Mengenali AgendaDaily.com | Hubungi Kami | Maklum Balas Fri, 03 September 2010 |





 Selamat Datang, Pelawat
  Agenda Daily Laman Web
LAMAN UTAMA
Johor
Kedah
Kelantan
Negeri Sembilan
Pahang
Penang
Perak
Perlis
Sabah
Sarawak
Terengganu

Ruangan
- INI ALAMAT KAMI
- BERITA UTAMA
- A Kadir Jasin -Other Thots
- Raduan Taib - Direct to The Point
- Syed Hussein Al Attas
- Badrul Hisham Abdul Aziz - WADTK
- Norzah - Baca jangan tak baca
- Jamelah Bakar - Pena Rakyat
- Noor Hasilah - Apo kono Eh Jang
- Sembang Kawan-Kawan
- SEJENAK BERSAMA
- CATATAN PERJALANAN AGENDADAILY
- EDISI KHAS AGENDADAILY



agendadaily@gmail.com

Laman khas himpunan interbiu Agendadaily - SILA KLIK

Puncanya…Wan Azizah


Video lucah hantui Shahanim,Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia

Kena gugur Timbalan Menteri : Akhirnya Idris Haron ‘buka cerita’


Puteri UMNO kalau tak agresif…baik tutup kedai - Azalina

Ali Rustam tak pandang belakang…


Khairy:Menjawab persepsi sebagai Ketua Pemuda UMNO yang 'tak settle'

Saya tidak boleh berfungsi macam Samy Vellu...


Sejenak bersama Yang DiPertua Dewan Negara…

Keluh kesah Presiden BAM...urus syarikat lebih mudah

Susah senang jadi ' referee' di Dewan Rakyat

Dalam persaingan politik… tidak ada naib juara….


Masalah jadi orang Nombor 2




Agenda Daily: Ahli PAS jadi 'bidan terjun' tanding atas tiket Keadilan di Ijok pada pilihanraya 2004

Ahli PAS jadi 'bidan terjun' tanding atas tiket Keadilan di Ijok pada pilihanraya 2004



Abdul Rahman Moharam yang bertanding atas tiket Parti Keadilan dengan mendiang Datuk K Sivalingam di kerusi Dewan Undangan Negeri Ijok semasa pilihanraya umum 2004 sebenarnya adalah ahli PAS.

Agendadaily diberitahu langkah ini terpaksa dibuat kerana PAS lebih menyerlah di kawasan Ijok berbanding Parti Keadilan ketika itu.

Sumber parti itu berkata oleh kerana Ijok sudah ditetapkan untuk Keadilan bertanding maka Abdul Rahman yang merupakan ahli PAS menjadi 'bidan terjun' bertanding atas tiket Keadilan.

Katanya masa kempen pilihanraya 2004 jentera PAS yang buat kerja kerana Keadilan tidak kuat di Ijok waktu itu.

Semasa pilihanraya 2004, Abdul Rahman mendapat 3,564 undi manakala Sivalingan yang menang 5,213 undi.


Sementara itu Setiausaha Agung PAS Kamaruddin Jaafar mengumumkan Selasa parti itu akan turun membantu calon Keadilan dalam kempen pilihanraya kecil Ijok.

Katanya keputusan itu dibuat Isnin.

Menurutnya pimpinan utama termasuk Presiden Datuk Seri Hadi Awang dan beliau sendiri akan berceramah.


Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa,Naib Presiden Datuk Dr Hassan Ali dan Bendahari Dr Hatta Ramli adalah antara mereka yang turut hadir di majlis pengumuman nama Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai calon Parti Keadilan di tapak pasar malam Batang Berjuntai Selasa malam.

Sebelum ini terdapat percanggahan antara pimpinan PAS mengenai pendiriannya boikot pilihanraya kerana memprotes cara terhadap apa yang didakwanya pengendalian Suruhanjaya Pilihanraya yang tidak betul.

PAS dan Keadilan memboikot pilihanraya kecil Batu Talam Januari lalu dan PAS tidak bantu DAP dalam kempen di pilihanraya kecil Machap baru-baru ini.

Bagaimanapun kalangan pimpinan utama DAP tidak kelihatan semasa majlis pengumuman calon PKR oleh Datin Seri Dr Wan Azizah. - 17/4/2007

---------------------

BERITA SEBELUM INI:Anwar umum calon Parti Keadilan Ijok malam ini



Siapa calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bakal bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok pada 28 April ini akan diketahui malam ini.

Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri akan turun padang mengumumkan nama calon itu dalam satu majlis jam 8.30 malam ini di bilik gerakan parti itu di pekan Batang Berjuntai.

Setakat ini nama Bendahari PKR dan Pengerusi PKR Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim terus menjadi tumpuan ramalan.

Turut disebut-sebut ialah nama Datuk Nalakaruppan,rakan karib Anwar yang menyertai PKR baru-baru ini.

Sementara itu jentera kempen parti pembangkang masih dibayangi oleh suasana ketidakpastian tentang pendirian parti PAS samaada hendak membantu PKR atau tidak.

Ini berikutan terdapat percanggahan kenyataan kalangan pemimpin PAS mengenai pendirian parti itu memboikot pilihanraya kerana memprotes cara pengurusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang memberitahu partinya akan berbincang dulu dengan PKR mengenai hal ini.

Manakala Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub mahu parti itu kekal dengan pendiriannya boikot pilihanraya.

Naib Presiden PAS Datuk Hassan Ali pula berkata parti itu akan membantu kempen PKR jika Khalid Ibrahim dipilih sebagai calon.

PAS tidak menyertai kempen pilihanraya kecil Machap di Melaka baru-baru ini.

Namun begitu PKR turun berkempen bantu calon DAP di situ.- 16/4/2007

--------------------------------


Ijok...jangan ada yang merajuk




Berita baik untuk Barisan Nasional (BN)! Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang pening mengenai siapa calon sesuai yang akan diletakkan menentang BN dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Ijok pada 28 April ini.


PAS, rakan sekutu PKR dalam pakatan pembangkang seawal minggu lalu lagi sudah bermesyuarat – bukan untuk menentukan calonnya, tetapi cuba menambat PKR meletakkan hanya Tan Sri Khalid Ibrahim.

Jika bukan tokoh tempatan itu dipertaruhkan, PAS belum pasti akan memberi sokongan. Itu pendirian PAS. Pendirian ahli-ahli PKR berketurunan India pula lain kemahuan mereka.

Walaupun mempunyai hanya 28.3 peratus pengundi India, mereka mahu calon di kalangan keturunan mereka. Maksudnya, mereka mahu rakan karib Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk S. Nalakarupan. Mereka juga mempersoalkan kenapa PKR hanya meletakkan calon Melayu dalam pilihanraya-pilihanraya yang disertai.

PKR tidak mungkin meletakkan calon lain selain daripada Tan Sri Khalid. Beliau anak watan Kuala Selangor , pernah bergiat dalam UMNO di Bahagian Kuala Selangor dan pengundi Melayu memang majoriti iaitu 50.6 peratus daripada keluruhan 12,310 pengundi.

Datuk S. Nalakarupan bukan orang tempatan dan jika beliau dicalonkan, akan membangkitkan isu pula iaitu PKR yang dipimpin oleh isteri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail akan dilihat lebih mengutamakan rakan atau kroni mereka.

Ini pasti akan mengguris perasaan pengundi-pengundi Melayu. Pengundi Melayu di Kuala Selangor, dan kawasan-kawasan berhampiran kelihatan sentiasa ‘di atas awang-awangan’ – pendirian mereka boleh terpaling hanya kerana sebab-musabab yang kecil sahaja.

Walaupun kekuatan PKR tidak banyak terbukti di Kuala Selangor, Tanjung Karang dan Sabak Bernam, namun peranan dan pengaruh PAS tidak boleh sama sekali dipandang ringan. Pilihanraya umum 1999 adalah bukti nyata peranan PAS di kawasan pantai barat Selangor itu.

Kawasan Parlimen Kuala Selangor, yang Ijok adalah salah satu kawasan Dewan Undangan Negerinya, pernah diterajui mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar.

Bagaimanapun, tatakala beliau menerajui UMNO Bahagian Kuala Selangor, beliau telah beberapa kali diuji dan dicabar oleh seseorang bernama Daud Tarihep. Hari ini, Daud adalah Ahli Parlimen Kuala Selangor. Pernah menjadi ketua bahagian sepenggal tetapi pada pemilihan lalu, beliau kecundang di tangan Amiruddin Sutero – Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Jeram.

Mungkinkah Abu Hassan akan membantu Daud selaku musuh tradisinya itu dalam pilihanraya kali ini. Sukar untuk menyatakan ya atau tidak. Hanya Abu Hassan yang boleh menjawab pertanyaan ini.

Amiruddin Sutero, pernah menjadi penyokong kuat Abu Hassan tetapi menurut sumber beliau kini membina kekuatan sendiri dan tidak juga diketahui Abu Hassan akan turun padang kelak atau sebaliknya.

Pengundi Cina sebanyak 20.9 peratus, nasib baik belum kedengaran membuat apa-apa ‘demand’ lagi. Jika merekapun mahu diwakili orang Cina dengan alasan sudah lama sangat di bawah orang India, pasti bertambah hangat suasana.

Yang pasti BN akan letak calon India bukan kerana banyaknya pengundi India, tetapi kerana persefahaman dan kuota yang telah dipersetujui oleh parti-parti komponen BN. Kalau hendak mencari kawasan yang pengundinya majoriti India, MIC nampaknya tidak akan berpeluang bertanding di mana-mana sekalipun.

Namun, menurut orang Melayu Ijok sendiri, mereka adalah majoriti, hampir dua kali ganda daripada pengundi India, tetapi kenapa kerusi tidak diberikan kepada UMNO. Ada di kalangan mereka faham tentang persefahaman dan kuota yang dipersetujui BN.

“Cuma, kami nak rasa juga kerusi UMNO, berilah kerusi MIC ini pada kawasan lain,’’ ujar seorang pengundi yang menetap di ibukota tapi pasti pulang ke Ijok pada 28 April nanti.

Senario inilah yang akan menjadikan kancah pilhanraya ini lebih menarik. Dengan meletakkan Tan Sri Khalid pasti akan memuaskan hati para pengundi Melayu. Mereka boleh dianggap sudah tutup mulut. Ini agak berbahaya bagi BN.

Sebagai anak watan yang berjaya dari Kuala Selangor, Tan Sri Khalid pernah terlibat dalam penubuhan Permodalan Nasional Berhad dan berada di puncak kejayaannya sebagai Ketua Pegawai Ekskutif Kumpulan Guthrie Bhd.

Persoalan juga timbul siapa yang akan diletakkan sebagai calon dari MIC bagi mewakili BN . Khabarnya, MIC bahagian Kuala Selangor ‘berlaga angin’ dengan Presiden mereka, Datuk Seri Samy Vellu.

Samy awal-awal lagi sudah memberitahu bahawa nama calon untuk Ijok akan diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo.

Seorang pengundi dan anak watan serta ahli Pergerakan Wanita UMNO Kuala Selangor memberitahu Agendadaily: “Jangan Samy letak anaknya di sini sudahlah,’’ sambil mengingatkan pengakuan Menteri Kerjaraya itu bahawa beliau pernah tinggal di Batu Arang, jiran Ijok.

Bagi BN, isu calon bukanlah masalah. Isu pembangunan juga bukan perkara besar. Abu Hassan dan Dr. Khir Toyo telah membawa banyak pembangunan di kawasan pinggir pantai barat Selangor.

Jalanraya sudah cantik dan menjadi pilihan pengguna pula untuk ke utara kerana tidak perlu membayar tol. Universiti Industri Selangor (UNISEL) di Berjuntai Bestari bersebelahan Ijok adalah pemangkin pembangunan baru menggantikan tanah lombong terbiar selama ini.

Lebuhraya Banting di Selangor ke Taiping di Perak akan melalui Kuala Selangor. Sekali lagi, lebuhraya ini akan menjadi pemangkin raksasa membangunkan daerah tersebut.

Premis dan peluang perniagaan juga telah banyak diwujudkan. Pembangkang khususnya DAP tidak ada isu. Jika mereka bawa ke tanah orang Cina di Rawang ke sana, pilihanraya kecil Machap 12 April membuktikan isu itu tidak memberi kesan.

Kita nantikan gabungan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Dr. Khir Toyo bersilat menggunakan pengalaman masing-masing menangnani pilihanraya kecil.

Meskipun Najib sudah banyak pengalaman, bagi Dr. Khir, inilah peluang pertama setelah lapan tahun menerajui negeri Selangor Darul Ehsan. Namun, sebagai pakar yang boleh mencabut gigi dengan pelanggan tidak terasa sakit, kepintarannya boleh diaplikasi dalam kes politik.- 14/3/2007

---------------------------

Pilihanraya kecil Ijok di Selangor 28 April

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Rabu menetapkan penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Ijok pada 19 April manakala pengundian 28 April.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi DUN tersebut Datuk K.Sivalingam di Chennai, India, akibat serangan jantung pada 4 April lepas.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman memberitahu para wartawan di Putrajaya mengikut daftar pemilih tersebut DUN N11 Ijok mengandungi 12,272 pemilih iaitu 12,233 pemilih awam dan 39 orang pemilih pos. Pengundi Melayu sebanyak 51.04 peratus, India 28.16 peratus dan Cina 20.59.- 11/4/2007

---------------------------------

Khalid beri sebab kenapa PKR bertanding di Ijok

Bagi pihak pembangkang Batu Talam adalah kerusi PAS, Machap giliran DAP manakala Ijok adalah padang Parti Keadilan Rakyat (PKR) .Di sebelah Barisan Nasional pula Umno sudah mempertahankan Batu Talam,MCA sedang berdepan dengan tugas besar di Machap manakala MIC akan berdepan dengan ujian di Ijok.

PAS melepaskan tanggongjawabnya di Batu Talam setelah memboikotnya dengan disertai oleh PKR atas alasan untuk memprotes terhadap ketelusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengurus pilihanraya.

Makanya bila ada perlawanan di padang sendiri ramai yang bertanya apakah pendirian PKR dengan boikotnya.

Isnin Pengerusi PKR Negeri Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan parti itu akan meletakan jawatan untuk berentap dengan calon BN di Ijok.

Antara alasan yang beliau beri ialah para pengundi di Ijok sendiri telah menghubungi keADILan di peringkat Bahagian Kuala Selangor dan Negeri Selangor untuk mendesak keADILan agar meletakkan calon pada pilihanraya kecil tersebut.

Dalam satu kenyataan Khalid juga memberitahu parti-parti rakan, PAS dan DAP, juga mempunyai pandangan yang sama dan memberikan komitmen untuk memberikan bantuan dan sokongan penuh kepada calon PKR.

Para pemimpin BN yang awal-awal sudah menduga PKR akan mengenepikan tindakan boikotnya termasuk dalam kempen pilihanraya kecil Machap sudah melabel PKR cakap tak serupa bikin.

Pilihanraya kecil Ijok perlu diadakan berikutan kematian Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk K Sivalingam di India.

Kenyataan itu belum menamakan sebarang calon.Namun antara nama yang hangat disebut-sebut menjadi calon PKR ialah Khalid sendiri dan ahli perniagaan dan rakan karib Datuk seri Anwar Ibrahim,Datuk Nalakaruppan.

SPR akan bermesyuarat Rabu ini untuk menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian.

Berikut ialah kenyataan penuh yang dikeluarkan oleh Khalid mengenai keputusan PKR hendak bertanding di Ijok:

Suara rakyat yang lantang mengkritik Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan tuntutan-tuntutan agar pengendalian pilihanraya di Malaysia direformasi untuk memastikan ia benar-benar adil ternyata tidak dipedulikan oleh pemerintah dan SPR.

Malah tindakan Pengerusi SPR dengan bongkak mencabar pihak yang tidak berpuas hati dengan SPR untuk membawa Suruhanjaya tersebut ke mahkamah adalah cerminan sikap sebenar SPR yang tidak mempedulikan kehendak dan tuntutan rakyat.

Cabaran tersebut hanya semata-mata retorik kosong kerana ruang dan peruntukan untuk mencabar SPR di mahkamah telah disekat dan disempitkan dengan pelbagai pindaan undang-undang.

Mengambilkira keadaan yang sebegini, Parti Keadilan Rakyat beranggapan bahawa untuk memastikan reformasi pilihanraya berlaku dan pilihanraya dikendalikan dengan benar-benar adil dan bersih bagi menzahirkan suara dan kehendak rakyat, perubahan mesti dilakukan di peringkat pemerintahan negara dan negeri itu sendiri.

Oleh yang demikian keADILan membuat keputusan untuk menggerakkan rakyat menuntut perubahan melalui jalan pilihanraya. Meskipun kita akan berhadapan dengan lapangan pertandingan yang tidak sama rata (uneven playing field), rakyat Malaysia tidak punya sebarang pilihan selain menghadapi segala kesukaran itu dengan tabah.

Justeru keADILan akan meletakkan calon untuk bertanding di Pilihanraya Kecil DUN Ijok yang akan datang. keADILan percaya pilihanraya kecil ini akan dimanfaatkan oleh rakyat untuk menzahirkan kehendak mereka terhadap kepemimpinan negeri Selangor yang bersih yang ditawarkan oleh Barisan Rakyat dan menolak cara hidup korup pemimpin Barisan Nasional.


Para pengundi di Ijok sendiri telah menghubungi keADILan di peringkat Bahagian Kuala Selangor dan Negeri Selangor untuk mendesak keADILan agar meletakkan calon pada pilihanraya kecil tersebut. Parti-parti rakan, PAS dan DAP, juga mempunyai pandangan yang sama dan memberikan komitmen untuk memberikan bantuan dan sokongan penuh kepada calon keADILan.

Selain itu, sebahagian besar desakan rakyat pada peringkat akar umbi itu telah dikemukakan dalam bentuk rayuan agar keADILan mengemukakan seorang calon yang cukup berwibawa dari segi kebolehan dan pengalamannya. Watak yang demikian, menurut rayuan itu, amat dikehendaki rakyat sebagai suatu daya pengimbang dan pengkritik terhadap pentadbiran Menteri Besar Selangor sekarang yang bukan sahaja tidak cekap tetapi juga telah memilih untuk meneruskan sifat-sifat korupsi dan kroni pentadbiran Negeri sebelum ini.

keADILan percaya sokongan mantap rakyat akan dapat mengatasi sebarang tindakan penipuan pilihanraya yang akan dilakukan oleh BN dan juga SPR. Oleh yang demikian, keADILan memutuskan untuk menguji buat kesekian kalinya sikap BN dan SPR yang tidak teragak-agak sanggup menipu, mempermain-mainkan dan menindas rakyat.

Tan Sri Dato' Abdul Khalid Ibrahim
Pengerusi Perhubungan keADILan Selangor


- 9/4/2007

-----------------------------

Pilihanraya kecil Ijok: Dilema Parti Keadilan

Teka teki kini lebih menjurus antara Datuk Khalid Ibrahim atau Datuk Nalakarupan yang bakal menjadi calon jika Parti Keadilan Rakyat bertanding menentang Barisan Nasional dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Ijok,Selangor.

Apapun difahamkan sehingga berita ini ditulis petang Jumaat PKR masih berada dalam dilema besar untuk menghadapi pilihanraya kecil ini.

Sumber parti itu memberitahu Agendadaily faktor utama yang menjadi pertimbangan ialah soal belanja besar yang perlu dikeluarkan untuk menghadapinya.

“Rasa kurang minat timbul kerana ada kalangan pemimpin parti yang merasakan tidak berbaloi belanja besar sedangkan pilihanraya umum pun sudah tidak jauh,”katanya.

Malah menurutnya ada yang berpendapat mereka tidak kisah sangat katakan PAS mahu bertanding di situ pada pilihanraya kecil ini.

Sumber itu berkata perbincangan sedang berjalan dengan rakan-rakan parti pembangkang untuk mencapai keputusan terbaik dalam soal ini.

Namun sumber itu mengakui adalah selamat untuk membuat ramalan jika PKR jadi bertanding calonnya adalah antara Khalid yang juga Bendahari PKR dan Pengerusi PKR Selangor atau Datuk Nalakarupan.

Nalakarupan yang merupakan rakan karib Datuk Seri Anwar Ibrahim baru ini menyertai parti itu dan dicalonkan bertanding jawatan Naib Presiden PKR pada kongres parti itu tidak lama lagi.

Nama beliau berlegar kerana Ijok ialah kerusi MIC.


“Sebenarnya dalam soal ini pun menghadapi dilema kerana tak kan nak bagi jeneral PKR negeri Selangor sendiri (Khalid) masuk bertanding dan kemudiannya kalah…rosaklah imej dia.Masalahnya Khalid ialah calon terbaik menentang calon BN di situ,”katanya.

Khalid pula bergiat dalam Umno Bahagian Kuala Selangor satu masa dulu sebelum masuk PKR.

Para pemerhati politik meramalkan persaingan sengit pada pilihanraya kecil Ijok memandangkan majoriti kemenangan mendiang wakil rakyat BN, Datuk K Sivalingam dengan calon Keadilan Abdul Rahman Moharam pada piliihanraya umum 2004 hanya 1, 649 undi.- 6/4/2007

------------------


BN berentap dengan Keadilan di Ijok…?

Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk K Sivalingan yang meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung Rabu merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri selama tiga penggal sejak 1995 di kawasan Ijok.

Mendiang meninggal dunia sekitar jam 1 petang selepas rebah di Lapangan Terbang Chennai,Tamil Nadu,Selatan
India sejurus tiba dari Malaysia.

Sivalingam yang merupakan bekas wartawan sebuah akhbar Tamil memegang portfolio Perpaduan dan Pekerja Ladang dalam barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Ahli Jawatankuasa Pusat MIC itu pergi ke India dengan diiringi anak dan menantunya itu adalah untuk berubat.

Pada pilihanraya umum 2004 Sivalingan menewaskan calon Parti Keadilan, Abdul Rahman Moharam dengan majoriti1,649 undi.

Beliau dapat 5,213 undi manakala Rahman 3,564.Seorang lagi calon bebas,Mohd Sharif Nagoorkani 313 undi.

Pengundi kawasan itu terdiri dari 50.6 peratus Melayu,28 peratus
India dan 20.9 peratus Cina.

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Sivalingam semasa satu sidang akhbar di
Kuala Lumpur berkata kalau ikut perlembagaan pilihanraya kecil perlu diadakan di Ijok.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman pula memberitahu pilihanraya kecil perlu diadakan kerana Dewan Undangan Negeri Selangor mula bersidang pada 13 April, 2004 dan ia belum mencapai usia tiga tahun.

Katanya beliau sudah meminta para pegawai suruhanjaya untuk mengaturkan mesyuarat SPR pada minggu depan bagi membincangkan kekosongan kerusi DUN Ijok itu.

Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Tan Sri Onn Ismail berkata beliau sudah memaklumkan kepada SPR mengenai kematian Sivalingam.

Beliau turut mengesahkan bahawa Dewan Undangan Negeri Selangor belum berusia tiga tahun kerana ia mula bersidang pada
13 April, 2004.

Tandatanya yang paling menarik sekarang ialah apakah Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan uji pengaruhnya dan bertanding dalam pilihanraya kecil kawasan itu nanti.

Pilihanraya kecil kawasan itu dijangka pasti menarik dan hangat melihat pada majoriti kemenangan Sivalingam hanya 1,649 saja berbanding calon Keadilan pada pilihanraya 2004.

PKR telah menyertai PAS memboikot pilihanraya kecil Batu Talam di Raub pada 28 Januari lalu.

Namun ia kelihatan mengubah pendirian pada pilihanraya kecil Machap di Melaka yang mana kempen sedang berlangsung sekarang.Bendera PKR kelihatan turut berkibar dicelah bendera DAP semasa perarakan calon DAP pada penamaan calon pagi Selasa .-4/4/2007



Printable Version | Email to a Friend

Agenda Daily: Real News For New People


 
 

Copyright © 2004-2009 Agenda Daily Dot Com.
While we make every effort to ensure the accuracy and completeness of the information contained in AgendaDaily,
no representation expressed or implied is made in respect of the said information.
This site is developed and maintained by Agenda Daily Dot Com.

Powered by tmsPUBLISHER-e.