08Disember2019

Agenda Daily

Wanita UMNO sedih BRIM bakal dihapuskan...

Pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menghapuskan bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) merupakan satu berita yang amat menyedihkan dan satu langkah kebelakang oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata, BR1M bukan sahaja amat penting buat rakyat yang memerlukan, malah merupakan satu program yang bertujuan merangsang ekonomi negara.

Malah, kata beliau, keberkesanan pemberian bantuan tunai kepada rakyat dalam meningkatkan penggunaan domestik turut diperakui oleh sekumpulan tokoh ekonomi Britain seperti yang dilaporkan oleh The Guardian pada tahun 2016.

Menurut beliau, The Guardian memetik seramai 35 pakar ekonomi Britain termasuk Lord Robert Skidelsky dan Herman Daly yang mahu bank pusat negara mereka turut melaksanakan pemberian bantuan tunai bagi mengatasi kelembapan ekonomi berbanding melaksanakan pemotongan kadar faedah.
.
“BR1M terbukti bukan setakat menolong golongan berpendapatan rendah semata-mata tetapi ia lebih daripada itu sebagai satu program penyusunan semula ekonomi makro Malaysia yang lebih berorientasikan subsidi.

“Bantuan ini diberi kepada golongan yang benar-benar memerlukan dan mereka akan berbelanja untuk keperluan sendiri dan pada masa sama membantu menggerakkan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan media.

Noraini berkata, dalam konteks BR1M, peningkatan perbe­lanjaan oleh golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) setelah menerima bantuan tunai itu telah memberi suntikan berganda kepada ekonomi domestik.

Justeru, katanya, langkah kerajaan terdahulu iaitu Barisan Nasional (BN) melaksanakan BR1M kerana kaedah itu bukan sahaja membantu merangsang ekonomi, tetapi juga berjaya membantu golongan yang sepatutnya menerusi subsidi bersasar.

Kata beliau, mereka yang terlibat dalam bidang perdagangan runcit seperti pemilik kedai runcit turut menerima manfaatnya kerana kebanyakan penerima akan membelanjakan wang bantuan ke arah tersebut, sekali gus akan meningkatkan permintaan barang dan perkhidmatan.

Tambah beliau, negara sepatutnya mengambil masa yang lebih lama untuk melihat hasil impak yang lebih menyeluruh BR1M kepada rakyat, tetapi malangnya kerajaan BN tumbang di peringkat awal pelaksanaan BR1M.

Sehubungan itu, katanya, Wanita UMNO Malaysia berharap kerajaan PH menarik balik keputusannya untuk menamatkan BR1M yang telah pun diberi nama baharu Bantuan Sara Hidup (BSH).

“Bagi penerima BR1M yang dikenali kini BSH, gunakanlah baki BSH yang tinggal sebaik-baiknya. Jangan dibelanjakan ke atas barangan yang tidak perlu.

“Belanjakan ke atas barang makanan untuk keluarga kerana mengikut kajian harga barangan makanan berkemungkinan naik lagi selepas cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dikuatkuasakan 1 September ini,” katanya.-27/8/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 361  tetamu dalam talian