Mengenali AgendaDaily.com | Hubungi Kami | Maklum Balas Fri, 03 September 2010 |





 Selamat Datang, Pelawat
  Agenda Daily Laman Web
LAMAN UTAMA
Johor
Kedah
Kelantan
Negeri Sembilan
Pahang
Penang
Perak
Perlis
Sabah
Sarawak
Terengganu

Ruangan
- INI ALAMAT KAMI
- BERITA UTAMA
- A Kadir Jasin -Other Thots
- Raduan Taib - Direct to The Point
- Syed Hussein Al Attas
- Badrul Hisham Abdul Aziz - WADTK
- Norzah - Baca jangan tak baca
- Jamelah Bakar - Pena Rakyat
- Noor Hasilah - Apo kono Eh Jang
- Sembang Kawan-Kawan
- SEJENAK BERSAMA
- CATATAN PERJALANAN AGENDADAILY
- EDISI KHAS AGENDADAILY



agendadaily@gmail.com

Laman khas himpunan interbiu Agendadaily - SILA KLIK

Puncanya…Wan Azizah


Video lucah hantui Shahanim,Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia

Kena gugur Timbalan Menteri : Akhirnya Idris Haron ‘buka cerita’


Puteri UMNO kalau tak agresif…baik tutup kedai - Azalina

Ali Rustam tak pandang belakang…


Khairy:Menjawab persepsi sebagai Ketua Pemuda UMNO yang 'tak settle'

Saya tidak boleh berfungsi macam Samy Vellu...


Sejenak bersama Yang DiPertua Dewan Negara…

Keluh kesah Presiden BAM...urus syarikat lebih mudah

Susah senang jadi ' referee' di Dewan Rakyat

Dalam persaingan politik… tidak ada naib juara….


Masalah jadi orang Nombor 2




Agenda Daily: Siling Dewan Rakyat bocor:Masalah besar yang berpunca dari masalah kecil...

Siling Dewan Rakyat bocor:Masalah besar yang berpunca dari masalah kecil...

Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Tan Sri Zaini Omar memberitahu Jumaat kebocoran pada siling Dewan Rakyat hingga menyebabkan sidang terpaksa ditangguhkan berpunca dari masalah kecil yang di luar dugaan.

``Apa yang paling mendukacitakan saya ialah, perkara yang telah menyebabkan masalah besar ini sebenarnya hanyalah berpunca daripada masalah yang terlalu kecil,'' katanya pada para wartawan di Kuala Lumpur menjelaskan punca kejadian pada petang Khamis itu.

Beliau mengakui kejadian itu amat memalukannya sebagai Ketua Pengarah JKR.

Zaini berkata kebocoran itu disebabkan penutup kabel elektrik pada bahagian bumbung Dewan Rakyat menghalang pengaliran air hujan.

Menurut beliau air hujan yang terhalang telah mengalir melalui bahagian kanvas PVC yang digunakan dalam pemasangan penyedut asap yang terkopak dan kemudian terus masuk ke dalam dewan.

Katanya kos membaikinya hanyalah kira-kira RM60.

Sementara itu Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu berkata JKR perlu mengambil tanggungjawab penuh atas kejadian kebocoran siling Dewan Rakyat dan mengarahkan jabatan itu supaya segera melaksanakan kerja pembaikan.

"Kita tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak dalam kejadian ini," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di
Punjab, India, Jumaat. Samy Vellu sedang melakukan lawatan kerja ke India dan Pakistan.

Samy Vellu berkata demikian sebagai mengulas penangguhan awal persidangan Dewan Rakyat semalam selepas dewan dimasuki air berikutan hujan lebat. Kejadian itu menyebabkan persidangan ditangguhkan pada pukul 3.46 petang setelah para pekerja gagal mengatasi kebocoran itu.

Menteri itu berkata beliau telah mengarahkan JKR supaya membaiki kebocoran itu dengan segera setelah beliau dimaklumkan kejadian itu semalam.

"Saya telah mengarahkan JKR supaya melakukan pemeriksaan terperinci di seluruh bangunan Parlimen," katanya.

Bangunan Parlimen menjalani kerja-kerja pengubahsuaian besar pada 13 Nov 2003 dan siap untuk digunakan pada 18 Mei 2004.

Samy Vellu berkata mengikut laporan awal yang beliau terima daripada JKR, punca kebocoran disebabkan oleh limpahan air hujan yang lebat dan mengalir masuk ke dalam Dewan Rakyat melalui laluan lubang sesalur di bawah kipas saluran asap dan juga melalui rekahan lantai.

"Perkara ini disebabkan air hujan tersebut telah disekat pengalirannya oleh laluan bagi sistem pencegah kebakaran daripada terus mengalir ke bahagian kolam takungan," kata beliau.

Selain itu, ia juga telah meresap bahagian rekahan lantai yang belum kalis air, kata Samy Vellu.

Katanya, limpahan air tersebut terus melalui bahagian siling plaster dalam Dewan Rakyat lalu mengenai beberapa kerusi dewan dan permaidaini.

Samy Vellu berkata lanjutan daripada itu, kejadian tersebut juga telah menyebabkan kamera litar tertutup dan lampu-lampu basah.

"Selepas persidangan ditangguhkan, lampu 'downlight' tersebut terpaksa ditutup bagi mengelakkan kejadian litar pintas berlaku," kata beliau dan menambah bahawa tidak berlaku kejadian litar pintas dan juga tiada kerosakan lampu kamera litar dan juga peralatan-peralatan elektrik yang lain.

Mengenai kerosakan yang dialami, Samy Vellu berkata kejadian tersebut telah menyebabkan sedikit kerosakan pada siling plaster dewan di bahagian yang bocor.

"Permaidani dan kerusi meja turut basah dan tidak melibatkan kerosakan yang besar," katanya.

Mengenai bentuk tindakan yang telah dan akan diambil, Samy Vellu berkata sistem saluran pencegah kebakaran akan diubah kedudukannya supaya tidak menyekat pengaliran air apabila berlaku hujan.

"Lubang sesalur juga diubah lokasinya supaya sesalur asap tersebut dapat ditutup sepenuhnya dan cara pemasangannya dinaiktarafkan," kata Samy Vellu.

Katanya, lantai terbabit juga akan dilapis dengan bahan kalis air. Manakala permaidani divakum dan dibersihkan serta kerusi meja dilap bersih.

Samy Vellu berkata anggaran kos pengubahsuaian kipas adalah sebanyak RM100,000 manakala anggaran kos pembaikan sebanyak RM5,000.

"Kesemua kos pembaikan akan ditanggung oleh pihak kontraktor," kata Samy Vellu.

-------------------------

Parlimen tempa sejarah...sidang Dewan Rakyat tangguh kerana siling bocor

Dalam sejarah Parlimen Malaysia ia tidak pernah berlaku…apa lagi ruang dalamnya sudah diubahsuai bagaikan hotel lima bintang.Belanjanya mencecah kira-kira RM80 juta.

"Rumah baru pun boleh bocor," kata ahli parlimen Barisan Nasional kawasan Bera,Pahang Datuk Ismail Sabri Yaakob bila berlaku kebocoran pada siling hingga air hujan mencurah masuk dalam ruang sidang Dewan Rakyat Khamis menyebabkan persidangan terpaksa ditangguhkan.

Kebocoran akibat hujan lebat itu mula disedari oleh para ahli parlimen bila secara tiba-tiba pembesar suara di dalam dewan tidak berfungsi ketika Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan Datuk Dr Hilmi Yahya sedang menggulung Rang Undang-Undang Eksais (Pindaan) 2005.

Menurut Ismail walaupun kebocoran merupakan perkara biasa, ia sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku di Parlimen.

Ketua Pembangkang Lim Kit Siang menyifatkan kejadian itu sebagai memalukan kerana ia berlaku di sebuah tempat yang berprestij.

"Kira-kira RM80 juta telah dibelanjakan untuk mengubahsuai Parlimen. Ini tidak pernah berlaku sebelum pengubahsuaian. Selepas membelanjakan RM80 juta, Parlimen mengalami kebocoran, strukturnya tidak selamat bagi anggota Parlimen. Mujur ia tidak roboh dan tidak menyebabkan pilihan raya kecil diadakan," katanya.


Datuk Dr Wee Ka Siang (BN-Ayer Hitam) menyifatkan ketiadaan budaya penyelenggaraan merupakan punca utama kejadian dan menggesa Jawatankuasa Akaun Awam (PAC) agar menjalankan siasatan segera berhubung perkara itu.

"Kita mesti ada budaya penyelenggaraan yang baik. Ini adalah Parlimen, jangan anggap ia hanya sebagai tempat untuk bermesyuarat 70 hari setahun," katanya.

Beliau berkata pengubahsuaian sepatutnya dibuat secara menyeluruh dan bukan hanya mementingkan keindahan tetapi perlu mengutamakan aspek kesesuaian reka bentuknya.

"Saya sangat kecewa dengan keadaan ini. Kita mempunyai anggota Parlimen kelas pertama tetapi saya tidak tahu bagaimana hendak mengkelaskan kemudahannya," katanya.

Kebocoran siling juga berlaku Rabu tetapi keadaannya lebih buruk hari Khamis menyebabkan tempat duduk para menteri juga dipenuhi air.

Disebabkan keadaan itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Lim Si Cheng telah menanguhkan persidangan dewan, yang merupakan hari terakhir bagi sesi ini pada pukul 4 petang sehingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak. Mengikut jadual, persidangan itu sepatutnya ditangguhkan pada 5.30 petang.

Inilah kejadian pertama seumpamanya sejak Dewan Rakyat diubahsuai pada 2003 dengan kos RM80 juta bagi memberi ruang yang lebih selesa kepada anggota Parlimen bersidang.

Pengubahsuaian bangunan Parlimen dibuat bagi menyesuaikan statusnya sebagai institusi penggubal undang-undang negara yang turut menonjolkan persekitaran eksklusif dengan cita rasa moden.

Sementara itu Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Ramli Ngah Talib ketika ditemui pemberita berkata pembaikan telah dilakukan apabila kebocoran itu dikesan semasa hujan lebat Rabu.

"Mungkin bocor di tempat lain pula," katanya.

Beliau berkata kejadian seperti itu tidak pernah berlaku di Parlimen sebelum ini atau di mana-mana Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ramli berkata pihak pentadbiran akan mengambil langkah tertentu bagi membaikinya.

Beliau berkata persidangan pada sesi depan akan berlangsung seperti biasa dan mengikut jadual yang ditetapkan.

Penangguhan itu turut menyebabkan dua rang undang-undang yang sepatutnya diselesaikan hari Khamis terpaksa ditangguh ke persidangan akan datang dan dua usul iaitu mengenai
Myanmar dan isu air bersih di Kelantan yang sepatutnya dibahas hari Khamis tidak dapat dilaksanakan.

Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-11 telah dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail pada 22 Mac lepas.

Sepanjang persidangan itu, tujuh rang undang-undang termasuk Rang Undang-Undang Kawalan Pertukaran Wang (Pindaan) 2005, Rang Undang-Undang Kesalahan-kesalahan Penerbangan (Pindaan) 2005 dan Rang Undang-Undang Angkatan Tentera (Pindaan) 2005.

Empat lagi rang undang-undang yang diluluskan ialah Rang Undang-Undang Pelaburan Kerajaan (Pindaan) 2005, Rang Undang-Undang Konvensyen Senjata Kimia 2005, Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2004 (2005) dan Rang Undang-Undang Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan) 2005.

---------------------------------

Rintihan seorang ahli parlimen…

"Rumah terbakar nampak asapnya, hati terbakar siapa yang tahu," itulah ungkapan yang digunakan anggota Parlimen untuk menggambarkan masalah yang mereka hadapi dalam melayan kerenah rakyat dan ketika berurusan dengan jabatan-jabatan kerajaan.

Muhamed Aziz (BN-Sri Gading) ketika memulakan perbahasan Rang Undang-undang Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan) 2005 bagi membolehkan gaji dan elaun anggota parlimen dinaikkan sebanyak 10 peratus, di Dewan Rakyat Isnin, berkata wakil rakyat mempunyai tugas dan tanggungjawab yang amat berat serta menjadi tempat untuk rakyat mengadu nasib.

Beliau berkata telah menjadi budaya di
Malaysia bahawa wakil rakyat menjadi payung untuk berteduh dan sebagai tempat rakyat mengadu dan memohon pertolongan terutama daripada segi kebajikan.

"Kebanyakan rakyat yang datang mengadu kepada wakil rakyat mereka meminta pertolongan kewangan seperti anak sakit, anak nak sekolah, kematian, bersunat dan kahwin.

"
Ada tu yang nak buat hantaran wang kahwin tak cukup pun datang mengadu dan meminta wakil rakyat membantu. Wakil rakyat kerja tujuh hari seminggu, 24 jam sehari, tak ada cuti dan tak ada overtime," katanya.

Sambil berterima kasih kepada kerajaan kerana menyedari beban yang dipikul wakil rakyat, beliau berkata walaupun kenaikan itu tidak dapat menampung keperluan sebenar wakil rakyat, "tetapi ibarat kata orang tua-tua tak ada cempedak, nangka pun berguna".

Oleh yang demikian beliau memohon masyarakat tidak mempertikaikan kenaikan tersebut kerana ia masih rendah jika dibandingkan dengan gaji yang diterima oleh anggota Parlimen daripada beberapa negara lain seperti Australia, New Zealand, Filipina dan Singapura

"Gaji wakil rakyat Malaysia hanya RM5,919 tetapi mempunyai beban tugas yang banyak, semua masalah rakyat perlu diambil tahu, oleh itu jangan pertikaikan kenaikan 10 peratus ini kerana ia masih rendah," katanya.

Katanya ada di kalangan masyarakat yang masih tidak boleh menerima kenaikan 10 peratus gaji anggota Parlimen dan wujud pula persepsi yang salah daripada masyarakat terhadap tugas yang dipikul oleh mereka.

"
Ada orang kata...engkau dah suka nak jadi wakil rakyat rasalah. Dalam hal ini wakil rakyat menerima kenyataan itu ibarat menangis dalam senyum," katanya.

Pada masa yang sama beliau yakin pihak media akan membuat laporan yang adil berkenaan rintihan anggota Parlimen dan beban tugas yang menjadi tanggungjawab mereka dalam memastikan rakyat mendapat kemudahan yang sepatutnya demi kehidupan yang selesa.

"Akhbar telah war-warkan isu ini dan sudah menjadi tanggungjawab akhbar untuk menyiarkan luahan wakil-wakil rakyat pula," katanya.

Selain itu beliau turut menyentuh isu Kad Keahlian Parlimen yang dimiliki setiap anggota Parlimen tetapi tidak mendapat pengiktirafan mana-mana agensi atau jabatan kerajaan.

"Kalau ada kad tapi tak boleh nak digunakan. Orang lain tak boleh nak ikhtiraf kita buat apa, buang sajalah," katanya.

Katanya walaupun pahit kenyataan yang harus diterima namun bukan semua orang boleh jadi wakil rakyat kerana hanya individu yang benar-benar layak sahaja yang akan berjuang dan membela nasib rakyat.

"Oleh itu masyarakat jangan sinis kerana setiap wakil rakyat ada kepentingan dalam parti untuk membentuk sebuah kerajaan," katanya.

----------------------

tu nasihat ayah saya…bukan ahli parlimen bodoh - Nazri

Ahli parlimen bodoh?...siapa yang tak melompat jika benar mereka dituduh begitu.Selepas Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional,Datuk Shahrir Samad Ahad mempersoalkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz,Isnin isu ini berbangkit dalam siding Dewan Rakyat.

Soalan ini dibangkitkan oleh ahli parlimen BN kawasan Kemaman Ahmad Shabery Cheek yang ingin tahu apakah penanda aras dari segi mutu kerja dan nisbah kakitangan berbanding anggota-anggota Parlimen bagi mengatasi apa yang disebut masalah ahli Parlimen bodoh.

Nazri yang menjawab soalan berkenaan menjelaskan kenyataannya mengenai hal bodoh itu telah disalah petik oleh para wartawan yang menemuinya selepas satu acara di Ipoh Sabtu.

Beliau menjelaskan apa yang dimaksudkannya ketika merujuk mengenai kontroversi tulisan wartawan NST yang mempersoalkan mutu perbahasan ahli parlimen ialah nasihat ayahnya sewaktu beliau masih kecil.


"Semasa saya kecil dahulu, bapa saya telah berpesan kepada saya iaitu jika tidak tahu tentang sesuatu hal adalah lebih baik kita diam daripada dianggap bodoh oleh orang lain. Lebih baik daripada kita suarakan dan orang mengatakan kita memang bodoh.

"Tidak mungkin saya mengatakan ahli parlimen saya sendiri bodoh kerana saya yang menjaga ahli-ahli parlimen," katanya.

Shahrir ketika diminta mengulas mengenai mengenainya Ahad berkata kenyataan Mohamed Nazri merupakan sesuatu yang tidak betul.

----------------------------------

Debat mutu perbahasan:'Penghulu' Parlimen bersuara...

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz Sabtu menyifatkan para ahli parlimen yang tidak sanggup dikritik bolehlah dianggap sebagai ketinggalan zaman.

Katanya ahli parlimen mesti berhati-hati apabila bercakap dan memikirkan bahawa mereka sentiasa dinilai oleh masyarakat.

"Kalau tiada isu jangan hentam sahaja. Lebih baik diam dan biar orang kata bodoh daripada kita bercakap dan orang sahkan kita bodoh," katanya.

Nazri yang merupakan menteri yang bertanggongjawab atas urusan parlimen mengingatkan ahli parlimen hanya mengundang kritikan apabila membangkitkan perkara-perkara "bodoh" dan tidak relevan pada persidangan Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita apabila diminta mengulas kontroversi yang tercetus antara beberapa anggota Parlimen dan seorang editor sebuah akhbar harian yang menerusi kolumnya mempersoalkan mutu perbahasan mereka di Parlimen.

Nazri ditemui wartawan selepas merasmikan mesyuarat agung Dewan Perniagaan Melayu Perak di Ipoh Sabtu.

Beliau memberi contoh mengenai ahli parlimen bercakap mengenai isu-isu seperti uniform kakitangan MAS ketat, mahu kerajaan berikan dadah percuma kepada penagih Menurutnya mereka perlu terima jika dikritik.

Kata Nazri ahli parlimen perlu membuat persediaan sebelum berucap dan berbahas
“Janganlah cakap sesuatu yang tidak relevan, kerana kalau kena kritik, itu adalah permintaan mereka sendiri.


Beliau berkata mereka yang tidak sanggup dikritik bolehlah dianggap sebagai anggota Parlimen yang ketinggalan zaman.

"Masyarakat boleh nilai kita...masyarakat sudah maju ke depan dan kita (anggota Parlimen yang tidak sanggup dikritik) masih berada di tahap lama. Ini pandangan saya," katanya.

Mohamed Nazri berkata walaupun mungkin satu atau dua sahaja anggota Parlimen seperti itu atau dalam kategori yang "nipis telinga" tetapi masyarakat akan nampak yang tidak baik itu.

"Kita sebagai anggota Parlimen, kadang-kadang kita bangkit hal orang lain dan orang itu tidak ada kesempatan bela diri...bila orang (akhbar) tulis tentang kita, jangan kita nak marah," katanya.

"Kita amalkan demokrasi, kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar... Perkara baik yang dibangkitkan pun bukan semua akan bersetuju. Ambil kritikan itu sebagai sesuatu yang positif, teliti dan gunakannya untuk membaiki diri," katanya.

Apabila ditanya sama ada keputusan kerajaan menyediakan pegawai-pegawai penyelidik bagi anggota-anggota Parlimen akan meningkatkan mutu perbahasan, Mohamed Nazri berkata bantuan seperti itu juga tidak bermakna jika anggota-anggota Parlimen sendiri tidak memperbaiki diri sendiri.

Katanya keadaan itu tidak akan berubah jika masih ada yang tidak berhati-hati apabila bercakap dan tidak memikirkan bahawa mereka sentiasa dinilai oleh masyarakat.

"Kalau tiada isu jangan hentam sahaja. Lebih baik diam dan biar orang kata bodoh daripada kita bercakap (perkara tidak relevan) dan orang sahkan kita bodoh," katanya.

Mengulas tentang komen editor akhbar berkenaan, Mohamed Nazri berkata beliau menganggapnya sebagai kritikan yang adil dan anggota-anggota Parlimen sama ada pembangkang atau penyokong kerajaan perlu menerimanya sebagai kritikan membina.

Mengenai cadangan Ketua Pembangkang Lim Kit Siang supaya editor akhbar itu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen, beliau berkata perkara itu tidak berbangkit kerana editor itu bukan seorang anggota Parlimen.



Printable Version | Email to a Friend

Agenda Daily: Real News For New People


 
 

Copyright © 2004-2009 Agenda Daily Dot Com.
While we make every effort to ensure the accuracy and completeness of the information contained in AgendaDaily,
no representation expressed or implied is made in respect of the said information.
This site is developed and maintained by Agenda Daily Dot Com.

Powered by tmsPUBLISHER-e.