21September2020

Agenda Daily

Mengisi kemenangan, mengurus kekalahan

Nampaknya Malaysia baharu berdepan dua pola politik. Di satu pihak Pakatan Harapan terpaksa mencermati langkah mengisi kemenangan. Manakala di pihak parti-parti komponen BN bertungkus-lumus menguruskan kekalahan.

Apa pun, kedua-dua senario baharu ini sangat mencabar. Pengakuan terbuka parti-parti komponen BN buat pertama kalinya menyatakan kesilapan ketika memegang kuasa. Benar kata-kata John Emerich Edward Dalberg Acton (1834–1902). “Power tends to corrupt, and absolute power corrupts absolutely”, - bahawa kuasa membawa kepada korupsi manakala kuasa mutlak menyebabkan korupsi yang mutlak juga.

Mereka yang selama ini ghairah merebut kuasa harus waspada. Daripada Abdul Rahman bin Samurah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: Wahai Abdul Rahman bin Samurah Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sebab jika ia diserahkan kepadamu kerana permintaanmu maka ia akan diserahkan bulat –bulat kepadamu. Sebaliknya jika ia diserahkan kepadamu tanpa permintaanmu maka engkau akan diberikan pertolongan dalam melaksanakan tugasmu. (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Bagi yang menang dalam sistem politik demokrasi iaitu melalui pilihan raya, beban berat ialah untuk menunaikan amanah kemenangan. Dalam hal ini cabaran berat ialah untuk memenuhi janji akan memberi khidmat terbaik kepada rakyat. Lazimnya pada awal kemenangan wakil rakyat yang terpilih bagaikan penyapu baharu, bersungguh menyantuni kerenah rakyat.

Akan tetapi lama kelamaan akan mula disibukkan oleh pelbagai urusan untuk mengekalkan kedudukan dan berusaha untuk melobi agar dapat meraih posisi lebih tinggi. Maka dengan sebab itu menjadi wakil rakyat menganggap ia rezeki.

Padahal kemenangan adalah beban tanggungjawab yang sangat berat. Dalam pembangunan yang semakin kompleks, tanggungjawab wakil rakyat menghadapi keperluan rakyat luar biasa rumit. Rakyat yang terdiri daripada masyarakat yang semakin rencam menyebabkan kerenah dan masalah yang pelbagai perlu dilayani.

Kadangkala berlaku percanggahan antara kehendak rakyat dengan dasar kerajaan. Ada masanya wakil rakyat terpaksa berdepan dengan rempuhan pembangunan yang menimbulkan konflik antara rakyat dan pelabur swasta. Pokoknya tidak mudah merungkai masalah tatkala harapan dan tuntutan rakyat bertambah kompleks.

Dalam masa sama mengisi kemenangan untuk mengekalkan kemenangan juga bukan mudah. Ada sahaja oportunis mencari kesempatan untuk menyelit agar mendapat habuan kemenangan.

Tidak dinafikan ramai juga yang berusaha secara murni membuktikan rakyat tidak silap memilih mereka. Menyantuni keperluan rakyat sekali gus membangunkan negara setelah beretorik sepanjang menjadi pembangkang selama ini adalah sebenarnya jauh lebih sukar. Sebabnya kali ini membuat keputusan berada dalam tangan sendiri.

Menjadi parti yang memerintah mendedahkan diri kepada kritikan dan sentiasa diawasi agar tidak mengecewakan rakyat. Jika leka dan mula menunjukkan ada agenda tersirat untuk mengayakan diri, rakyat akan siap menghukum. Lebih parah apabila Pakatan Harapan dilihat sebagai kerajaan “cakap tak serupa bikin".

Manakala BN yang selama ini berkuasa berdekad-dekad lamanya terpaksa menerima realiti pahit bagaimana menghadapi keperitan untuk berubah fungsi sebagai pembangkang. Memang membangkang itu mudah, tetapi menjadi pembangkang yang bertanggungjawab adalah yang susah kerana kesilapan yang selama ini berpunca dari order lama perlu dibebankan dalam setiap sidang Parlimen.

Malah yang jauh lebih perit ialah mendepani tudingan sesama sendiri akibat kekalahan luar jangka. Mula disaksikan ahli yang dikatakan jutaan itu melampiaskan kekecewaan terhadap pemimpin yang selama ini kelihatan gah dengan kuasa dan kemewahan.

Dengan wang jutaan ringgit, jentera pilihan raya paling lengkap, media perdana yang mempertahankan kuasa BN mati-matian, akhirnya terpaksa akur kepada gelombang kemarahan rakyat.

Menguruskan kekalahan dalam keadaan sebegini sangat berat apatah lagi bila tiba masanya untuk memilih pemimpin dalam parti Melayu yang dianggap keramat itu. Slogan sudah tidak laku, lagu tema parti sudah tidak dipeduli, bendera dan wajah pemimpin yang berselerak di tepi jalan sudah dijebek.

 Keperluan perubahan dari sebuah parti yang besar diri kepada lebih tawaduk, dari mengagungkan wang kepada lebih bergantung kepada keyakinan rakyat, dari bersandiwara dan berwayang di depan rakyat beralih kepada lebih jujur dan akur kepada rintihan rakyat.

Hakikatnya sejarah akan terus berputar. Ada kalanya yang di atas berada di bawah, ada masanya yang di bawah berada di atas. Tergantung kebijaksanaan melayari bahtera pada kedudukan masing-masing. Yang sebenar diperlukan ialah kejujuran politik bukan hanya kemahuan politik.-29/6/2018

Penulis ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 373  tetamu dalam talian