21September2019

Kerajaan PH berbakat dalam penjenamaan semula...

Tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjenamakan semula program dan inisiatif di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak mendapat 'pujian' daripada bekas Perdana Menteri itu.

Najib mengatakan beliau terbuka asalkan membawa manfaat kepada rakyat merujuk tindakan kerajaan PH menjenamakan semula beberapa program sedia ada, termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ditukar kepada Bantuan Sara Hidup (BSH) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menjadi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Terbaru ialah penjenamaan semula 201 Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di seluruh negara kepada Pusat Komuniti Desa (PKD).

“Kerajaan hari ini cukup hebat dan istimewa. Mereka ini sarat dengan bakat penjenamaan semula,” tulisnya di Facebooknya.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau tahu PH mahu menghapuskan semua peninggalan kerajaan Barisan Nasional dan pentadbirannya.

“Tak apalah, nak tukar nama, tukarlah.

“Yang penting bagi saya, rakyat masih dapat manfaat dan nikmat daripada kemudahan yang diberikan melalui semua program dan inisiatif yang kita bangunkan dulu.”

Sementara itu, mengulas isu lain, Najib membidas kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mengenai hutang negara yang dikatakan nilainya lebih besar dari RM1 trillion.?

Menurut Najib, kenyataan Mohamad semasa berucap dalam seminar di Universiti Malaya mengenai nilai hutang negara jauh lebih besar daripada RM1 trilion dan terpaksa disembunyikan supaya negara tidak jatuh muflis adalah sesuatu yang mengejutkan.?

“Mat Sabu kata nilai sebenar hutang negara adalah jauh lebih besar daripada RM1 trilion yang dinyatakan Lim Guan Eng tetapi terpaksa disembunyikan supaya Malaysia tidak menjadi muflis.

“Adakah Mat Sabu dakwa Lim Guan Eng ialah seorang penipu? Ataupun maksud Mat Sabu ialah nilai hutang negara boleh ditukar-tukar sesuka hati oleh kerajaan PH?” kata Najib dalam satu kenyataan di Facebook.?

Tambah Najib, Mohamad perlu tahu bahawa pelabur-pelabur asing tidak akan berminat untuk melabur di negara yang telah muflis ataupun dengan kerajaan yang suka menyembunyikan keadaan sebenar ekonomi negara.?

Tegas Najib, Mat Sabu perlu menyedari bahawa beliau bukan lagi ahli politik pembangkang yang boleh mengeluarkan kenyataan sesuka hati seperti dahulu.?

“Dia sudah berpangkat menteri dan itupun bukan calang-calang menteri tetapi Menteri Pertahanan satu jawatan yang amat penting dan disanjung tinggi.?

“Oleh itu Mat Sabu perlu lebih bertanggung-jawab dengan kenyataannya kerana mungkin memberi kesan negatif kepada negara,” kata Najib.?

Dalam kenyataan tersebut, Najib tetap berpendirian hutang negara berjumlah RM688 bilion iaitu jumlah yang turut diiktiraf oleh tiga agensi penarafan antarabangsa dan Bank Dunia.?

Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum ini mendedahkan hutang negara berjumlah RM1 trilion.

-15/10/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 232  tetamu dalam talian