Mengenali AgendaDaily.com | Hubungi Kami | Maklum Balas Friday, 10 September 2010 | [Daftar] atau [Log Masuk]





 Selamat Datang, Pelawat
  Agenda Daily Laman Web

Menyelami pendirian dan dilema Peguam Negara

Saya bukan diletak dalam Majlis Tertinggi Umno untuk jadi ‘Pak Pacak’ - Norza

Tiga kali kekalahan beri ‘kekuatan’ kepada Isa

Jaga parlimen:Seperti saya mengantuk PM sorong bantal…

‘Lets move’ dari bawah:Saya sanggup jadi ketua dalam gerakan ini…

Saya kecil…lembut tapi tak semestinya ' not in control '...

Setelah hampir 50 tahun...Jins Shamsudin masih mengejar impian

Antara jawatan politik dan pegawai PM:Tak benar kata kami 'tertinggal bos' - Reezal

Datuk Fatmi - Setiausaha Politik Datuk Seri Najib - kata tugasnya 'ranging from nothing to everything'...

Menyusuri ‘ gerak ’ Anwar menerusi Azmin Ali…

Malaikat masuk UMNO pun kena label …

Saya bukan mastermind Dr Mahathir – Tan Sri Abdullah

Datuk Azeez:Jutawan kereta terpakai nak ' jual ubat ' jayakan Putera UMNO

Industri musik...indah khabar dari rupa

Pencapaian Melayu “…I am not happy at all..” – Ibrahim Abu Shah

Saya jumpa PM sebulan dua kali….

Datuk Aziz mahu Melayu buat Melayu untung



Sistem pemilihan pimpinan UMNO sudah 'outdated'...

Mana ada lulusan Universiti Oxford dan Cambridge di tingkat 4….



Agenda Tips: Jaga parlimen:Seperti saya mengantuk PM sorong bantal…

Jaga parlimen:Seperti saya mengantuk PM sorong bantal…

Oleh: ROSLI ISMAIL DAN LUKMAN ABDULLAH

Kita boleh tau samaada seseorang itu enjoy atau tidak buat kerjanya.Penilaian itu sedikit sebanyak dapat dibuat dari tindak tanduk,stail dan cara dia membawa diri.

Sebab itu kalau nak tau bagaimana Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz menerima tugas barunya sebagai ‘pengawas’ Parlimen Malaysia kita kena duduk selama beberapa hari semasa sidang parlimen untuk ‘mengintainya’ dari dekat.

Ada yang mungkin menggangap portfolio jaga parlimen dan satu lagi bidang tugasnya mengendalikan hal bencana negara adalah satu setback dan menyukarkan untuk dapat mileage dari segi pengaruh politik.

Ini kerana tidak ada favour yang boleh diberi khususnya kepada para penyokong dari dua bidang tugasnya.

Namun begitu mengikuti liku-liku politik Nazri dari awal ketika beliau dilantik sebagai ahli Exco Pemuda Umno Malaysia dalam usia awal 20han oleh bekas ketua pergerakan itu,Datuk Suhaimi Kamaruddin hingga sekarang… kita mungkin dapat menerima hakikat beliau jenis orang politik yang agak lain sikit.

Sebab itu misalnya bila ditanya kenapa tidak pernah mengadakan rumah terbuka pada Hari Raya di Kuala Lumpur macam menteri-menteri lain,Nazri menjawab pengundinya semua tinggal di kawasan parlimennya di Padang Rengas.

“Di Kuala Lumpur saya selalu jumpa dan ramah mesra dengan kawan-kawan…jadi apa perlu buat rumah terbuka di sini,”katanya bersahaja.

Beliau juga diketahui umum tidak begitu gairah berkempen untuk merebut jawatan pemilihan Umno.

Malah ketika jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia terbentang luas di depannya bila berlaku kes bekas ketua pergerakan itu,Tan Sri Rahim Thamby Chik,Nazri yang ketika itu Naib Ketua menolak bertanding jawatan itu dan membuka laluan mudah bagi Datuk Zahid Hamidi memegangi jawatan berkenaan.

Nampaknya nasib terus menyebelahinya,tanpa kuat berkempen beliau memenangi jawatan Majlis Tertinggi Umno.

Dalam pemilihan Umno yang lalu,beliau tidak bertanding jawatan itu untuk memberi peluang kepada muka baru tetapi kemudiannya telah dipilih oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai ahli Majlis Tertinggi lantikan.

Banyak desas desus timbul menjelang pilihanraya umum lalu samaada beliau dipilih bertanding semula sebagai ahli parlimen atau tidak.Ada juga spekulasi beliau tidak mungkin dilantik sebagai ke kabinet selepas pilihanraya.

Nampaknya semuanya meleset.Sekalipun dipindahkan dari Kementerian Pembangunan Usahawan ke Jabatan Perdana Menteri setakat ini Nazri umumnya diakui dapat carry portfolio barunya dengan baik.

Ditambah dengan stailnya yang flamboyant kini agak visible ada menteri yang jaga urusan parlimen berbanding dengan masa lampau.

Dulu misalnya selain dari Speaker Dewan Rakyat ,wartawan sendiri tidak tahu nak merujuk kepada siapa bila timbul persoalan mengenai parlimen.

Interbiu hampir dua jam dengan Agendadaily berlangsung di anjung ruang rehat ahli parlimen yang kini tip top seperti lounge hotel lima bintang berikutan kerja-kerja ubahsuai bangunan tahun 60han itu sekarang.

Ketika interbiu berlangsung beliau sering ditegur sapa oleh ahli-ahli parlimen lain yang lalu lalang di situ.

Walaupun ia dilihat satu perkara kecil ,Nazri memberitahu beliau mahu ruang rehat itu kini dianggap milik semua ahli-ahli parlimen termasuk dari parti pembangkang.

Katanya dulu jarang ahli parlimen pembangkang mahu masuk ke ruang itu.

“Saya panggil mereka semua dan kata ruang ini jelas bertulis Untuk Ahli-ahli Parlimen…mereka pembangkang pun ahli parlimen juga…maka ini juga tempat mereka,”katanya.

Harapanya ialah untuk melihat semua ahli parlimen bersikap professional. “Bergasak teruk macam mana sekalipun semasa perbahasan sidang…di luar kita harus bermesra boleh duduk minum semeja,”katanya.

Berikut ialah transkrip interbiu penuh dengan Datuk Seri Nazri:

-----------------------------------


AGENDADAILY : Kedudukan sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri
dipertanggungjawabkan ‘menjaga’ Parlimen dan Bencana Alam dianggap oleh sesetengah orang sebagai satu down gred’. Ia dikatakan merendahkan kewibawaan Datuk
.Apakah Datuk comfortable dengan jawatan ini.


NAZRI : Ramai yang tidak tahu cerita disebalik jawatan saya sekarang.Saya pernah minta agar Tun Daim sampaikan pada (Tun) Dr. Mahathir mengenai minat saya jaga Parlimen.


Dr. Mahathir tidak berapa setuju, beliau melantik saya sebagai Menteri Pembangunan Usahawan…

Entah macam mana Datuk Seri Abdullah tahu mengenai minat saya itu.Saya memang suka hadir di parlimen...tengok rekod kehadiran saya adalah tinggi.Saya juga suka berbahas dalam dewan.

PM tahu saya suka jawatan ini maka saya dapat jawatan itu...ia memang impian saya.
Sepatutnya peranan saya jaga Parlimen dan undang-undang, tapi Datuk Radzi sudah dipertanggungjawabkan untuk jaga undang-undang.Saya jaga parlimen terlalu kecil, PM tambah lagi jaga bencana alam.

Spekulasi menyatakan saya tidak comfortable tidak betul.Pertukaran portfolio adalah biasa. Misalnya kalau ditanya pada Datuk Seri Kadir Sheikh Fadzil sudah tentu beliau akan kata rasa selesa berada di Kementeri Pelancongan, begitu juga dengan Datuk Seri Dr. Rais yang selesa dengan undang-undang...tetapi mereka pun bertukar portfolio.


Sebagai menteri, kita kena pergi ke mana jawatan yang diarahkan dan bagi saya jawatan sekarang adalah tempat yang saya suka dan minat.
Sekarang parlimen nampak ‘hidup’ sikit dengan pelbagai program dan PM mahu parlimen itu ‘hidup’ bukan saja masa bersidang saja.

Kita telah mewujudkan berbagai jawatankuasa bagi mengaktifkan ahli-ahli parlimen seperti Jawatankuasa Perpaduan Nasional, Jawatankuasa Hak Asasi Manusia dan lain-lain. Kita juga mahu supaya ahli parlimen aktif dalam perbahasan bukan sekadar menyokong saja... mereka juga boleh mengkritik membina kerajaan.

Tidak betul kalau ada pihak yang mengatakan saya tidak puashati dengan jawatan sekarang ini...saya anggap seperti sudah mengantuk PM sorong saya bantal.



AGENDADAILY : Bagaimana tanggapan jawatan sekarang adalah satu tempat yang tak
ada apa... kementerian yang ‘kering’ bukan seperti kementerian lain yang
agak ‘basah’.


NAZRI : Sebagai anggota jemaah menteri kita perlu rotate bagi membolehkan kita
menimba pengalaman.
Bagi saya apabila diberi peluang menjadi menteri perlulah membuktikan bahawa kita benar-benar berkemampuan.Saya perlu laksanakan tanggungjawab dengan cara terbaik.

Kita patut bersyukur kerana masih berjawatan menteri, soal kementerian apa tidak timbul… yang penting menteri…Cuba fikir bagaimana pula perasaan mereka yang tidak dilantik atau digugurkan… saya tidak kecewa dalam hal ini.




AGENDADAILY : Dengar cerita sebelum pilihan raya umum lalu Datuk ada menyuarakan hasrat nak ‘pencen’... sejauh manakah kebenarannya?.

NAZRI : Dalam politik kita jangan ‘mengejar’ glamour.Perlu diingat juga jawatan merupakan satu tanggungjawab dan kita juga tidak akan menongkat langit buat selama-lamanya.

Saya sudah memegang jawatan menteri, ia merupakan satu pencapaian peribadi yang cukup tinggi bagi saya.

Sekiranya kita sayangkan parti dan kerajaan yang ada, kita juga perlu bersedia
untuk memastikan bahawa akan ada kesinambungan kepimpinan dan kesinambungan
tidak akan berlaku sekiranya kita berterusan bertahun-tahun ‘duduk’ di situ.


Biasanya, kalau kita terlalu lama berada ‘dipentas’, kita akan jadi statik… tidak dinamik lagi.

Saya sudah melalui proses jadi timbalan menteri dan menteri, saya juga bertanggungjawab agar ada kesinambungan… tidak akan ada gantinya jika saya terus berada di situ. Pada perkiraan saya sudah sampai ke kemuncak, saya tidak boleh fikirkan saya seorang saja yang boleh bagi khidmat… orang lain pun boleh juga.

Kita harus bertanggungjawab untuk ‘regenerasi’, kita tidak boleh hanya bercakap, kita perlu bertindak secara ‘halus’ bagi membolehkan tempat kita itu diisi oleh orang lain.


AGENDADAILY : Tindakan itu nampak seperti tidak mengikut norna orang politik kebanyakan yang mahu terus bergayut pada jawatan sedangkan umur Datuk baru 51 tahun adalah awal untuk ‘pencen’.

NAZRI : Saya adalah un-orthodox politician … saya bukannya orthodox, bukannya dapat
jawatan tu… sampai bila pun masih nak pegang. Itulah perangai saya, lain pada orang… nak buat macamana. Saya menilai diri sendiri… bagi saya ‘it time for me to go …’

Masih banyak perkara yang saya nak buat.Saya masih muda. Masih banyak
kehidupan lain… you tahu dalam politik ni macam dalam penjara, walaupun tidak
ada besi jeriji. Memang saya merasakan tidak ada kebebasan…





AGENDADAILY : Bagaimana ada dakwaan kononnya Datuk ada masalah peribadi sebab itu mahu berhenti?

NAZRI : Kita tidak boleh lari dari masalah, lari ke mana pun… masalah itu akan ikut tanpa mengira saya menteri atau tidak jadi menteri.
Tidak semestinya kita jadi menteri ada masalah peribadi, kita tidak jadi menteri pun ada masalah peribadi juga.Ia tidak akan hilang kalau kita tidak lagi jadi menteri. Tidak benarlah dakwaan kononnya saya ada masalah peribadi maka saya nak berhenti jadi menteri.


AGENDADAILY : Penglibatan Datuk dalam politik sungguh ‘panjang’, ia bermula dengan jawatan Exco Pemuda.Apabila sekarang, sudah berada diperingkat tinggi, bergelar menteri dan baru hanya berapa penggal saja, Datuk sudah berbicara soal kesinambungan dan pengganti... apakah itu tanda kesudahan perjuangan.


NAZRI : Itulah pandangan orang terhadap ahli politik… dah pegang jawatan takkan lepas, kita tidak boleh ‘baca’ semua orang politik macam itu… tak semuanya begitu. Saya lain… kita beri khidmat, bila orang nak pada kita… bolehlah. Kalau orang tak nak… kita nak buat apa. Jawatan di bahagian (UMNO) pun saya tolak, jenuh paksa…


AGENDADAILY : Tidakkah Datuk menaruh cita-cita yang lebih besar dalam politik...misalnya jawatan Timbalan Perdana Menteri atau Perdana Menteri.

NAZRI : Tidak ada… kita pentingkan parti dan kerajaan, bagi saya generasi akan datang yang boleh dikatakan confirm InsyAallah, jadi Perdana Menteri ialah Datuk Seri Najib… itu generasi saya.

Saya tidak mempunyai rancangan peribadi.Generasi sezaman dengan saya yang layak jadi Perdana Menteri adalah Datuk Seri Najib.Saya nak kacau buat apa.


Bagilah beliau peluang, sekarang beliau adalah Timbalan Perdana Menteri, dengan pengalaman dan kemampuan yang beliau ada kita generasi sezaman dengannya
perlu memberi sokongan pada beliau.

Saya tak layak. Dalam generasi saya ini dah ada orang yang layak untuk memimpin, kalau kita sayangkan parti kita sokong dan kita terima hakikat beliau lebih layak pada kita, maka kita kena sokong.


AGENDADAILY : Kalau Datuk menyokong Datuk Seri Najib, kenapa tidak Datuk
mendokongnya sekurang-kurangnya untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

NAZRI : Timbalan kepada Perdana Menteri mestilah orang yang boleh menggantinya.Saya tak boleh kerana saya seumur dengannya. Kita kena bagi pada orang lain, kita kena ambil contoh sekarang, Pak Lah dengan Datuk Najib.Kita lihat perbezaan umurnya dekat 13 tahun.

Orang boleh nampak siapa yang akan ganti Pak Lah selepas beliau mengundurkan diri.

Begitu jugalah dengan Datuk Seri Najib. Beliau mestilah memilih orang yang boleh dilatih untuk menggantikannya. Bagi saya, peribadi saya atau diri saya tidak penting, kita utamakan parti.





AGENDADAILY : Kenapa Datuk terima jawatan Majlis Tertinggi Umno yang Pak Lah lantik sedangkan Datuk tidak mahu bertanding jawatan itu semasa pemilihan Umno lalu?.

NAZRI : Saya kena hormat dengan keputusan Perdana Menteri. Mungkin bagi diri
saya sudah cukup saya berkhidmat tapi PM mengangap saya masih belum cukup dan
beliau memerlukan tenaga saya bagi membantu beliau… itu satu tanggungjawab,
saya kena akur, saya kena terima sebab dia pemimpin saya.

Saya akan terus memberi khdimat selagi khidmat saya diperlukan.


AGENDADAILY : Tidakkah Datuk rasa dengan menerimanya ini boleh dianggap sebagai tidak ‘menghormati’ kawan-kawan yang menang dalam pemilihan parti dan kenapa kita tidak memberi penghormatan pada mereka.

NAZRI : Pekara ini perlu ditanya pada presiden dan kita perlu bersikap profesional, saya ‘komando’… saya tidak akan lari dari tanggungjawab. Itu adalah hak Perdana Menteri yang juga Presiden parti.


AGENDADAILY : Saya ingin kembali pada soal parlimen.Datuk sudah membuat
pelbagai perubahan termasuk tempat rehat ahli-ahli parlimen.Bagaimana pula ada dikalangan ahli parlimen dari pembangkang yang sebelum ini jarang sekali masuk ke dalam ruang rehat khas untuk Ahli Parlimen kerana merasakan ia seolah milik ahli parlimen BN saja?

NAZRI : Perubahan yang dilakukan adalah bersifat professional dan kita ahli- ahli parlimen pun kena profesional. Jangan kita bersikap keanak-anakan hinggakan perbezaan pendapat kita di dalam Dewan Rakyat dibawa ke luar.


Apa yang berlaku di dalam dewan bermakna kita bersikap profesional, ‘lawan’ atau
berbahas dalam adalah perlawanan dalam dewan tapi sebagai ahli parlimen kita berperanan sendiri, sebagai pembangkang mereka ada tanggungjawab.


Saya bertanggungjawab mempertahankan kerajaan, kita perlu memahami tanggungjawab masing-masing barulah kita boleh bertindak profesional.Saya kata pada ahli-ahli parlimen dari pembangkang tentang ruang rehat yang dikhaskan untuk ahli Parlimen, ia tidak ditulis ‘khas untuk ahli Parlimen Barisan Nasional sahaja’ tapi ia untuk ahli parlimen.

Kita jangan terbawa-bawa perbezaan ideologi kita di dalam dewan.
Kita harus menunjukkan pada rakyat bahawa kita orang yang waras. Tapi sekarang saya nampak ahli parlimen pembangkang sudah masuk ke ruang rehat ini. Mereka nampak lebih mesra dan selesa, Saya rasa sudah ada keterbukaan minda.


Kita jangan jadi macam budak-budak, bila seseorang itu jadi pembangkang kita jangan kawan dengan dia… itu mentaliti Third World.



AGENDADAILY : Apa pandangan Datuk tentang korum dalam dewan, ada masa tak cukup korum, kenapa ini terus berlaku dan tidakkah ia memalukan kalau orang kata ahli parlimen ponteng hadir sidang?

NAZRI : Sebenarnya soal korum ini bukanlah sesuatu yang terlalu penting.Ia penting ketika untuk memulakan sidang saja.
Bila ‘kereta dah hidup’ enjin jalan sajalah. Dalam soal korum, tidak banyak negara yang gunakannya.Ada sesetengah negara kita lihat hanya beberapa orang ahli parlimen dan Speaker saja yang hadir... orang lain tak ada pun.


Seperkara lagi tentang tanggapan ahli-ahli parlimen yang malas dan tidur dalam
dewan... itu adalah tanggapan yang tidak betul.
Kita mahu orangramai datang melihat parlimen bersidang...lihat bagaimana mereka berhujah dan berucap dalam dewan, idea, ulasan, cadangan dan kritikan mereka penuh dengan fakta.

Kita juga kena faham ahli-ahli Parlimen tidak boleh duduk berjam-jam dalam dewan.Ada ketikanya mereka akan keluar dan masuk.


AGENDADAILY : Dulu kita susah nak tengok ahli-ahli parlimen BN berucap dengan nada yang keras mengkritik kementerian-kementerian tapi sekarang kita boleh dengar setiap kali bersidang ada saja kritikan dan hentaman pada menteri-menteri… kenapa ini berlaku?

NAZRI : Kita kena buat macam itu kerana ahli pembangkang sekarang hanya ada 15 orang
sahaja.Ini merupakan pembetulan dalaman. Rakyat telah memilih 200 orang ahli parlimen BN …bagaimana kalau semuanya jadi tukang yes saja… kita mempunyai majoriti besar maka kita terpaksa membenarkan ahli-ahli parlimen kita memberi pandangan biarpun kontra.

Sebab itulah, jika ada yang membuat teguran dan kritikan pada menteri maka menteri berkenaan kena datanglah menjawab soalan-soalan tersebut.Mereka perlu mempunyai hubungan baik dengan ahli-ahli parlimen.

Contohnya, ada ahli parlimen mencabar Menteri Kerjaraya Datuk Seri Samy Vellu
letak jawatan…ia adalah hak seorang ahli Parlimen untuk bersuara.
Bagi yang menyuarakannya menganggap ia tindakan betul tapi bagi orang yang kena pula akan anggap ianya tidak betul… itu terpulanglah pada individu.

Kita tidak ada mahkamah untuk memastikan siapa betul atau salah.Ini adalah kebebasan berbincang, kalau ada menteri yang tidak puashati maka menteri berkenaan perlu hadir ke Dewan Rakyat bagi menjawab segala persoalan, kerana pembetulan hanya boleh dibuat dalam dewan.

Soal semangat Barisan Nasional tidak bermakna semua ahli-ahli Parlimen perlu mengampu sahaja.

Kita perlu ada internal system bagi membetulkan keadaan dalaman kita sendiri. Kita tidak perlu bersembunyi, kita sebagai wakil rakyat dan perlu bercakap… cakap sajalah apa yang tidak kena. Ini adalah satu semangat yang baru dan cara ini akan menentukan seseorang menteri tidak relax malah akan lebih berhati-hati dalam menguruskan kementerian
masing-masing.

Para menteri akan lebih prihatin terhadap soalan-soalan ahli dewan, mereka juga akan lebih kerap hadir dewan dengan persiapan yang lebih baik.

Mereka tidak seharusnya hadir dewan dengan jawapan-jawapan yang tidak konkrit atau
langsung tidak pedulikan dewan dan hanya menyerahkan hal-hal kementerian
dijawab oleh setiausaha parlimen saja… bagi saya ini adalah baik.




AGENDADAILY : Apa pandangan Datuk tentang anggapan sesetengah pihak bahawa Parlimen hanyalah ‘ rubber stamp’ ?


NAZRI : Tanggapan parlimen hanya rubber stamp wujud di mana-mana negara pun.Kita ada
sistem ‘whip’… ia digunakan bagi memastikan ahli-ahli parlimen kerajaan mengikut dasar yang dibuat oleh kerajaan,

Dulu, kita tidak mendengar ada ahli parlimen Barisan Nasional membuat kritikan membina… semuanya menyokong saja dan tidak berlaku ahli parlimen kita minta meminda rang undang-undang diperingkat jawatankuasa… inilah yang orang menandang ahli parlimen sebagai rubber stamp.

Tapi sekarang sudah berbeza… Perdana Menteri membenarkan ahli-ahli parlimen kita memberi pandangan dan kritikan membina.


AGENDADAILY : Apakah pada zaman Tun Dr. Mahathir dulu, mulut-mulut ahli Parlimen ini ‘dikunci’.

NAZRI : Zaman Tun Dr. Mahathir, masih ada cara lama, masih terikut-ikut… begitu juga pada zaman Tun Hussien dan Tun Razak, memang budaya kritikan membina dalam dewan ini tidak ada.Sekarang PM telah arahkan saya supaya melakukan reformasi di Dewan Rakyat maka saya berani melakukannya.


AGENDADAILY : Tidakkah ia akan dilihat sebagai satu kelemahan pada kerajaan sehingga mendedahkan ‘pekong di dada’ dan tidak payah tunggu pembangkang lagi kerana ahli Parlimen BN sendiri boleh ‘hentam’.

NAZRI : Saya tidak takut, saya tidak mahu dituduh sweeping under carpet … saya rasa ini bukannya kelemahan tapi ianya kekuatan, bermakna kita boleh dikritik dan kita mendengar apa juga pandangan wakil rakyat yang telah dilantik oleh grassroot.

Kita perlu terima pandangan dan teguran yang disuarakan oleh wakil-wakil rakyat tersebut kerana mereka mewakili masyarakat bandar dan luar bandar.

Kita rasa lebih confident , apabila rakyat memberi undi yang besar pada kita dalam pilihanraya umum lalu maka sudah tentunya kita perlu dengar... kita jangan terlalu bongkak, gahirah dan langsung tidak mahu dengar… itu adalah teruk.

Maka dengar sendirinya rakyat akan melihat betapa wakil-wakil rakyat BN telah berani mengkritik kerajaan dan mungkin mereka akan berfikir untuk masa akan datang tidak perlu lagi ada pembangkang kerana wakil-wakil mereka sudah boleh ambil tanggungjawab pembangkang.


AGENDADAILY : Dulu ada ura-ura supaya sidang Dewan Rakyat disiarkan langsung... sekarang senyap, kenapa?

NAZRI : Saya tidak setuju dari awal lagi kerana waktu parlimen bersidang adalah waktu bekerja.

Kalau kita buat siaran langsung, siapa yang nak tengok, waktu orang bekerja, apakah kita nak galakkan orang tengok TV dan galakkan orang tak buat kerja… ia tidak kena.


Suri rumahtangga pun tak tengok juga, waktu kuliah… pelajar akan belajar, kita
nak galakkan pelajar ponteng kelas kerana nak suruh mereka tengok kita
berbahas di dewan… itu tak betul.Logiknya tidak ada penonton…


AGENDADAILY : Apakah Datuk ingin buat parlimen lebih terbuka pada orangramai?

NAZRI : Mereka boleh datang.Saya sudah beri arahan agar tidak menyulitkan orangramai datang. Saya menggalakkan rombongan melawat parlimen, ataupun mereka tahu ada special isu … mereka minat nak dengar.. boleh datang.

AGENDADAILY : Kembali kepada politik, apakah kali ini last term untuk Datuk.Kita lihat seperti Tun Dr. Mahathir, beliau telah tetapkan masanya sendiri untuk berundur.

NAZRI : Saya tak tahu, itu kena tanya Perdana Menteri. Itu hak PM… Dr. Mahathir lain, beliau ketua maka bolehlah beliau buat macam itu. Saya bukan ketua, saya gurkha , saya ikut cakap ketua, kalau suruh tanding… ya.. saya tanding, saya boleh nyatakan hasrat saya, tapi kita kena ingat… kita anak Malaysia, kalau dipanggil untuk berkhidmat… biarpun bertongkat paruh, saya tetap pergi…





AGENDADAILY : Bagaimana dengan jawatan dalam parti seperti Majlis Tertinggi Umno.

NAZRI : Bertanding pilihan raya adalah hak ketua kita, tapi tanding MT adalah keputusan saya.Ketua tidak boleh buat keputusan samada saya tanding MKT atau tidak. Yang mana saya boleh buat keputusan… saya akan buat keputusannya.

Keputusan untuk tanding pilihan raya, itu keputusan pucuk pimpinan… kita kena hormat… begitu juga keputusan melantik ke jawatan menteri adalah hak Perdana Menteri… kita kena hormat.


AGENDADAILY : Bagaimana Datuk melihat kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim semula dalam persada politik tanahair, apakah ia bakal mengugat UMNO?

NAZRI : Pada pandangan saya Anwar berpengaruh jika berada dalam UMNO… kalau di luar tidak ada pengaruh.

Satu lagi tidak ada mana-mana individu yang lebih besar dari UMNO. Tidak boleh satu
orang menghancurkan UMNO… UMNO ini adalah Melayu. Tubuhnya UMNO bukannya serpihan seperti PAS, Semangat 46, Keadilan dan lainnya…tertubuhnnya serpihan ini kerana marah, dendam dan benci…


UMNO ditubuh kerana membela semangat satu bangsa yang beragama Islam yang
ditekan, mereka dengan perit jerihnya berusaha untuk membebaskan diri dari
kolonial…

Orang Melayu menubuhkan UMNO dengan doa selamat, tahlil, kenduri kendara, susah payah, masing-masing mengadai harta benda… UMNO ini cukup keramat kerana ia wujud atas landasan yang baik dan keikhlasan.

Kalau parti serpihan seperti Pas, Semangat 46 atau Keadilan tidak boleh menggugat UMNO, saya tidak percaya Anwar boleh gugat UMNO…


AGENDADAILY : Bagaimana pandangan yang mengatakan UMNO akan rosak dari dalam
bukannya faktor dari luar.

NAZRI : UMNO boleh rosak dari dalam... sebab itulah kita tidak bagi laluan orang luar masuk untuk merosakkan UMNO.Kalau kita tahu orang luar itu akan masuk untuk merosakkan UMNO maka kita halang dia dari masuk UMNO.

Contohnya politik wang, ia juga tidak akan menghancurkan UMNO tapi yang boleh enghancurkan UMNO adalah perpecahan pimpinan. Kita sudah ada sejarahnya. Kalau kita tidak belajar dari peristiwa inilah menyebabkan pintu UMNO kita tutup kepada orang yang kita anggap boleh memecahbelahkan UMNO.

Kita kena kenal pasti, mana perkara yang boleh memecahbelahkan pimpinan kita kena potong..potong..jangan bagi peluang. UMNO lebih penting. Kita berterus teranglah, seperti Anwar, semasa berada di dalam dulu… lawan Dr. Mahathir, adakah orang seperti ini kita nak bagi masuk, bodohlah kita kerana rekod telah menunjukkan dia pernah melawan.


AGENDADAILY : Anwar tidak pernah minta masuk UMNO dan UMNO pun tidak pernah
menyuruh beliau masuk UMNO, tapi kemungkinan suatu hari Anwar nak masuk UMNO,
bagaimana?.

NAZRI : Kita bertindak kerana ada kemungkinan itulah… memanglah dia tidak pernah kata
nak masuk UMNO, tapi atas kemungkinan itulah kita bertindak terus menyekatnya,
jangan dah sampai ketikanya maka baru terkapai-kapai nak buat keputusan.


AGENDADAILY : Sekarang kita melihat para pemimpin parti pembangkang sudah terbuka minda mereka, profesional dan masing-masing ingin membela bangsa, agama, nak menang pilihan raya dan ingin memerintah, tidak lagi berasaskan dendam atau kemarahan, semuanya ingin memimpin...bagaimana Datuk melihatnya?.

NAZRI : Saya setuju zaman telah berubah, pemimpin pembangkang pun dah profesional dan ingin membangunkan negara, tapi rakyat pilih kita. Keputusan kita bertambah baik dengan majoriti besar.Ini tahun 2004, pilihan raya baru berlalu, rakyat tahu apa yang kerajaan buat.


AGENDADAILY : Dalam politik…kita dengar ada juga orang yang mempersoalkan misalnya Datuk tidak pernah buat rumah terbuka di Kuala Lumpur semasa Hari Raya.Boleh Datuk jelaskan kenapa?

NAZRI : Sebagai ahli politik, ada dua faktor penting yang perlu jaga, pertama: Perdana Menteri, beliau mesti yakin dengan kita dan kedua: pengundi kita.

Satu faktor tidak boleh, kalau baik dengan PM saja tapi tak ada kawasan nak mengundi pun tak boleh juga... dan ada orang popular dengan pengundi tapi PM tak yakin dengannya...pun tak boleh juga.


Kedua-duanya kena jaga. Kita buat rumah terbuka di Kuala Lumpur hanya untuk kawan-kawan saja... mereka tak boleh mengundi pun.

Saya buat rumah terbuka di kawasan (Padang Rengas), saya beruntung kerana setakat ini jadi ketua bahagian tak bertanding, saya kena jaga rakyat sebab mereka yang nak mengundi dan saya jaga ‘bos’ saya.

Bos saya kena yakin dengan saya... makanya kalau kita baca suratkhabar kata … Nazri nak kena buang… tapi bos yakin pada kita begitu juga dengan rakyat di kawasan.Semua OK. Ini petua saya pada YB-YB baru.

Saya kena jujur pada saudara, setiap ahli parlimen ingin merasa jadi menteri...saya dah rasa.


AGENDADAILY : Tidakkah cara Datuk ini akan timbul tanggapan dikalangan ahli politik lain... nak jadi menteri tak payah jaga orang lain, cukup hanya jaga Perdana Menteri dan rakyat di kawasan… tak perlulah jaga ahli-ahli parti atau berkejar nak tanding jawatan dalam parti seperti Majlis Tertingi Umno.?

NAZRI : Memang betul tak payah jadi MT…


AGENDADAILY : Tidakkah ini bercanggah dengan konsep parti menguasai kerajaan?

.

NAZRI : Pada pengalaman saya.. kerajaan lebih penting. Kita lihat ahli MT biasa tanpa jawatan menteri dengan pemegang jawatan menteri yang tidak ada jawatan MT… orang akan hormat siapa.

Sebab, menteri itu ada kuasa… kita kena terima bahawa manusia akan hormat pada
mereka yang ada kuasa. MT tak ada kuasa, menteri ada kuasa … maknanya kerajaan menguasai parti.

Dalam zaman kita berbincang masalah politik wang, apakah Presiden mesti terikat pada mereka yang menang MT, sedangkan ada diantaranya menang kerana ‘main duit’.

Jadi bermaknanya, dalam pemilihan sekarang, menjadi MT belum tentu kerana ia popular tetapi kerana duit.

Mungkin akan berlaku seseorang itu menang MT kerana duit dan kita nak ikat Perdana Menteri supaya melantik ahli MT yang main duit dalam kabinet atau kita serahkan pada PM untuk memilih mana-mana ahli Parlimen yang difikirkan layak.

Kita jangan mengikat PM dengan ‘memaksa’ memilih ahli MT untuk berada dalam kabinet kerana jawatan MT itu boleh ‘dibeli’. PM lebih tahu untuk menilainya.


AGENDADAILY : Apakah prinsip Datuk dalam perhubungan sesama kawan-kawan dan ahli-ahli politik.

NAZRI : Paling penting ialah hubungan baik dengan semua orang, saya tidak pernah bermusuh dengan orang tetapi orang bermusuh dengan saya ada. I’am a happy man.

Saya akan tetap setia pada UMNO.Kita jangan menentang kerajaan apabila tidak mendapat sesuatu… kita kena ikut cakap Tun Dr. Mahathir… dulu orang sokong kita, sekarang dia naik, kita pula sokong.

Kita kena berkawan dan buat baik.

Saya setia. Saya dengar ada orang tanya pada Anwar tentang saya… dia kata... Nazri, aku tak marah kerana siapa naik dia akan setia. Itulah demokrasi, kalau siapa naik kita kena setia... begitu juga semasa zaman Anwar, saya sokong dia selagi tidak lawan ketua.
- 26 Januari,2005



Printable Version | Email to a Friend

Agenda Tips


Copyright © 2004-2009 Agenda Daily Dot Com.
While we make every effort to ensure the accuracy and completeness of the information contained in AgendaDaily,
no representation expressed or implied is made in respect of the said information.
This site is developed and maintained by Agenda Daily Dot Com.

Powered by tmsPUBLISHER-e.