21September2019

Cukai baru dan kesan buruk jangka panjang...

Cukai keuntungan modal atau Capital Gain Tax (CGT) yang dikenakan ke atas jual beli saham merupakan langkah yang sangat menarik dan populis tetapi impak negatif jangka panjang adalah jauh lebih teruk.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jika diperkenalkan, para pelabur akan memilih bursa saham lain seperti Singapura dan Hong Kong yang mempunyai pasaran jauh lebih aktif serta besar tetapi tidak melaksanakan CGT.

“Di zaman globalisasi ini, sangat mudah bagi syarikat-syarikat Malaysia untuk memilih disenaraikan di bursa saham negara lain manakala yang belum disenaraikan tidak akan memilih Bursa Malaysia.

“Jual beli saham tidak seperti jual beli hartanah fizikal yang tidak boleh dipindahkan ke luar negara. Oleh itu, ketika saya sebagai Perdana Menteri, kerajaan menaikkan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) dan tidak untuk jual beli saham,” katanya dalam status di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Tambah Najib, para pelabur saham yang terbesar di negara ini merupakan institusi-institusi milik kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Permodalan Nasional Berhad (PNB) selain syarikat-syarikat amanah saham swasta.

Jelasnya, apabila permintaan membeli saham di Malaysia jatuh, rakyat yang ada simpanan di dalam institusi-institusi tersebut akan mengalami kerugian ditambah dengan aktiviti ekonomi yang dijangka menjunam dan peluang pekerjaan baharu yang kurang.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mahathir turut menggesa rakyat supaya bersiap-sedia untuk berkorban dengan pelaksanaan beberapa cukai baru.

Berikutan itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng memperingatkan pelabur supaya menjangkakan belanjawan 2019 dan langkah fiskal kerajaan yang “sakit” dan memerlukan “pengorbanan”.

Tanpa menyebut CGT, meskipun beberapa artikel berita melaporkan bahawa ia akan menjadi langkah yang baik untuk menjana pendapatan negara.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli tampil menjawap amaran oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak kepada kerajaan bahawa pelaksanaan cukai keuntungan modal (capital gains tax ataupun CGT) ke atas jual beli saham mempunyai impak negatif jangka panjang.

“Saya tidak tahu cukai baru apa yg akan diperkenal. Saya telah menulis Bajet Alternatif dari 2011 dan mencadangkan keuntungan saham dicukai menggunakan CGT.

“Mencukai keuntungan saham itu lebih adil dari mencukai GST,” ujarnya.

Menurut bekas anggota parlimen PKR itu, sekarang ini, para pelabur, institusi kewangan - yang menguruskan dana bagi pendana dunia yang kaya-kaya - membuat untung dengan menjual beli saham tanpa perlu bayar cukai.

“Saya tidak pasti berapa kutipan cukai baru dari mencukai keuntungan saham ini, tetapi secara prinsipnya keuntungan seperti ini perlu dicukai,” katanya.

GST diperkenalkan oleh pentadbiran kerajaan BN sebelum ini dan telah digantikan dengan SST oleh kerajaan Pakatan Harapan.-12/10/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 228  tetamu dalam talian