19November2019

Agenda Daily

Kemaafan luaskan penerimaan terhadap Islam - PAS

Bersabar dan memilih memaaf manusia demi menyelamatkan mereka dengan Islam lebih besar fadhilatnya daripada menghukum, demikian seru Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau memetik kisah pengisytiharan pengampunan beramai-ramai dan senarai individu yang mesti ditangkap dan dihukum sebagai penjenayah perang dalam peristiwa Fathu Makkah.

Pun begitu katanya, ada mereka disenaraikan itu datang minta maaf dan Nabi maafkan, berbanding kemenangan Revolusi Perancis, England, Rusia dan Revolusi Mao Tse Tung yang menyebabkan beberapa juta rakyat mati dibunuh.

"Tetapi Islam dituduh ganas juga. Kita sebat orang tak cedera pun, ganas. Yang sebat sampai nak mati itu, ini adil. Hukum gantung dengan guna tali zaman kuno, oh ini bagus, sesuai. Hukum Islam tak sesuai. Kepala apa macam ini?

"Ini termasuk mereka yang di luar tabie, bukan sahaja yang buat salah itu luar tabie, yang sokong ini pun luar tabie juga. Ini kita kena faham," ujarnya.

Cerita Tuan Guru, Nabi S.A.W juga pernah merasa geram dan ingin membalas dendam terhadap musuh atas kematian para Sahabat R.A dan jasad jenazah bapa saudaranya, Hamzah R.A yang dicincang.

Namun jelas beliau, Nabi dituntun agar bersikap lebih baik sebagaimana diseru dalam ayat 125 hingga 128 surah an-Nahl kerana Allah lebih mengetahui hakikat manusia yang sesat atau menerima hidayah petunjuk-Nya.

"Jangan dia buat kita sejengkal, nak balas dia 10 jengkal, jangan, jangan. Kalau menang, jaga nak tangkap, menang jaga nak 'jail', menang jaga nak hukum orang ini orang ini. Ini cara yang salah. Allah Taala melarang Nabi.

"Allah suruh Nabi sabar. Nabi sabar. Ada orang kita jumpa saya, Memali ini tak boleh maaf. Peristiwa ISA tak boleh maaf. Ini tak boleh maaf. Ini politik guna akal, bukan guna al-Quran dengan Hadis. Politik untuk menunjukkan kekuatan, bukan untuk menyelamatkan manusia.

"Bukan tak boleh hukum, tetapi kejayaan kita menyelamatkan orang dengan Islam lebih besar fadhilatnya daripada menghukum. Inilah rahsia kejayaan Islam, menguasai jalan Sutera di Asia Tengah sehingga ke Nusantara Asia Tenggara, menguasai tiga Benua," ujarnya.

Tuan Guru menceritakan mengenai banyaknya tempat dan negara di dunia termasuk yang majoriti bukan Islam kemudiannya menerima Islam secara tanpa paksaan atas sikap tersebut hingga menukar rumah ibadah mereka.

Hal tersebut jelasnya, kerana kepimpinan Islam adil dan baik kepada semua, serta menjadi contoh dan tidak sepertimana pemimpin mereka sendiri, namun kalangan yang zalim tetap menuduh Islam lebih bahaya.

Menukilkan perkembangan yang panjang, Tuan Guru menegaskan betapa Islam disebalik pelbagai cabaran ke atasnya dan ketika mana runtuhnya tamadun lain, tetap tidak mati, bahkan kini bangkit berkembang dan mara semula.

"Kalau Islam terus mara di zaman penjajahan, insyaAllah terus mara di zaman kemerdekaan yang sebenarnya bersama Islam. Satukan yang sudah menganut Islam. Yang sudah menganut Islam, satukan.

"Satukan orang Islam ini yang berbeza dengan kita. Ini diutamakan. Supaya kembali kepada Islam. Dan ajak bukan Islam supaya bersama dengan pemerintahan Islam yang adil terhadap semua.

"Alhamdulillah kita berjaya menjemput bermacam-macam parti politik hadir ke dalam Muktamar kita. Dan ahli-ahli kita sambut dengan muka yang manis, ucapan-ucapan yang surat khabar kata sudah tentu akan membakar Muktamar ini. Tiba-tiba tak terbakar.

"Majoritinya begitu mahu supaya berlakunya Politik Matang dan Sejahtera. Mengajak perpaduan umat Islam, mengajak Islam disebar untuk semua. Islam yang adil ini dengan cara matang dan sejahtera. Berlaku demikian," ujarnya gembira.-18/9/2018 -Harakahdaily

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 252  tetamu dalam talian