21September2020

Agenda Daily

Jangan bersilat siang malam tapi keris tak menikam...

“Bangkitlah dari tidur. Kita memilih dan berebut untuk jadi panglima. Jangan pula tiada keris di pinggang, bersilat siang malam tapi keris tidak menikam,” itu kata Tan Sri Annuar Musa dalam satu tulisan panjang pada Isnin.

Beliau turut menggesa pimpinan UMNO menghentikan  kritikan dan bercerita mengenai perkara jelik berkaitan parti itu samada melalui khalayak mahupun media.

Ahli Parlimen Ketereh berkata, walaupun berniat baik, tindakan itu tidak membantu parti.

Jelasnya, terlalu banyak pendedahan berkaitan hal dalaman parti kepada media, sedangkan parti lain sedang mentertawakan mereka.

“UMNO sudah memilih. Terima sajalah keputusan dengan reda. Kita masih beroperasi seolah-olah kita parti kerajaan,” katanya yang tewas kepada Datuk Seri Mohamad Hassan dalam pemilihan bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Sebaliknya beliau mengajak pimpinan UMNO berubah dan mula menyusun strategi secara senyap tanpa diketahui musuh.

“Corak berorganisasi perlu dibaiki. Lakukan apa yang dijanjikan dan jangan bersendirian. Kita tidak ada ‘Superman’. Semua ahli majlis tertinggi mesti pikul tugas tertentu..buang cara majlis tertinggi yang lama,” tegasnya.

Annuar turut menasihatkan agar pimpinan UMNO kembali ke medan juang, dan bukannya berpusat di Kuala Lumpur mahupun PWTC.

“Segera bantu dan perkasa bahagian kerana di situ kawasan pilihanraya, bantu bahagian selesaikan masalah. Di situ lukanya di situlah rawatannya,” katanya.

Tambahnya, publisiti mengenai parti adalah baik namun sekiranya berlebihan ia akan membunuh parti.

“Jangan kekalkan cara lama. ‘Panglima Besar’ semua turun ke medan. Jangan cuba koperatkan UMNO dgn lagak COO atau CEO..kita gerakan politik pembangkang,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan menekan UMNO dan pemimpinnya maka mereka tidak boleh kekal pada keadaan pertahanan sebaliknya perlu menyerang.

“’Orang besar’ parti perlu jadi ketua. Jangan khayal macam kita menteri atau menteri besar,” katanya.

Sehubungan itu beliau mahu semua ahli kurang bercakaran dan mengutuk diri sendiri sebalik ya segeralah bertindak memandangkan sidang parlimen berbaki dua minggu sahaja lagi.

Beliau turut mempersoalkan apakah persiapan dan strategi yang sedang diatur.

“Apa persiapan, apa strategi? Jangan jangan soalan lisan dan soalan bertulis pun tak di kemukakan?,” soalnya.

Beliau turut menyeru semua ahli parti memperkemaskan ‘saf’ dalam keadaan bilangan parti dalam parlimen yang semakin berkurangan.-2/7/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 336  tetamu dalam talian