01Disember2020

Agenda Daily

Jangan sibuk berpolitik hingga abaikan rakyat...

Merujuk kepada laporan dalam sebuah akhbar yang telah disiarkan di Sinar Harian (Edisi Johor) pada hari ini (29 Oktober 2018) Menteri Besar Johor, Dato Osman Sapian menyatakan bahawa Ahli Umno perlu meninggalkan parti tersebut kerana parti itu sudah rosak.

Tidak kiralah baik Presiden PPBM mahupun pemangku Presiden Negeri Johor cukup-cukuplah sibuk jaga tepi kain orang, lebih baik jaga kain sendiri yang mula ‘reput’ itu. Malah berhentilah menekan dan merayu kepada Ahli UMNO untuk sertai PPBM. Patutnya mereka merayu kepada rakyat untuk memberi sokongan kepada parti PPBM, takut-takut kerusi yang dipegang sekarang ini kembali kosong dalam tempoh lima tahun lagi.

Sepatutnya, sebagai Menteri Besar, Osman Sapian tidak perlu lagi sibuk perihal UMNO kerana Osman Sapian sudah lama menjadi ‘bekas’ ahli UMNO. Sekarang masanya untuk merancang dan melaksanakan agenda yang dirancang oleh kerajaan Pakatan Harapan buat rakyat Johor.

Persoalannya, jika Osman Sapian tidak habis-habis sibuk dengan berpolitik, bilakah masa  yang diambil untuk bersama-sama rakyat?

Ini belum lagi petik soal ekonomi negeri Johor, adakah perkembangan ekonomi negeri Johor lebih baik sejak Osman Sapian mengambil alih negeri ini?

Tidak perlulah berpolitik sepanjang masa, ada lebih baiknya Osman Sapian berikan tumpuan sepenuhnya kepada hala tuju pembangunan dan kebajikan rakyat negeri Johor. Malah rakyat negeri Johor khususnya harus menjadi keutamaan kepada Osman Sapian  selagi mana beliau memegang jawatan sebagai Menteri Besar Johor, bukannya sibuk buat kajian sama ada UMNO masih baik ataupun sudah rosak.

Sepanjang lima bulan Osman Sapian memerintah negeri Johor, apa sahaja perkara besar yang benar-benar memberi impak kepada negeri Johor yang sudah dilaksanakan? Kalau ada pun, hanya banyak langkah penjenamaan semula dari Osman Sapian dan barisan Exco-exco negeri Johor.

Soalnya, setakat hari ini berapa banyak sudah Osman Sapian menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda Johor? Jika perkara ini belum mampu untuk disediakan, kenapa sibuk-sibuk masuk campur dalam urusan UMNO? Sebelum jaga tepi kain orang ada baiknya fikir masalah yang dihadapi rakyat sendiri lebih-lebih lagi dengan kos sara hidup yang semakin tinggi ini.

Dalam pada itu, baru-baru ini menerusi Twitter rasmi DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail ada menulis “Ni bukan time berkempen or kejar popularity, Picasso. This is time to deliver. This is what happen when you’re too busy kissing a**”

Walaupun, Tunku Ismail tidak menujukan tulisan tersebut ke mana-mana pihak. Saya ingin meminjam kata-kata itu untuk ditujukan kepada pemimpin di negeri Johor khususnya pemimpin Pakatan Harapan yang telah menjadi kerajaan. Sepatutnya mereka perlu faham apa maksud tersirat kata-kata tersebut.  

Mungkin maksud tersirat disebalik kata-kata tersebut, Tunku Ismail mahukan supaya nasib rakyat terus dibela dengan sebaiknya. Tiba masanya, pemimpin yang diilih oleh rakyat berbakti kepada rakyat yang banyak berjasa dan berhenti berpolitik. Tunjukkanlah  kepada rakyat kenapa rakyat berbaloi memilih mereka sebagai pemimpin dalam PRU-14 yang lalu.

Kesimpulannya, tidak salah jika berpolitik sememangnya itu tugas ahli politik tetapi yang salahnya jika berpolitik sehingga kebajikan rakyat mula terabai tanpa pembelaan sewajarnya.  Ingatlah jawatan yang dipegang itu dari rakyat dan tidak mustahil rakyat juga boleh lepaskan jawatan yang dipegang itu dari pemimpin yang dipilihnya.-30/10/2018 *gambarhiasan


Penulis merupakan penyelidik Persatuan Pemikir Muda Johor.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 435  tetamu dalam talian