30Mei2020

Agenda Daily

Pemuda UMNO cadang Zahid bercuti sehingga kes mahkamah selesai

Pemuda UMNO mencadangkan agar Presiden Datuk Seri Dr  Zahid Hamidi dapat mempertimbangkan untuk bercuti buat seketika daripada menjalankan tugas sehingga kes di mahkamah selesai.
 
Bercakap dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Exco pergerakan itu di PWTC petang Khamis Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi menafikan laporan sebuah portal kononnya Pemuda UMNO bermesyuarat hari ini untuk mendesak Zahid dan Datuk Seri Najib Tun Razak meninggalkan parti berikutan kes mahkamah yang sedang mereka dihadapi.
 
Katanya mesyuarat Exco hari ini adalah mesyuarat bulanan biasa dan bukan mesyuarat khas seperti didakwa.
 
Asyraf berkata cadangan ini tidak mempunyai sebarang sentimen atau niat jahat untuk menjatuhkan Zahid, sebaliknya bagi memberi kebaikan kepadanya supaya dapat berehat.
 
“Bagi Pemuda, rehat daripada menjalankan tugas sebagai presiden bukanlah bermakna Zahid di anggap sudah bersalah.Pemuda tetap berpendirian, selagi tidak disabitkan hukuman, beliau berhak dilayani sebagai seorang yang tidak bersalah berasaskan prinsip Islam dan perundangan,” katanya.
 
Ditanya individu yang sesuai untuk memangku jawatan Presiden UMNO jika cadangan agar Zahid berehat diterima,Asyraf berkata perkara itu akan diputuskan Mesyuarat Tertinggi UMNO kelak.
 
Pada Isnin lalu Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa yang ditemui wartawan di lobi Parlimen menjelaskan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang memerlukan ahli UMNO berjawatan tinggi mengambil cuti bekerja jika didakwa di mahkamah, hanya terpakai ketika parti itu menjadi kerajaan.
 
Menurutnya ia tidak terpakai dalam kes pendakwaan Zahid kerana parti itu belum mewujudkan sebarang SOP sejak menjadi pembangkang.
 
Sehubungan itu, katanya, hanya Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang berhak menentukan kedudukan Zahid ketika ini, kerana isu sama ada beliau perlu bercuti susulan pendakwaan di mahkamah, tidak ada dalam perlembagaan atau peraturan parti.
 
“Sewaktu dalam kerajaan, jika ada orang kita didakwa, mungkin SOP itu sesuai digunakan pada waktu itu.
 
“Tetapi sebagai pembangkang masih belum ada SOP. Segala-galanya baru bagi kita, jadi kita perlu berbincanglah.
 
Annuar berkata, belum ada sebarang perbincangan rasmi berhubung kedudukan Zahid dan ahli MKT mungkin berbincang mengenainya dalam mesyuarat bulan depan.
 
“Setakat ini belum ditetapkan (tarikh perbincangan), kita tidak anggap itu sebagai sesuatu yang mustahak, mungkin dalam mesyuarat kita bulan depan,” katanya.- 25/10/2018
 
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 1531  tetamu dalam talian