum-senyum beliau berkata;” Kalau pi makan (tengahari) janganlah bawa sampai satu bas mini.” Beliau berkata demikian kerana lazimnya kawan-kawan akan tumpang van merah untuk makan di luar pejabat.

Kadang-kadang kami cari kari kambing di Cheras atau jika ‘ masyuk’ lebih, kami ‘ tong-tong' pekena kepala ikan di restoran Stadium Merdeka atau kalau tak cukup ‘budget’ kami sekadar pekena ikan bakar di Jalan Bellamy, berhampiran Istana Negara.

Kalau hari Sabtu atau Ahad pula, kami ada ko-kurikulum iaitu pergi ke garage sale untuk mencari barang-barang terpakai yang bermutu. Yang ini.. Khalid Mohd. tak boleh larang… sebab dia mengamalkan English proverb iaitu, ‘If you cannot fight, you join them’ .

Suatu hari, saya dan Rozaid Abdul Rahman (kini Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) menerima undang memberi ceramah kewartawanan di sebuah sekolah di Johor Baharu. Maka, dengan van merah itu juga kami ke Johor bersama empat orang rakan yang lain.

Kami bergerak pada waktu malam selepas habis bekerja. Sampai di Johor Baharu awal pagi. Nak tidur di hotel, tak berbaloi sebab dah pagi. Kami ambil keputusan berehat di Pantai Lido sahaja sementara menanti masuknya waktu solat subuh.

Kawan-kawan bergelimpangan dalam kereta, tetapi saya turun dari van dan berbaring di atas bangku batu di taman itu manakala Rozaid tidur di bangku penumpang sebelah depan.

Tiba-tiba seorang lelaki dewasa membuka pintu pemandu dan terus menaiki van, Dia membunyikan mulutnya bagaikan bunyi enjin dan bergaya sebagai pemandu laju. Saya memerhatikan dari bangku batu kerana menyangka lelaki itu adalah kenalan Rozaid sedangkan Rozaid pula menyangka dia sahabat saya.

Kami perhatikan sahaja gelagatnya beberapa minit sehinggalah kawan-kawan yang lainpun bangun. Rupa-rupanya lelaki berkenaan ‘terputus pendawaiannya’. Selepas meminta sebatang rokok daripada Rozaid, beliau turun dari van dan meneruskan ‘perlumbaannya’ menaiki motosikal pula iaitu pelepah pokok pinang yang dia jumpa di tepi pantai berkenaan.

Selesai memberi ceramah di sekolah yang diatur oleh Cikgu Shamsiah Mohd. Amin, pelajar UKM yang pernah menjalani latihan amali di Utusan, kami ronda-ronda ke Singapura menaiki van tersebut. Selepas waktu Asar baru kami keluar dari republik berkenaan. Entah macam mana…. Dah keluar dari Singapura baru perasaan, cukai jalan van merah dah tamat rupa-rupanya.

Apabila ‘road-tax’ dah mati, barulah gabra nak tengok lesen memandu pula… Waduh… lagi kanan rupa-rupanya kerana lesen saya dah mati empat bulan lamanya. Oleh sebab lesen dah mati, saya minta seorang sahabat iaitu Haji Zainal Abidin Abdul Ghani untuk memandu.

Oleh kerana terlalu kenyang makan pada malam itu….. semua orang letih dan tak larat nak memandu dan akhirnya, Haji Zainal mengambil keputusan berhenti di tepi jalan untuk kami berehat.

Cepat betul mata terlena.. Entah macam mana pula, sebuah treler membawa simen terbabas dan nyaris-nyaris terlanggar van kami. Kami terkejut dan terus terbangun. Apabila terbangun, kami lebih terkejut lagi kerana rupa-rupanya kami parking di kawasan jirat cina.

Mengantukpun hilang dan kami teruskan perjalanan ke Kuala Lumpur dengan penuh kenangan .-7/2/2008

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 343  tetamu dalam talian