25September2020

Agenda Daily

Penjelasan sokongan ADUN BN kepada perlantikan Speaker DUN Kedah

Difahamkan bahawa terdapat kritikan melahirkan ketidakpuasan hati dibuat terhadap tindakan 3 Adun BN yang memberi undi menyokong perlantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.
 
Untuk pengetahuan umum khususnya pihak berkenaan, sejak dari awal merdeka lagi setiap ADUN BN mengamalkan konsep patuh kepada keputusan pucuk pimpinan parti untuk bertindak mengikut arahan yang dibuat secara konsensus terutama ketika berdepan proses pengundian di dalam DUN.

Hasil daripada perbincangan pucuk pimpinan pusat dan negeri telah memutuskan supaya tiga ADUN BN menyokong perlantikan Speaker DUN dicadangkan PH. 
 
Oleh itu, adalah menjadi kewajipan bagi tiga ADUN BN untuk menterjemahkan keputusan dan arahan pucuk pimpinan parti bagi perkara perlantikan Speaker Dun berkenaan. 
 
Kematangan politik adalah perlu dalam hal ehwal kelancaran persidangan DUN dan pentadbiran Kerajaan Negeri bagi memastikan kepentingan rakyat negeri Kedah terjamin. Ia mungkin agak sukar difahami bagi mereka yang kurang matang dan terikut-ikut dengan sentimen emosi, namun bagi yang lebih mementingkan kepentingan rakyat maka mereka akan faham tentang keputusan pucuk pimpinan BN untuk tiga ADUN BN menyokong perlantikan Speaker Dun PH.
 
Sementara itu, tiada arahan untuk bertindak berkecuali seperti yang dimahukan oleh segelintir akar umbi berkenaan. 
 
Adalah penting bagi setiap ahli politik BN mengutamakan pendirian pucuk pimpinan parti yang dipilih majoriti akar umbi dalam membuat keputusan di dalam sidang DUN. Keputusan itu jelas menunjukkan BN meneruskan tradisi politik matang mendahulukan kepentingan rakyat di negeri ini, sekaligus mendokong kemuliaan Dewan Undangan Negeri yang bernaung di bawah DYMM Sultan Kedah. 
 
Ingin ditegaskan di sini bahawa tiga ADUN BN tidak akan sesekali bertindak khianat kepada UMNO/BN dan kami komited memperjuangkan suara parti berlandaskan kepentingan Islam, bangsa Melayu dan rakyat secara keseluruhan, serta negeri dan umumnya tanah air. 
 
Kami juga yakin bahawa meskipun Speaker DUN Kedah yang dilantik itu daripada pihak PH, namun kedudukan Adun Kerajaan dan ADUN Pembangkang yang sama jumlah bilangannya akan menjadikan DUN Kedah sebagai contoh "check & balance" di negara ini.
 
Bukan mudah untuk Kerajaan PH Kedah berdepan barisan ADUN pembangkang dan sekiranya sedikit ketidakstabilan dalam Kerajaan PH itu sendiri akan "memakan diri" mereka sendiri. 
 
Sekian, terima kasih. 
 
1. Datuk Suraya Yaacob
Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tiang
 
2. Datuk Dr. Ku Rahman Ku Ismail
Ahli Dewan Undangan Negeri Guar Chempedak
 
3. Datuk Norsabrina Mohd Noor
Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Baharu
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 445  tetamu dalam talian