Printing Instructions: Select File and then Print from your browser's menu
--- Article Information ---
This article was printed from http://www.agendadaily.com:8080.
Article's URL: http://www.agendadaily.com:8080/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_baaa8de5-7f000010-6cf97c00-ed37e79b
---------------------------
Agenda Daily: Hina Mahathir: Samy Vellu dakwa beliau minta perwakilan henti berucap

Hina Mahathir: Samy Vellu dakwa beliau minta perwakilan henti berucap

MIC akan mengambil tindakan disiplin terhadap seorang perwakilan parti yang mencadangkan supaya kalungan selipar diletakkan pada gambar mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada perhimpunan agung parti itu di Kuala Lumpur Ahad.

Presidennya, Datuk Seri S.Samy Vellu berkata, beliau amat kesal dengan kenyataan perwakilan itu dan dia akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin parti.

Dalam kenyataan Isnin, Samy Vellu berkata, beliau telah meminta perwakilan itu menghentikan ucapannya sebaik sahaja mengeluarkan kenyataan tersebut berikutan pandangan bekas Presiden UMNO itu yang didakwa mencampuri urusan dalaman MIC.

Bagaimanapun, katanya, arahannya supaya perwakilan itu menghentikan tindakannya itu tidak dilaporkan oleh media.

Samy Vellu berkata demikian bagi menjelaskan laporan sebuah akhbar bahasa Malaysia hari ini mengenai kenyataan perwakilan itu yang mengundang reaksi pelbagai pihak.

Menurutnya, beliau telah memberitahu perwakilan pada perhimpunan agung itu supaya memberi penghormatan tertinggi kepada Dr Mahathir yang telah banyak berjasa kepada negara.

“Saya sedar bahawa kenyataan Tun Dr Mahathir mengenai MIC telah menyinggung perasaan ramai perwakilan tetapi adalah tidak perlu untuk mencerca beliau sebegitu,” katanya.Samy Vellu, bekas Menteri Kerja Raya itu, berkata, beliau menghormati kebebasan perwakilan membahaskan sebarang perkara tetapi apabila ia menyentuh mengenai seseorang pemimpin negara, maka beliau terpaksa campur tangan.-14/9/2009

--- end ---