25September2020

Agenda Daily

Berhenti buli akar umbi jika UMNO mahu kembali kuat

Proses pemulihan atau menyegarkan semula UMNO selepas Pilihan Raya Umum ke 14 baru-baru ini mesti bermula dari peringkat paling bawah dalam parti tersebut iaitu kepimpinan 21,851 cawangan UMNO atau disebut akar umbi.

Bagaimanapun proses itu hanya akan berjaya sekiranya pemimpin peringkat pertengahan parti iaitu 191 bahagian sudah bersedia untuk tidak lagi meremehkan peranan  pemimpin-pemimpin cawangan UMNO.

Sedangkan asas pemulihan UMNO mesti mengambil kira sikap tolak ansur, muafakat, toleran, kerjasama antara kepimpinan semua peringkat.

Serta menjadikan kejujuran, ketelusan, amanah sebagai pakaian dalam melaksanakan perubahan yang cukup penting kepada UMNO selepas kekalahan mengejut pada 9 Mei lalu.

Tanpa memperkasakan kembali akar parti, pohon besar UMNO yang selama ini menjadi tempat orang Melayu dan Islam menumpang teduh tidak akan kembali pulih dan berkuasa semula.

Kekalahan UMNO baru-baru ini bukan kelemahan yang dikumpul setahun atau lima tahun, tapi sudah berpuluh tahun kita melakukan kesilapan sehingga kepimpinan bahagian, negeri dan pusat hilang hubungan (connected) dengan cawangan dan kepimpinan cawangan hilang hubungan dengan rakyat di kawasan mereka.

Ketika di peringkat awal parti ditubuh kepimpinan di waktu itu bergolok gadai untuk memajukan parti, tapi selepas kita lama berkuasa sebahagian pemimpin alpa,dan sanggup mengkhianati parti untuk mendapatkan sesuatu kepentingan diri sendiri.

Lebih malang lagi sistem hiraki dalam parti tidak lagi dihormati, kerana mengejar jawatan dan kepuasan diri, mereka yang baru dalam parti sanggup mengetepikan orang lama yang lebih banyak berjasa.

Golongan ini pula seolah-olah mendapat restu kepimpinan tertinggi bahagian apabila mereka tidak mampu menegur kelakuan yang tidak disenangi oleh pemimpin akar umbi parti.

Ini kerana rata-rata kumpulan ini mempunyai sumber dan kekuatan luar biasa yang boleh menyenangkan kerja ketua bahagian tapi terlupa perbuatan itu menyebabkan lama kelamaan sokongan semakin merosot dan menurun tanpa disedari.

Akhirnya ia dibuktikan dengan keputusan PRU14 lalu. Itulah realitinya.

Memperkasa kepimpinan akar umbi

Asas tujuan penubuhan UMNO adalah untuk mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara.

UMNO sebagai parti akar umbi perlukan struktur tersusun maka diwujudkan cawangan UMNO yang berjumlah 21,851 di seluruh negara.

Kewujudan cawangan UMNO ini berfungsi menjadi mata, telinga,  ataupun kekuatan parti.

Kuasa di peringkat cawangan telah dijelaskan dengan terang dalam Perlembagaan UMNO Fasal 17.5.1 sehingga  17.5.3

 Fasal 17.5.1: Membincangkan  dasar  parti  untuk dikemukakan kepada mesyuarat Perwakilan Bahagian.

Fasal 17.5.2: Mengkaji  kerja-kerja  yang  telah  dibuat  oleh Jawatankuasa Cawangan.

Fasal 17.5.3: Mengadakan  rancangan-rancangan  kerja  untuk faedah rakyat.

Jika kita lihat perkara 17.5.1 dalam Perlembagaan UMNO itu pentingnya kewujudan cawangan UMNO adalah membawa permasalahan di kawasan masing-masing untuk dibincangkan dan dikemukakan sebagai usul untuk mesyuarat perwakilan Bahagian.

Fasal 17.5.2 pula menekankan bagaimana cawangan haruslah diperkasa, diberikan mandat dan kepercayaan melaksanakan gerak kerja parti.

Contohnya,  UMNO dijemput untuk turut serta dalam program gotong royong melibatkan komuniti setempat, berapa ahli UMNO pergi -(ketua cawangan putuskan), berapa duit hendak pakai (minta ke bendahari), apa kempen yang boleh dilaksanakan (ketua penerangan putuskan)

Jadi peranan parti itu nampak dalam masyarakat, samada di kampung mahupun di bandar yang penting tempat tersebut wujud cawangan UMNO.

Manakala Fasal 17.5.3: Mengadakan rancangan untuk faedah rakyat. Jadi hubungan antara orang kampung atau taman dengan UMNO sentiasa wujud melalui cawangan , manakala hubungan kepimpinan cawangan wujud dengan Bahagian dan Bahagian wujud dengan negeri dan Pusat.

Struktur ini jika diperbaiki maka UMNO akan kembali gemilang.

Hari ini struktur UMNO hanya cantik di atas kertas sahaja.  Hakikat sebenar di lapangan, cawangan tidak berfungsi seperti sepatutnya kerana pandangan dan pendapat mereka tidak sampai atau tidak diendahkan oleh kepimpinan Bahagian.

Kepimpinan Bahagian mencatur segalanya tanpa mengambil kira pandangan ketua-ketua cawangan.

Merekalah yang kononnya lebih tahu sesuatu perkara di dalam cawangan tersebut, mereka menganggap kepimpinan cawangan itu kolot dan hanya memperalatkan bagi menjaga kepentingan peribadi sahaja.

Sebab itu, proses memulihkan semula UMNO mesti bermula di peringkat cawangan, iaitu dengan kepimpinan Bahagian memperakui  malah memberi kuasa penuh termasuk kepercayaan agar kepimpinan empat peringkat di cawangan berupaya mengalas tanggungjawab terhadap ahli dan masyarakat yang berada di dalam kampung atau komuniti mereka.

Ketua-ketua cawangan inilah yang sepatutnya kita perkasakan, perlu menyakinkan mereka bahawa  mereka tidak keseorangan kerana mereka ada AJK yang mampu untuk mengurus tadbir cawangan dan masyarakat setempat.

Manakala tugas UMNO Bahagian adalah membantu kepimpinan cawangan menjayakan agenda dan perkara yang telah dirancang oleh cawangan tersebut demi kebaikan ahli dan masyarakat yang mereka wakili.

Kepimpinan Bahagian tidak boleh sama sekali menafikan, menidakkan, memperlekeh (membuli) kepimpinan cawangan dengan melenggah-lengahkan atau bersikap acuh tidak acuh dalam membantu menyediakan keperluan mereka.

Kemerosotan kemenangan kita pada PRU14 lalu jelas menunjukkan bahawa struktur yang baik itu tidak menjamin keberkesanan bila mana tidak diguna pakai seperti sepatutnya.

Sudah sampai masanya dalam proses pemulihan parti ini kepimpinan Bahagian tidak boleh memandai-mandai untuk mengatur dan melaksanakan program seolah-olah mereka lebih tahu apa sebenarnya yang diperlukan kepimpinan dan ahli-ahli di cawangan tersebut.

Mereka tidak lagi boleh berlagak dan mendabik dada seolah-olah menjadi ketua dan AJK bahagian itu mereka ini lebih bagus dari pemimpin peringkat cawangan.

Campurtangan yang tidak sihat ini harus diberhentikan serta  merta sekiranya kita hendak melihat proses pemulihan itu berjaya.

UMNO Bahagian itu sepatutnya menjadi penasihat kepada cawangan-cawangan bukannya menjadi tuan dan pemimpin cawangan diperlakukan seperti hamba suruhan sedangkan sedangkan darjah dan kedudukan ketua dan AJK Bahagian itu hasil daripada keikhlasan pemimpin cawangan menyokong dan memberi kepercayaan kepada mereka.

Menyegarkan semula UMNO

Selepas 30 Jun ini, sesiapapun Presiden UMNO, marilah kita berazam untuk memperkasakan semula cawangan dengan memberi kebebasan serta mandat yang diperuntukkan oleh Perlembagaan UMNO semula kepada ketua-ketua cawangan UMNO.

Ini termasuk memastikan peringkat Bahagian memberikan keutamaan kepada apa kehendak, keperluan serta rancangan setiap cawangan.  Yakinlah cawangan hendakkan kepercayaan, kepercayaan bukan hanya memberi sokongan kepada individu tertentu sahaja.

Sudah sampai masanya UMNO mengangkat kedudukan Bahagian menjadi penasihat, pembimbing serta pemikir kepada cawangan-cawangan.

Contohnya program dan aktiviti dirangka dan dilaksanakan oleh cawangan bukan seperti sekarang di mana AJK Bahagian berebut hendak buat program.

AJK Bahagian jangan rendahkan diri sepatutnya jadi pemandu kepada cawangan dan jadi pemikir  dengan menyumbang idea serta memudahkan perlaksanaan program kerana jika AJK Bahagian masih terbelunggu hendak mengadakan aktiviti untuk UMNO maka tiada beza antara kepimpinan cawangan dan AJK bahagian.

Akhirnya, apa yang berlaku telah berlalu, tiada gunanya kita meratap hiba dari kekalahan dan kehilangan kuasa pada 9 Mei lalu, ingatlah Allah SWT sebaik-baik perancang. Ambil iktibar dan bermuhasabah kerana  inilah masa terbaik untuk kita memperkemaskan diri dan organisasi UMNO ini untuk kembali relavan 100 tahun lagi.

Keputusan PRU14 lalu kita terima dan berazam untuk memperbaiki dari awal lagi, dan bermula semula demi perjuangan agama, bangsa dan tanahair.-28/6/2018

Penulis merupakan Penaung Briged Negaraku dan bekas Ketua Pemuda UMNO Simpang Renggam

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 569  tetamu dalam talian