05Julai2020

Agenda Daily

Hari Terkejut: Titik hitam sistem perundangan negara

Tindakan Peguam Negara memohon menarik balik kes Lim Guan Eng di mahkamah merupakan penghinaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara yang merupakan badan yang dihormati selama ini.

Tindakan ini merupakan titik hitam kepada sistem perundangan di Malaysia. Walaupun berdasarkan perlembagaan, Peguam Negara mempunyai kuasa untuk meneruskan atau menarik balik kes tetapi ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya tanpa sebab yang munasabah.

Peguam Negara perlu menjelaskan kapada rakyat sebab-sebab kenapa permohonan menarik balik kes.
Dari segi peraturan, sebelum kes diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara, aduan perlu disiasat oleh SPRM.

Saya penuh yakin sebagai badan bebas yang mempunyai integriti yang tinggi, SPRM telah menjalankan siasatan dengan telus dan profesional. Selepas siasatan selesai, barulah SPRM menyerahkan kertas siasat serta cadangan kepada pihak Jabatan Peguam Negara.

Peguam Negara pula akan meneliti dan mengkaji kertas siasatan. Jika didapati ada prima facie kes maka barulah Peguam Negara menyediakan kertas pertuduhan dan seterusnya membuat pertuduhan di mahkamah.

Ini bermakna sebelum Guan Eng dihadapkan ke mahkamah, ia melalui prosedur yang sangat ketat dan lengkap. Lebih-lebih lagi kes ini telah pun bermula dan sedang berjalan.

Maka adalah terlalu menghairankan mengapa Peguam Negara memohon kepada mahkamah untuk menarik balik kes ini, lebih-lebih lagi kes yang sudahpun berjalan dengan 25 saksi telah pun dipanggil.

Penarikan balik kes ini memberi implikasi yang besar kepada SPRM yang seolah-olah Peguam Negara tidak mempercayai siasatan SPRM sedangkan SPRM lah yang paling mengetahui secara terperinci kes ini.

Tidak hairanlah kenapa pihak SPRM membuat kenyataan terkejut dengan tindakan Peguam Negara ini.
Rakyat lebih terkejut kerana sebelum ini Tommy Thomas adalah peguam di dalam kes Guan Eng ini. Maka wujud conflict of interest dalam kes ini.

Tindakan Peguam Negara amat membimbangkan kerana beberapa kes yang melibatkan pemimpin Pakatan Harapan juga digugurkan sebelum ini.

Maka Peguam Negara mesti memberi penjelasan kepada persoalan daripada rakyat ini.
Peguam Negara tidak wajar menyalahgunakan kuasa yang diperuntukkan oleh perlembagaan bagi kepentingan politik individu.

Kuasa yang diberi hanya boleh digunakan untuk sebab-sebab yang munasabah dan berdasarkan perundangan. Jadi, Peguam Negara mesti berikan penjelasan. Jika tidak pihak kerajaan mesti mengambil tindakan terhadap beliau termasuk memecat Peguam Negara.-5/9/2018 *gambarfail

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 409  tetamu dalam talian