25September2020

Agenda Daily

Sekat budaya bawa lari kerusi....

Budaya keluar parti, isytihar sebagai wakil rakyat Bebas mahupun melompat ke parti lain seolah-olah sudah menjadi trend terkini segelintir ahli politik di negara ini. Perkembangan ini dilihat semakin menular dan menjadi-jadi secara drastik selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

Hampir setiap hari ditularkan di media sosial tentang kemungkinan wakil rakyat keluar parti ataupun melompat parti ter­utamanya dari parti yang kalah. Walaupun ini bukanlah suatu budaya baharu di Malaysia dan pernah berlaku sebelum ini namun dewasa ini ia dilihat semakin menjadi-jadi terutamanya apabila UMNO dan Barisan Nasional (BN) buat pertama kali gagal untuk membentuk Kerajaan Pusat. Perkara ini seolah-olah sudah tidak boleh dibendung lagi. Pelbagai alasan dan sebab diberikan oleh pihak yang sama ada keluar parti dan isytihar bebas ataupun melompat ke parti lain.

Ada antara alasan mereka yang boleh diterima akal fikiran kita dan tidak kurang juga yang me­nimbulkan pelbagai spekulasi liar atau memperlihatkan nada kekecewaan kerana partinya kalah. Walau apapun kita akui keputusan di tangan mereka dan memang mereka berhak untuk memutuskan sama ada kekal dalam parti yang mereka dukung selama ini mahupun isytihar bebas ataupun masuk parti lain mengikut kesesuaian agenda perjuangan semasa masing-masing.

Apapun akibat perbuatan ini, pihak-pihak yang terlibat iaitu dengan wakil rakyat itu seperti parti yang telah dianggotainya selama ini, parti baharu yang beliau anggotai, pengundi kawasan yang diwakilinya serta Suruhanjaya Pilihan Raya kesemuanya mempunyai seribu satu perasaan, persoalan dan teka teki apabila wabak ini semakin merebak di negara kita. Yang pasti masing-masing terkejut, keliru dan tidak puas hati dengan perkembangan seperti ini.

Jadi besarlah harapan kita agar isu lompat parti ini dipandang serius dan segera dibendung supaya terus tidak menular dan merebak ke dalam masyarakat sehingga mencemarkan sistem demokrasi di negara ini. Ini kerana kita khuatir ia akan memberi impak politik yang negatif dan sangat dahsyat kepada masyarakat kita pada masa akan datang.

Mahu tidak mahu kita tidak boleh lari daripada politik. Baik sebagai pengundi, orang awam mahupun sebagai orang politik. Politik ada di mana-mana dan ada dalam semua urusan seha­rian kita. Justeru masyarakat kita cenderung untuk mengambil tahu apa yang sedang berlaku dalam arena politik di negara ini dan rata-rata semakin risau de­ngan budaya baru ini.

Rakyat ataupun lebih tepat lagi pengundi mahukan wakil yang mereka pilih itu dapat berkhidmat dengan penuh amanah, taat dan setia kepada pengundinya. Mereka mengundi kepada wakil rakyat tersebut dengan harapan yang tinggi menggunung agar kebajikan dan hak mereka terbela.

Bagi sesetengah pengundi, mereka tidak begitu kisah akan latar belakang calon yang mereka undi kerana yakin dengan calon yang ditampilkan oleh parti yang didukung selama ini. Bagi kelompok ini apa yang penting ialah ideologi, aspirasi dan perjuangan parti dan itu lebih penting dari individu calon. Jadi bayangkan apa perasaan penyokong dan pengundi ini apabila calon yang mereka undi itu begitu mudah isytihar keluar parti dan cende­rung menyokong parti lain.

Keadaan menjadi semakin teruk apabila calon tersebut telah pun menang hasil usaha semua jentera parti selama ini dan akhir­nya mahu lompat ke parti lain. Ironinya, ada dalam kalangan yang baru keluar parti ini orang lama parti dan selama ini tidak pernah mempertikaikan ideologi dan perjuangan namun kali ini memutuskan untuk keluar parti itu pun selepas pilihan raya. Perkara ini tidak akan dianggap terlalu pelik jika mereka keluar parti sebelum PRU-14 tempoh hari.

Memang buat masa ini tidak menjadi suatu kesalahan di sisi undang-undang jika seseorang wakil rakyat yang dipilih bertindak keluar parti atau lompat ke parti lain namun apa yang menjadi persoalan kepada kita adalah nilai pegangan perjuangan dan ideologi politik calon tersebut. Apakah perjuangan dan ideologi itu boleh dijual beli atau berubah-ubah mengikut keadaan ataupun mengikut sesuatu insiden yang berlaku? Juga apakah nilai dan ideologi itu hanya didukung ketika menang tetapi boleh dilupakan begitu saja bila kalah?

Walau apa sekalipun alasan mereka, yang pastinya rakyat semakin keliru dan resah dengan tindak tanduk ahli-ahli politik sebegini yang boleh berubah dalam sekelip mata atas pelbagai alasan yang mereka ciptakan.

Malaysia pun mencapai usia kemerdekaan 61 tahun pada tahun ini namun budaya politik para ahli politiknya masih belum cukup matang dan profesional yang akhirnya boleh merosakkan dan menghancurkan negara ini. Mengambil kira senario ini, mungkin sudah tiba masanya difikirkan secara serius cadangan daripada pelbagai pihak sebelum ini yang mahu diwujudkan undang-undang untuk menghalang amalan ini. Apakah Undang-undang Antilompat Parti jawapannya?

Jika tiada cara lain, mungkin itulah satu-satunya cara terbaik untuk mengekang budaya ini daripada terus mencemar institusi politik dan demokrasi di negara ini. Secara prinsipnya kita tidak mahu ahli politik menjadikan amalan lompat parti sebagai perkara biasa yang mana jika menang kekal dan jika partinya kalah lompat ke parti yang menang pada setiap musim pilihan raya.-4/7/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 356  tetamu dalam talian