19Mac2019

Alahai Flying Tiger dan harimau terbang.....

ikon-bad-200-latestSetiap kali melalui Jalan Puchong dalam perjalanan pergi dan balik ke Shah Alam atau Klang, perhatian saya pasti tertarik untuk melihat satu kawasan perumahan yang terletak di atas puncak bukit. Lokasinya, Kampung Baharu Batu 14 Puchong. Ada dua sebab saya tidak boleh lupa mengenai lokasi itu, pertama kerana peristiwa pesawat Flying Tiger yang terhempas di situ dan yang keduanya mengenai 'harimau terbang' berhampiran kandang kerbau milik Universiti Pertanian (kini Putra) Malaysia (UPM) di situ.

Kedua-dua kejadian atau peristiwa itu menjadi tajuk besar pihak media ketika itu dan bagi penduduk tempatan, menjadi kenangan sejarah yang sukar untuk dilupakan.

Pada pagi 19 Februari 1989, tatkala saya sedang bersembang-sembang dengan seorang sahabat lama, Ramli Ismail, saya dikejutkan dengan panggilan telefon ATUR. Saya terkejut kerana panggilan ke talian ATUR sudah pasti dari Utusan Melayu kerana telefon itu milik syarikat dan kawan-kawan atau saudara-mara tidak tahupun nombor talian berkenaan iaitu 010-332236. Apabila telefon berbunyi, hati mulai berkata, siapa pula yang memanggil pada pagi hari berkenaan.

Almaklumlah, masa dulu-dulu, nombor pemanggil tidak tertera seperti sekarang.

Sambil bergegas menuju telefon yang diletakkan di bilik tidur, hati bingkas mengagak.... kalau bukan si Rosli Ismail yang panggil, tentulah Zainuddin Maidin (ZAM). Rosli ketika itu pemangku Pengarang Berita Utusan manakala ZAM (kini Tan Sri) adalah Ketua Pengarang. Rosli (kini Ketua Pengarang Agendadaily) jarang sekali akan 'call' saya apatah lagi pada waktu pagi. Maka jangkaan saya terus menjurus kepada ZAM.

"Helo, Assalamualikum, siapa tu..?" saya mula menjawab telefon ATUR berkenaan. "Ooi gemok, buat apa tu. Dah bangun ke belum,'' lagi terkejut beruk dibuatnya. ZAM pasti tidak akan menyergah saya begitu dan saya cukup cam suara dan rentak lagu percakapan ZAM.

"Abang Ayoblah..." kata pemanggil berkenaan setelah saya bertanya siapa tu. Abang Ayob Tahir, adalah Ketua Jurufoto Kumpulan Utusan Melayu ketika itu. Oleh kerana abang Ayob keturunan boyan dan menjadi ketua pula di Unit Jurufoto, kami lebih mesra memanggilnya dengan timangan, Pak Lurah. Malah isterinya yang berniaga makan di kawasan Jalan Binjai, Ampang (kini tapak bangunan Hotel Nikko), pun kami panggil Mak Lurah.

Pak Lurah yang membuat panggilan dari telefon awam memberitahu ada kapal terbang terhempas di Batu 14 Puchong. Dia menyuruh saya datang segera kerana rumah saya di Bandar Baru Bangi agak berdekatan dengan Puchong. Kata Pak Lurah, lokasi tidak jauh daripada kebun yang sedang diusahakannya. Beria-ia benar dia menyuruh saya segera datang. Api masih menjulang katanya.

"Bang...jangan nak lawaklah bang.. datang sini makan cekodok lagi bagus,'' kata saya kepada abang Ayob yang selama ini memang selalu berseloroh dan sukar untuk saya percaya. Beliau berkali-kali menyakinkan saya dan meminta menghubungi pejabat untuk menugaskan wartawan membuat liputan.

Akhirnya saya yakin dan mengalah. Bersiap sedia dari rumah, van merah menjadi pengangkutan.. dan yang sangat penting dibawa adalah telefon ATUR. Telefon itu tidak boleh dipanggil telefon bimbit kerana ia memang tidak boleh dibimbit. Bentuknya macam beg dan beratnya kira-kira 17 kilogram. Walaupun berat dan terpaksa digendong, itulah alat perhubungan tercanggih yang disediakan oleh syarikat ketika itu.

Sebelum bergerak ke lokasi saya telah menghubungi rakan-rakan di pejabat untuk penugasan peristiwa itu. Mereka datang menaiki van C20 syarikat. Ketika itu, van berkenaanlah yang digunakan ke hulu ke hilir untuk penugasan liputan jenayah dan tugas luar kawasan. Satu-satunya kereta yang 'ada kelas' ketika itu adalah Nissan 130Y yang dilengkapkan dengan telefon ATUR berkenaan. Namun pada hari tersebut, kereta itu berada di bengkel dan ATURnya dikeluarkan, lalu dipindahkan ke van merah.

Saya pergi ke Batu 14 Puchong bersama-sama rakan Ramli Ismail yang menawar diri untuk ikut sama. Ramli rakan sekuliah di Universiti Kebangsaan Malaysia pada awal tahun 1980-an adalah bekas koperal Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Beliau berkhidmat sebagai pembantu dalam pasukan menyelenggara pesawat udara. Sampai sekarang, rakan-rakan masih memanggilnya Ramli Koperal walaupun dia sudah bersara sebagai pengurus kanan sebuah syarikat antarabangsa milik Jepun. Apabila dia menawar diri untuk ikut serta, saya terus setuju.

Sampai di Kampung Batu 14 pihak polis sudah mengadakan sekatan jalan raya untuk mengehadkan kedatangan kepada petugas penyelamat dan petugas berkaitan sahaja termasuk media. Pihak polis menunjukkan tempat letak kereta dan jalan menuju ke bukit tempat kapal terbang tersebut tertempas.

Apa lagi, hayun kakilah untuk sampai ke bukit berkenaan. Nasib baik Ramli Ismail ada. Badannya yang 'slim' dan bekas tentera pula, memanjat bukit bukanlah masalah baginya. Dia membantu menggalas telefon ATUR yang seberat 17 kilogram itu. Saya bawa beg berisi buku catatan, kamera dan air minuman. Selesai masalah menggalas beg ATUR yang berat.

Masalah hanya timbul apabila berada di pertengahan perjalanan. Di dalam kebun sayur dan belimbing besi itupun ada sekatan polis lagi. Salah seorang anggota polis dari pasukan hutan meminta kad pengenalan diri dan Ramli mulai teraba-raba. Saya menujukkan kad wartawan sambil memperkenalkan Ramli Ismail sebagai wartawan dari Perlis yang baharu ditugaskan ke KL dan tertinggal kad di dalam keretanya. Memang ada Ketua Biro Perlis bernama Ramli Ismail, tetapi bukan kawan itu. Polis berkenaan melepaskan kami dan beberapa orang wartawan lain.

Perjalanan tidaklah jauh sangat tetapi melalui lorong-lorong kebun dan bukit pula sangat curam. Hampir sejam baharulah kami sampai ke puncak berkenaan. Sampai di sana, Abang Ayob yang sudah mengambil gambar-gambar menarik, ketawa melihat ketibaan saya yang basah kuyub kerana peluh. Ketika itu juga lalu seseorang menaiki kapcai... Lah.. ada jalan rupa-rupanya di atas puncak itu.
 
Rupa-rupanya berdekatan tempat kejadian, ada perkampung Orang Asli, jadi mereka adalah di antara orang yang terlebih awal sampai ke situ. Kami yang tak tahu latar belakang Kampung Batu 14 berpeluh dan kepenatan mendaki bukit sedangkan ada jalan melalui belakang bukit. Belakang bukit berkenaan kini adalah taman-taman perumahan dan sudah ada pasaraya mega di situ.

"Kasihan sigemok,'' kata abang Ayob dengan senyuman. Kami hanya senyum sambil melabuhkan punggung bersandar di sebatang pokok yang besar. Memang kasihan..memanjat bukit dan bergilir-gilir pula menggalas ATUR 17 kilogram. Sampai di atas puncak, saya cuba menghubungi Rosli. Malang sekali, telefon tidak boleh digunakan. Baterinya sudah lemah dan perlu dicas semula. Nak cas di mana di bukit dalam hutan tu..? Sia-sia sahaja. Dahlah berat..tak dapat guna pula!

Kami kemudiannya membuat pelbagai liputan sehinggalah pada sebelah petang datanglah lebih ramai lagi rakan wartawan.

Empat orang dalam pesawat Flying Tiger termasuk kapten dan juruterbang keduanya maut. Dilaporkan ada pihak yang terjumpa tin minuman keras di dalam kokpit pesawat dan macam-macam cerita lain.

Bagaimanapun, mengikut laporan rasmi pihak berkuasa syarikat penerbangan itu nahas tersebut berpunca daripada komunikasi yang disalahfaham oleh juruterbang pesawat Boeing 747-249F yang baharu sahaja kira-kira 30 minit berlepas dari Lapangan Terbang Changi Singapura menuju lapangan terbang antarabangsa Subang. Juruterbang penerbangan Tiger 66 itu memberitahu pusat kawalan mengenai kedudukannya kira-kira 12 kilometer untuk mendarat di Subang dan meminta arahan selanjutnya.

Menara kawalan udara (ATC) memberi arahan melalui radio berbunyi: "Descend two four zero zero " yang bermaksud turun 2,400 kaki. Kapten pesawat Tiger 66 mendengar "descend to four zero zero yang bermaksud turun ke 400 kaki, dan membalas arahan itu dengan berkata "o.k four zero zero."

Tidak lama selepas itu berdentumlah pesawat kargo berkenaan kerana ia telah terbang 2,000 kaki lebih rendah daripada sebelumnya sedang bukit berkenaan berada 600 kaki dari ketinggian laut. Berkecailah sudah pesawat berkenaan dan bermulalah liputan kami yang pelbagai.

Walaupun pihak berkuasa kemudiannya melarang bukan petugas untuk menghampiri kawasan kemalangan termasuk media, ada juga yang 'gatai tangan' untuk mencari apa-apa peninggalan atau serpihan sebagai cenderamata. Kalau tak silap.. Rosli yang tiba lebih lewat kemudiannya membawa pulang serpihan kipas pesawat tersebut. Apa sahaja yang boleh dijadikan ingatan akan dibawa pulang. Saya hanya membawa kenangan betapa sakitnya hati mendaki bukit sedangkan ada jalan tikus di kawasan itu.

Selang beberapa lama kemudian, Kampung Batu 14 Puchong heboh sekali lagi. Kali ini bukan fasal Flying Tiger tetapi mengenai Harimau Terbang. Harimau terbang adalah mengenai kisah benar seekor harimau yang cukup besar. Harimau itu masuk ke kandang kerbau milik UPM.

Harimau berkenaan menangkap seorang kerbau yang dewasa dan membawanya keluar dengan cara melompat pagar. Pagar tidak roboh, tetapi kerbau berjaya dikeluarkan. Disebut peristiwa berkenaan sebagai Harimau Terbang mungkin mengambil peristiwa Flying Tiger itu, tetapi harimau itu akhirnya ditembak oleh PERHILITAN (guna pelali) dan dipindahkan.

Kini lokasi berkenaan sudah tidak ada harimau lagi, yang ada hanyalah yang terpampang di logo sebuah bank di kawasan berhampiran. Seekor lagi terdapat pada logo stesen minyak... Alahai Flying Tiger.-11/7/2011

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 477  tetamu dalam talian