Mengenali AgendaDaily.com | Hubungi Kami | Maklum Balas Fri, 03 September 2010 |





 Selamat Datang, Pelawat
  Agenda Daily Laman Web
LAMAN UTAMA
Johor
Kedah
Kelantan
Negeri Sembilan
Pahang
Penang
Perak
Perlis
Sabah
Sarawak
Terengganu

Ruangan
- INI ALAMAT KAMI
- BERITA UTAMA
- A Kadir Jasin -Other Thots
- Raduan Taib - Direct to The Point
- Syed Hussein Al Attas
- Badrul Hisham Abdul Aziz - WADTK
- Norzah - Baca jangan tak baca
- Jamelah Bakar - Pena Rakyat
- Noor Hasilah - Apo kono Eh Jang
- Sembang Kawan-Kawan
- SEJENAK BERSAMA
- CATATAN PERJALANAN AGENDADAILY
- EDISI KHAS AGENDADAILY



agendadaily@gmail.com

Laman khas himpunan interbiu Agendadaily - SILA KLIK

Puncanya…Wan Azizah


Video lucah hantui Shahanim,Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia

Kena gugur Timbalan Menteri : Akhirnya Idris Haron ‘buka cerita’


Puteri UMNO kalau tak agresif…baik tutup kedai - Azalina

Ali Rustam tak pandang belakang…


Khairy:Menjawab persepsi sebagai Ketua Pemuda UMNO yang 'tak settle'

Saya tidak boleh berfungsi macam Samy Vellu...


Sejenak bersama Yang DiPertua Dewan Negara…

Keluh kesah Presiden BAM...urus syarikat lebih mudah

Susah senang jadi ' referee' di Dewan Rakyat

Dalam persaingan politik… tidak ada naib juara….


Masalah jadi orang Nombor 2




Agenda Daily: Datuk Azeez:Jutawan kereta terpakai nak ' jual ubat ' jayakan Putera UMNO

Datuk Azeez:Jutawan kereta terpakai nak ' jual ubat ' jayakan Putera UMNO

Oleh: ROSLI ISMAIL DAN LUKMAN ABDULLAH

Ketua Pemuda UMNO Malaysia Datuk Hishamuddin Tun Hussein telah membuat pilihan yang tepat ketika menepuk bahu Datuk Azeez Abdul Rahim sebelum sembahyang maghrib di Masjid Sungai Duyung Melaka pada bulan puasa lalu.Di situlah keputusan dibuat menyerahkan Biro Putera UMNO kepada Azeez yang baru kali pertama menang jawatan exco pergerakan itu pada pemilihan bulan September lalu.Menariknya ia tidakpun dibincangkan dalam mesyuarat formal.Hishamuddin mungkin buat keputusan itu kerana beliau sudah nampak perwatakan Azeez yang boleh jadi ‘Jeneral’ kepada anak-anak muda yang berusia antara 19 hingga 25 tahun.Dari perbualan dengannya dan melihat caranya kita boleh lihat beliau ada bakat sebagai salesman dan pemerintah yang commanding .Lagipun latar belakang Azeez cukup menarik dan boleh dijadikan contoh dan teladan kepada setiap anak muda.Ini kerana jayaannya yang menakjubkan dalam usia yang muda sekali.Anak keluarga miskin dari kampong setinggan di Kampong Medan dekat Petaling Jaya ini mula berniaga jual kereta terpakai ‘berpejabat’ di sebuah meja kecil tepi sebuah stesyen minyak di Petaling Jaya pada usia 18 tahun dan berjaya jadi jutawan pada usia 21 tahun.Azeez tidak segan memberitahu sebelum bergiat dalam pergerakan Pemuda beliau buta huruf langsung soal politik.Malah lepas menang jawatan exco Pemuda Azeez terkejut bila tiba-tiba ramai yang datang menawarkannya jawatan pengarah-pengarah syarikat untuk jadikan beliau sebagai connection .Semuanya ditolaknya.Katanya beliau sendiri berjaya dalam perniagaan tanpa mengunakan satupun cable politik.

Berikut ialah transkrip penuh interbiu Agendadaily dengan Datuk Azeez:



AGENDADAILY : Bagaimanakah Datuk mula berkecimpung dengan UMNO?

AZEEZ : Saya dibesarkan dan menetap dekat Kuala Lumpur, saya kenal dan baik dengan Allahyarham Datuk Zainol Md. Isa (,bekas Ketua UMNO Bahagian Baling).Beliau lantik saya jadi Bendahari Belia 4B negeri Kedah pada tahun 1998. Tahun 1999 saya ikut Datuk Nol balik ke Baling semasa itu beliau Ahli Dewan Undangan Negeri Bayu, setelah saya lihat keadaan di Baling, saya ada minat nak tolong Baling. Saya jumpa Datuk Nol dan itulah mulanya saya terlibat dengan orang politik dan belia 4B.

Sebelum itu, 1997 sebuah sekolah pondok di Lanai, Baling terbakar.Sebanyak dua kali saya pergi membantu dan belajar mengaji di situ.Saya dah berulang alik Kuala Lumpur-Baling, semasa itu tidak ada kena mengena dengan orang politik.

Pada tahun 2000 adalah pemilihan UMNO, Datuk Nol menang jawatan Ketua UMNO Bahagian Baling mengalahkan Allahyarham Datuk Raja Ariffin (bekas timbalan menteri dan ahli Parlimen Baling).Tidak lama lepas itu Datuk Nol kena gantung jadi tinggal jawatan wakil rakyat beliau pegang.

Datuk Nol minta pemimpin Pemuda UMNO bahagian lantik saya sebagai Bendahari Pemuda bahagian.Dalam masa yang sama Datuk Nol adalah Pengerusi belia 4B Baling, beliau lantik saya sebagai Timbalan Pengerusi Belia 4B Baling kemudian Pengerusi Gerak Korporat Belia 4B negeri Kedah.

Itulah saya memulakan perjalanan hidup sebagai pemimpin masyarakat.Waktu itu saya berusaha dekati semua 64 imam-imam masjid seluruh Baling. Saya wujudkan Jawatankuasa Kecil Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bertujuan meningkat minat belajar dan kelas untuk membolehkan pelajar-pelajar sekolah rendah boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Saya juga tawarkan basikal kepada pelajar yang dapat 5A. Hasilnya daripada 70 pelajar dapat 5A, sekarang sudah menjangkau 300 orang setahun.




AGENDADAILY : Bolehkah Datuk jelaskan, rentetan kehidupan Datuk sebagai ahli perniagaan hingga terlibat dalam politik, bagaimana Datuk berusaha.

AZEEZ : Kehadiran saya dalam politik ialah saya berniaga dulu, setelah berjaya barulah sertai politik. Saya bermula dengan berniaga kereta.Syarikat saya jual kereta (FD Auto di Kelana Jaya)… kalau nak tahu sekarang tapak pasaraya besar Gaint di Kelana Jaya itu adalah tapak ‘showroom’ kedai kereta saya.

Saya mula berniaga dari umur 18 tahun (1989), saya pun ada naik turun dan jatuh bangun tergolek segala macam, senang bukan datang bergolek.

Kemudian saya beli syarikat Almarhum Sultan Selangor iaitu syarikat Wilayah Arm, setelah maju dalam berniaga, saya mula memberi bantuan kepada mereka yang tidak bernasib baik, pada rumah anak yatim, badan kebajikan, sekolah agama, sekolah anak yatim, Belia 4B, Pandu Puteri… sejak dulu lagi saya memberi sumbangan dan bantuan, kemudian saya sambung belajar, saya buat Masters di sebuah Universiti di Amerika.

Melalui sijil SPM dan perniagaan yang berjaya saya ‘qualified’ dengan praktikal, mereka terima saya untuk buat ‘Masters’. Dalam masa setahun, setiap malam saya beri tumpuan pada pelajaran saya.

Sekolah rendah saya ialah Bukit Bintang Boys School kemudian sekolah menengah pun sama juga.

Kita lihatlah takdir Allah, pada suatu hari ada beberapa orang ustaz datang ke rumah saya.Kata mereka ada orang suruh datang rumah saya, kerana dia tu berniaga kereta dan mewah, pergilah minta bantuan dengannya.Rupanya sekolah pondok di Baling terbakar, saya berilah mereka makan minum kemudian sumbangkan RM500 dan saya suruh mereka tinggalkan alamat sebelum balik dan saya beritahu akan datang ke sana.

Seminggu lepas itu saya pergi ke sana, saya belanjakan RM200,000 untuk buat semula sekolah itu, sedangkan saya tak tahu mereka itu orang PAS ke atau orang apa pun, saya tahu sekolah pondok, saya tengok budak-budak Melayu. Saya mana tahu PAS ke atau apa ke…

Saya memang naif dalam politik pada masa itu, saya bersyukur kepada Allah kerana buka hati saya salah seorang hambanya di dunia ini untuk bersedekah, saya pergilah tolong orang sana sini di Baling, tak kira PAS ke atau mana pihak sekali pun.

Saya tak tahu juga rupanya cara saya tu telah menimbulkan rasa resah dikalangan orang politik UMNO Baling.Saya orang lurus bendul dan Datuk Nol pula tak beritahu apa-apa, saya minta jadi ahli UMNO di Baling pun pada awalnya payah…

Saya sekarang Ketua UMNO Cawangan Ceruk Cincin Baling. Saya tidak tahu suasana dalaman UMNO, ada orang kata saya macam-macam, kononnya ada orang kaya datang dari Kauala Lumpur dengan kereta mewah, entah perompak mana, geng mamak… saya tak tahu orang dok bercerita, mereka wujudkan suasana takut…Alhamdulillah dengan kuasaNya, adanya ‘grasroot’, pak-pak imam dan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK) cukup sayang pada saya.

Saya tak pernah cerita pasal politik, malah saya tak tahu pun. Datuk Nol suruh saya duduk sebagai bendahari Pemuda adalah nak bantu Pemuda buat program, akhirnya saya dipecat sebagai bendahari kerana Ketua Pemuda takut dengan saya…padahal saya tak tahu apa pun.

Semasa itu Ketua Pemuda UMNO bahagian Baling, Harun Keda bertindak pecat saya, kecohlah sehingga ada yang nak bertumbuk kerana nak pertahankan saya, semasa itulah Datuk Aziz Sheikh Fadzir selaku Ketua Pemuda UMNO Kedah masuk campur, dan saya dilantik semula sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK)

Pada masa itu, saya hanya kenal Datuk Aziz sebagai Ketua Pemuda Kedah saja… taklah rapat sangat kerana dia bukannya ada kena mengena dengan bahagian Baling.

Pemilihan tahun 2004, Harun selaku penyandang akan pertahankan jawatan,Naib Ketua Pemuda pun nak tanding juga dan pengarah Rela negeri pun nak juga.. saya masih tidak mahu buat keputusan.

Satu hari, Ketua pemuda bahagian (incumbent), bendahari, setiausaha dan ajk pemuda UMNO bahagian datang ke pejabat di Kuala Lumpur… minta saya bertanding.

Saya kata, tak nak. Hari sudah petang, hampir pukul 6, mereka kata, kita tak akan balik selagi saya tak buat keputusan.

Saya beritahu tak dapat buat keputusan juga tapi saya suruh mereka tinggal semalaman di sebuah hotel, saya nak balik rumah sembahyang Maghrib kemudian saya akan tanya mak samada izinkan bertanding atau tidak… selepas itu baru saya datang jumpa untuk beri keputusan.

Setelah beritahu mak saya tentang situasi orang di Baling, mak saya pun tahu bahawa saya sebelum ini pun telah banyak membantu masyarakat di sana dan mendengar pandangan serta nasihatnya… mak saya kata dia izin dan restu.

Saya pun pergi ke Kampung Baru, beli nasi lemak 50 bungkus bawa ke hotel…sebab mereka pun tak makan lagi kerana tunggu saya. Di situlah saya umumkan bertanding dan ketika itu juga Harun umum tarik diri. Harun minta saya tolong untuk tanding AJK bahagian dan perwakilan (G7) tujuh orang untuk ke Perhimpunan Agung UMNO … saya kata kita akan usahakan, akhirnya dia dapat AJK dan G7 nombor satu.

Sebenarnya sebelum ini, di Baling orangramai keliru antara Aziz Sheikh Fadzil dan Azeez Rahim. Orang jumpa Aziz Sheikh Fadzil, ucap terima kasih dan macam-macam pada dia kerana tolong mereka…tapi dia telefon saya bagi tahu… saya kata tak apalah.

Saya syukur pada Allah kerana apa yang saya buat telah direstui, pemimpin seperti Pak Lah, Datuk Najib dan Hishammuddin pun dah tahu apa yang saya buat.

Saya ada rumah di Baling, pada satu petang datang Rahim (pengarah Rela), ketika itu nak sembahyang, saya minta dia jadi imam, lepas sembahyang dia beritahu tidak jadi bertanding jawatan ketua pemuda.

Rakan-rakan yang lain jumpa dengan saudara Taufik, naib ketua pemuda yang ingin menawarkan diri, minta beliau tarik diri tapi dia beri alasan kawan-kawan suruh bertanding, anak jati Baling, anak tok guru, bapa beliau kawan baik Pak Lah dan macam-macam lagi…dia nak teruskan juga.

Maka lawanlah, saya menang dengan majoriti 160 undi dari 800 lebih perwakilan. Taufik kalah, saya umum lantik sebagai bendahari, naib yang kalah saya lantik AJK Pemuda…kerana saya mahukan perpaduan.

Dua hari kemudian, dia pergi ‘report’ mengatakan saya rasuah… saya kena panggil oleh Jawatankuasa Disiplin…

Semasa itu saya tak tahu lagi bahawa pencalonan untuk tanding exco pemuda cuma lepas ‘nyawa ikan’, saya tak tahu nak kena ‘suspend’. Dapat surat, Baling kena mesyuarat lagi sekali lagi…ketua bahagian pergi jumpa dengan Tan Sri Zaki,ahli jawatankuasa Lembaga Disiplin UMNO … setelah buat pertanyaan, dapat tahu bahawa Taufik yang buat ‘report’, setelah buat ‘double check’ budak yang kata saya bagi RM30 pun saya tak kenal, rupanya cawangan Taufik sendiri.

Mesyuarat pemuda dibatal, mesyuarat bahagian tidak jadi masalah.
Semasa pilihan raya kecil Kuala Berang…di situlah, saya jumpa dengan Tan Sri Zaki dan beliau jelaskan semuanya telah beres. Saya cuma ada masa dua minggu dan 26 bahagian lagi belum bermesyuarat, setelah minta tolong dengan kawan-kawan, dapatlah 22 pencalonan.

Saya pusing satu Malaysia dan bercerita tentang siapa saya pada kawan-kawan dan sahabat handai, dapatlah nombor 10. Saya masuk dengan tidak kenal sesiapa pun dalam pemuda UMNO kecuali Datuk Rauf..sebab beliau kaki motor dengan saya dulu.

Saya ingin beritahu bahawa kerana kelaziman, kebiasaan dan amalan bersedekah maka dengan sendirinya saya telah membuat keputusan untuk memberi sedekah 15 buah basikal pada 191 bahagian UMNO seluruh Malaysia… saya guna duit saya sendiri.

Baju sekolah, kasut dan beg sekolah saya telah agihkan hampir 30 ribu set. Sekarang dalam proses menyampaikan basikal berkenaan.



AGENDADAILY : Ramai yang tertanya bagaimana Datuk dilantik sebagai Pengerusi Biro dengan Putera UMNO, apakah Datuk yang tawar diri ?

AZEEZ : Ceritanya begini .Ia berlaku di Masjid Sungai Duyung Melaka selepas majlis penyerahan basikal pada bulan puasa lalu.Saya bagi basikal 60 buah. Selepas majlis bagi basikal, saya pun pergi ambil wuduk kerana sembahyang Maghrib.

Tiba-tiba Datuk Seri Hishamuddin tepuk belakang saya, “ I want ask you something Zeez ” katanya.Saya kata, “apa dia bos”.Kata Hisham, “Hang jadi pengerusi Putera, nak?” Saya kata, “Putera!..” Hisham kata, “kau saja boleh… kau boleh turun ke bawah join buda-budak muda…”

Saya kata, “OK bos…”

Hisham terus sambut, “Alhamdulillah… selesai masalah aku… aku dok pening apa yang aku nak bagi kat hang, takut tak hang nak”

Selesai sembahyang Maghrib, disebelah saya ada Ketua Pemuda Gerik, eloklah sangat dia Gerik dan saya Baling, saya offer dia jawatan timbalan pengerusi biro Putera UMNO.

Masa itu juga saya bawa jumpa Datuk Hisham dan beritahu saya nak lantik Azizi sebagai timbalan, Datuk Hisham setuju dan dilantik sebagai exco kerana masa bertanding dia kalah.

Saya mulakan tanggungjawab dengan buat berbagai persediaan .Saya juga duduk berbincang dengan Datuk Hisham sendiri.

Saya buat sesuatu untuk kebaikan Pemuda.Saya juga dikenali dengan brutal, mulut saya lazer sikit…tapi saya tidak ada niat tidak baik, semuanya untuk kebaikkan, kalau kawan baik saya buat salah, saya tegur…

Sesuatu yang salah tetap saya kata salah, haram tetap haram… halal tetap halal…prinsip saya jelas, saya tidak mahu kerana kawan…saya nak pusing cakap, itu saya tak mahu! Bagi saya apa mak cakap adalah benar belaka.

Saya mulakan kerja… hingga kini belum lagi saya jumpa menteri sana sini minta projek atau jumpa orang itu minta projek, Allah bagi apa ada dulu, saya gunakan…contohnya, saya ada RM10, saya akan bagi anak isteri saya RM1 dan mak saya RM1…baki RM8, saya labur untuk tolong orang.

Tak kiralah siapa, adik beradik ke, saudara dekat jauh ke, saudara bau bacang atau tak bau bacang ke…semuanya saya bantu. Bukan saya tapi Allah buka pintu hati saya untuk berbuat demikian. Saya masuk kampung ke atau ke mana saja…perkara sedekah jaiah ini bukannya boleh dibuat-buat tapi ianya sudah menjadi semula jadi saya…dah jadi darah daging saya.



AGENDADAILY : Datuk mengambil sikap yang berani dan dermawan kerana menggunakan hasil titik peluh untuk berbakti pada anak bangsa sedangkan, ada pihak lain yang menganggap inilah peluang untuk mengaut keuntungan dan rata-rata orang bercakap soal ‘masuk UMNO boleh buat kekayaan’, sampai bila Datuk boleh meneruskan cara sebegini?

AZEEZ : Macam ni, lihat bagaimana kita landing.. saya landing dalam keadaan yang naif...saya landing dalam keadaan tidak tahu yang UMNO ni boleh buat projek, kalau saya tahu, mungkin dulu saya dah masuk UMNO lepas minta projek, minta AP, minta itu dan ini…saya pun tak tahu. Saya masuk ini, betul-betul naif dan tak tahu yang adanya orang kuat dalam UMNO buat kekayaan, dapat projek…memang saya tak tahu.

Saya tak tahu maka nak komen hal masuk UMNO boleh jadi kaya ni agak payahlah sikit. Persepsi orang mengenai masuk UMNO boleh buat kekayaan, saya tidak bleh komen kerana dalam diri saya tidak tahu hal begitu. Saya ni ‘fii sabilillah’…kerana Allah. Saya tahu keluar pagi pergi ‘showroom’ jual kereta, ada untung dan ada orang datang minta tolong, saya tolong..itu sajalah.

Saya tak tahu rupanya jadi pemimpin, akan ada ramai orang datang minta tolong, sedangkan semasa saya berniaga jual kereta dulu, orang datang dengan macam-macam masalah, anak sekolah tak ada duit…saya hanya berniaga kereta tapi disebaliknya pelbagai orang datang minta tolong, ada tok imam, pihak masjid..boleh dikatakan seluruh negara datang minta tolong, saya bantu.

Tapi satu, saya tak bayar zakat melalui Baitulmal, itu saya tak buat, saya bayar zakat dengan cara saya sendiri, saya kenal dan pergi tengok, saya bantu…itu saya dengan Allah. ‘Income tax’ saya bayar tapi saya tak pernah ‘declare’ yang saya bagi orang tu, orang ni…

Dari dulu macam ni lah saya, hari ini saya tidak tahu masa depan politik macamana, saya hanya fikir Allah bagi saya rezeki dan saya bantu orang. Alhamdulillah, setakat ini rezeki saya tak pernah putus.



AGENDADAILY : Bolehkah Datuk kongsi sedikit cerita bagaimana Datuk mula berjaya dan kaya.

AZEEZ : Saya mula berjaya pada umur 21 tahun, masa tu dah boleh dikatakan ‘millionaire’. Saya berjaya jual 220 buah kereta pada ‘mat salleh’ yang baru datang Malaysia kerana pada ketika itu ITM (sekarang UiTM) ada satu matrikulasi dengan Amerika… siapa yang hendak ke Amerika kena belajar di sini dulu selama dua tahun.

Saya jual kereta pada semua pensyarah ‘mat salleh’.. mereka mahu kereta besar-besar, kita kat sini kereta besar murah, pelbagai jenis yang besar…kereta dari Jepun, beli murah, saya jual dengan harga baik.

Semasa berniaga saya mempunyai sikap nak tolong orang, sampailah hari ini, Allah masih sayangkan saya dan rezeki saya tak putus, saya tak kaya sangat, tak miskin sangat…sedang-sedang saja.

Setakat saya tak fikir nak pergi cari projek.. adalah berniaga yang saya buat untuk sara hidup, saya belanja untuk gaji budak-budak di Baling.Di sana ada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu Parlimen, DUN Bayu, Kuala Ketil dan Kupang.

Saya ada pegawai yang diberi gaji, sebuah kereta dan ’handphone’, saya ada pejabat, ada program dan setiap kematian kita akan ambil barang seperti gula, kopi, biskut dan macam-macam untuk diberikan pada keluarga berkenaan.

Saya hanya ada modal air liur saja. Tahu macamana modal air liur, contoh abang nak jual kereta, tapi abang sibuk kerja, tak ada masa, saya bincang dan minta salinan geran kereta, semasa itu akhbar Malay Mail hangat ada iklan jual kereta.

Di Jalan 222 Petaling Jaya, ada sebuah stesen minyak Shell, tuanpunya adalah bapa angkat saya, dulu selepas balik sekolah petang, saya singgah kerja dengan dia, tolong isi minyak. Dia seorang pesara tentera, namanya, Kapten Zainuddin, orang Kuala Pilah, saya minta kebenaran untuk letak satu meja dan talian telefon sendiri untuk berniaga, dia izinkan tapi sambil-sambil tolong isikan minyak.

Setelah buat iklan, orang telefon nak tengok kereta. Saya pergi jumpa tuanpunya kereta minta diletakkan kereta di stesen minyak kerana ada orang nak tengok kereta. Saya cuci bersih kereta sendiri, orang telefon, saya suruh datang terus dan dapat jual, dapatlah untung satu kereta tiga hingga empat ratus.

Ada duit sikit, saya beli kereta sendiri, kereta pertama Mazda 929 yang besar, saya bayar RM2 ribu kemudian pinjam bank guna nama abang saya, dulu saya ambil kereta pagi di pulangkan sebelah petang tapi sekarang tak payah kerana saya bagi guna kereta saya, saya boleh simpan kereta yang hendak dijual dua tiga hari.

Dalam masa setahun, saya sudah ada 10 buah kereta saya sendiri, itulah mulanya saya berjaya sehinggalah saya dapat jual kereta pada ‘mat salleh’ dan saya ada 7 showroom . Saya ada di tapak Gaint Kelana Jaya sekarang, jalan Kelang Lama dan dalam Subang Parade, itu ada jual kereta mewah. Sekarang semuanya saya serahkan pada abang dan adik untuk menguruskan.

Itulah tentang kehidupan, sebenarnya saya tidak tahu soal projek, macam kata orang, masuk UMNO boleh senang dan dapat projek. Yang saya tahu bila jadi Exco Pemuda UMNO berbagai orang datang untuk lantik saya jadi pengarah sana sini dengan tawaran gaji puluh ribu… saya hairan jadi pengarah apa pula…saya hanya jawab tak boleh kerana tak ada masa.

Selepas saya berniaga, saya dah tahu undang-undang dan macamana berniaga, itu kerja saya, sekarang ini saya nak mendidik seribu insan yang bernama Putera UMNO.



AGENDADAILY : Bagaimana Datuk menerima Putera UMNO ?

AZEEZ : Umpama orang mengantuk disorongkan bantal. Saya adalah exco Majlis Belia Malaysia (MBM) dibawah Datuk Seri Khir Toyo… saya suka sangat untuk memimpin anak-anak muda kerana saya nak menceritakan pada mereka bahawa saya ini adalah contoh… mungkin Datuk Che Khalib (CEO TNB) adalah contoh, orang muda-muda yang datang dari keluarga susah, saya nak ketengahkan supaya dapat menceritakan pada anak-anak muda Melayu.

Putera, apabila diberikan, saya cukup suka kerana boleh cerita… abang ni adalah penghulu rumah setinggan… saya duduk di Kampung Medan, tahun 1970 hingga 1982, kemudian dipindahkan ke rumah panjang batu 10 dekat Motorola. Kemudian balik semula ke Kampung Medan, di situlah saya mula berjaya.



AGENDADAILY : Ke mana matlamat Datuk nak bawa Putera?

AZEEZ : Pendekatan saya adalah dunia dan akhirat… maknanya saya akan mendekati minda anak muda, mendekati gejala sosial mereka seperti lepak, lumba haram, dadah dan segala macam…saya nak cuci dengan ‘dettol’.

Lepas itu saya akan bahagikan mengikut minat masing-masing, mana satu minat kerja, masuk vokesyonal, walaupun SPM dah kantoi … ini pendekatan saya, nak tengok dah bersih, saya akan usahakan dengan pinjaman untuk berniaga, hantar mereka untuk pergi kursus, berikan pinjaman buka bengkel motorsikal… yang minat pertanian kita akan usahakan untuk mereka pergi kursus…saya nak tolong mereka.

Bagi yang minat bekerja, sekiranya ada kilang besar, TNB dan Telekom memerlukan pekerja, kita akan usahakan dengan membawa anak muda ini pergi kursus dulu sebelum pergi ‘interview’. Ini saya akan buat dari akar umbi ke peringkat bahagian. Saya ‘fulltime’, nak buktikan ada exco Pemuda diantara yang ramai-ramai tu… ada masa untuk mereka.

Saya akan kenal pasti isu dan masalah semasa, saya ni umpama ‘feeder’, dimana saya akan salurkan permasalahan anak muda ini mengikut bidang, samada ekonomi, pertanian, dadah dan sebagainya.

Saya perlu beritahu pada golongan muda tentang pentingnya mereka pada negara, macam saya dulu, naif tak tahu apa, golongan muda ini pun tidak tahu mereka itu penting, mustahak, pemangkin, pelapis dan bakal pemimpin pada tahun 2020 nanti.

Hari ini mereka tak tahu… mungkin sekarang mereka lepak di Komplek Pertama, Bukit Bintang Plaza, main snuker…inilah yang bakal jadi pemimpin, jadi menteri…dia tak tahu, saya nak pendekatan ini di bawah turun ke bawah, jumpa dan bercakap dengan mereka. Tanya mereka, apa yang diminati, kalau lumba haram, kita kata jangan…kita nasihat, dulu kalau berlumba dengan polis, antara dua mesti akan mati berlanggar.

Kita akan jumpa dengan polis minta tutup Jalan Tuanku Abd.Rahman untuk tiga jam, polis jaga keselamatan, orang nak menonton biarlah, lumba tapi pastikan ada lesen, pastikan kasut yang sesuai ada, roadtax, insuran, gunakan kemahiran dan kecekapan…mungkin ada Petronas, Shell atau mana-mana yang nak taja dan jadikan pelumba mereka.

Saya nak beritahu bahawa lumba haram lebih teruk dari ketagihan dari hisap dadah. Dadah, kalau sehari tak hisap, paling kuat pun dia akan curi duit, curi kasut…ianya tidak memudaratkan nyawa insan lain kecuali dirinya sendiri. Tapi lumba haram, kalau dah ketagih, dia jadi pemandu ajak kawan rumah sebelah, jom ikut aku…’start’ motor, tekan minyak lebih sikit, hilang kawalan…berlanggar, kawan yang duduk belakang hanya pakai selipar saja jadi mangsa, mati.

Kebanyakkan kes langgar motorsikal, penunggang selamat tapi pemboncengnya, maut. Pelumba haram ini juga seringkali kita tengok dia langgar tiang lampu, bas stop, polis sedang buat roadblock . Ada kejadian, polis kena langgar…mati, anak ada enam orang, siapa nak tanggung, ini menyusahkan dan lumba haram ini adalah paling teruk.

Ianya lebih teruk dari najis dadah…ini pandangan peribadi saya.Dalam konsep Putera UMNO, produk utama saya adalah Kelab Motorsikal Putera UMNO. Saya akan tubuhkan kelab diperingkat bahagian, secara tak langsung Putera UMNO akan jadi popular dan dikenali dikalangan muda berumur 18 hingga 25 tahun.

Dulu kita ada pemuda gerak gempur, pakai bush jaket hitam, botak kepala macam samseng…tak mahu lagi. Kita tidak mahu politikkan Putera UMNO, kita nak didik mereka ini sehingga berumur 25 tahun, masa itu mereka sudah sedar dan tahu nak jadi pemimpin. Mereka perlu diberi pendedahan awal menjadi pemimpin, kena bermula dari memimpin pemuda cawangan, jawatankuasa pemuda bahagian, bila sampai umur 30 tahun cuba tanding naib ketua pemuda UMNO bahagian atau ketua pemuda, kemudian umur 35 tahun boleh jadi exco pemuda, barulah kita dapat pelapis, pemimpin yang akan memangkin yang dipanggil ‘Melayu unggul’.



AGENDADAILY : Kita melihat rata-rata anak Melayu sekarang seperti hilang semangat dan jiwa terhadap UMNO, apakah caranya Datuk hendak memupuk semangat, terapkan semangat UMNO pada generasi muda ini?

AZEEZ : Lihatlah pada lambang Putera UMNO itu sendiri, ianya lambang rebung belum jadi buluh, mereka yang terdiri dari 18 hingga 25 tahun, kami boleh didik mereka, mereka diumpama kain putih, kita akan terap dan tanamkan semangat, kita beri latihan, bangun pagi kita suruh mereka bercakap dengan cermin pasal apa yang telah dibuat pada ibu bapa, diri aku sendiri dan pada negara.

Dari peringkat awal lagi kita akan bentuk budak-budak muda ini, sekiranya diberi peluang, Isnyaallah saya yakin akan dapat membawa generasi muda berumur 18, 19, 20 tahun ini kearah menjadi generasi yang cemerlang.



AGENDADAILY : Bagaimana momentumnya sekarang, apakah ianya menuju kearah sasaran?

AZEEZ : Menakutkan... kerana momentumnya begitu hebat, ramai yang hendak masuk Putera, mereka nak tahu apa itu Putera. Kita orang Melayu mempunyai satu sikap nak tahu, nak cuba terhadap sesuatu yang baru, apabila sesuatu yang baru ini saya ada sedikit ‘value added’ untuk membentuk mereka ini.

Saya nak tonjolkan dan gilapkan serta terjemahkan pada diri mereka sebagai seorang insan. Kita dengar apa Perdana Menteri kata, ‘human capital’ atau modal insan, senang saja bunyinya, tapi kalau kita korek, kupas dan turun ke bawah, inilah dia, kita nak ketengahkan Putera-Putera.

Modal insan ini tidak bleh dipraktikkan pada mereka yang telah berumur 40 tahun ke atas, ianya agak terlewat, ianya perlu pergi pada umur 18 tahun…cemerlang, gemilang dan terbilang adalah perlu bermula pada umur 18 tahun.

Pak Lah ke sana sini menyebut Islam Hadhari, yang faham siapa, ketua bahagian pun ada yang tak faham, apatah lagi akar umbi, jadi peluang yang berikan pada saya ini akan dipergunakan dengan sebaik-baiknya, saya akan pergi ke akar umbi untuk menterjemahkan apa itu …mari bekerja bersama saya bukan untuk saya.

Apa yang Pak Lah cakap tu, Pak Lah kata, saya tak nak zaman dulu saya bos, orang lain datang jadi macai saja…itu tak mahu, kita sama-sama kerja untuk perkasakan agama, bangsa dan negara. Itu adalah terjemahan apa yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri.

Saya boleh berucap dimana-mana kursus, tidak semestinya dalam kursus ekonomi saya tidak boleh cerita soal modal insan, Islam Hadhari dan cemerlang, gemilang dan terbilang, saya boleh rangkum semuanya, saya akan ada satu sistem ‘check list’, inilah yang saya akan guna pakai pada setiap perjumpaan dengan peringkat akar umbi yang berumur 18 tahun ke 25 tahun, saya tak kira program bolasepak, agama atau apa saja. Saya akan jadikan satu buku panduan untuk saya bagi menjayakan Putera UMNO ini.



AGENDADAILY : Keahlian Putera UMNO mungkin akan mengatasi angka keahlian Pemuda UMNO itu sendiri, bagaimanakah Datuk akan pimpin mereka?

AZEEZ : Putera UMNO sekarang mempunyai lebih 107,000 orang keahlian sediada sejak diumumkan.Dalam 630,000 lebih ahli Pemuda, kita tekan komputer untuk lihat umur 18 hingga 25 tahun ada 107,000 kemudian kita pecahkan mengikut bahagian seluruh negara. Kita berikan ‘list’ nama itu pada ketua pemuda UMNO bahagian mengikut nama dan cawangan.

Setahun kita akan ada 430,000 orang anak muda yang akan meninggalkan alam persekolahan, setelah ditapis, ditolak campur akan ada 200,000 orang saja akan ke IPTA atau IPTS. 230,000 lagi akan bekerja di kedai makanan segera, kedai runcit 24 jam, workshop, stesen minyak dan lain-lain.

Saya dah kenal siapa ‘pelanggan’, pada siapakah yang saya nak pergi jual ubat…ubat saya ialah 230,000 orang, akan ada orang kata Datuk tak pergi atau pilih yang berada di universiti, saya kata No…saya tak nak pergi universiti kerana saya tahu undang-undang tak boleh politik dalam universiti, dengan adanya 230,000 orang ini pun saya makan muntah, kenyang tak habis dimakan. Dalam masa empat tahun ini, saya pasti akan ada sejuta orang ahli Putera, itu saya yakin.

Tapi kita bukan nak menjadikannya sayap, kita hendak menjadikan satu biro supaya mereka ini tidak dipolitikkan, kita jangan ajar dia politik, sedangkan mereka makan pagi kais pagi makan petang kais petang, adakalanya terpaksa minta duit mak dan bapa, kalau kita suruh dia berpolitik, sampai masa nak bertanding, dia rompak sana sini kerana semata-mata nak duit untuk bertanding.

Istilah Putera sebagaimana yang dikatakan oleh Datuk Hisham ialah masuk tadika sebelum nak masuk darjah satu, kalau terus masuk darjah satu, budak belum sempat belajar A..B..C…dah menjerit-jerit tak mahu masuk kelas, sebab itulah adanya tadika, begitulah Putera.

Inilah Putera dilahirkan sebenarnya, saya ni berperanan sebagai guru tadika, saya tak rotan langsung…saya cuma ambil rotan buat gempar saja, pukul kerusi, meja, dinding saja…saya tk rotan orang, yang nak rotan ialah guru besar iaitu Datuk Hisham, beliau guru besar sekolah rendah dan menengah, dia tak apa.

Saya sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemusykilan…istilah budak tadika Putera, kalau dia terberak atas meja bertabur, siapa nak urus, cikgulah kena urus. Kalau sekolah rendah, dia dah tahu nak ke tandas dan urus diri.

Kita tidak mahu mereka ini dipolitikkan, sampai umur 25 tahun mungkin dari umur 18 hingga 25 tahun mereka dapat hadir ke mesyuarat agung UMNO, empat kali hadir, mereka dah masuk lihat mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat, mereka akan belajar dari situ.

Mereka akan diberi pendedahan tentang cara mesyuarat, isi borang, bentang lapuran kewangan, usul dan berbagai lagi. Mereka tidak tahu ini semua, kita beri mereka pendedahan awal sehingga 25 tahun, dah sampai umur 26 mereka boleh masuk terus pemuda.



AGENDADAILY : Bagaimanakah susunan kepimpinan Putera peringkat bahagian dan macamana pula dengan keahlian mereka dalam UMNO sedangkan Datuk kata tidak mahu mereka ini dipolitikkan.

AZEEZ : Kita ada AJK pemuda bahagian yang menjadi pengerusi biro Putera, dia boleh melebih umur 25 tahun. Ianya dilantik oleh ketua pemuda UMNO bahagian. Kalau budak-budak ini tidak jadi ahli Pemuda, macamana kita nak bawa mereka ini bergerak dalam kapasiti UMNO, macamana saya nak jadi pengerusi Putera sedangkan saya tidak jadi ahli atau exco pemuda UMNO.

Mestilah ada satu platfom, ada satu wadah perjuangan, umur 18 tahun boleh aktif sebagai Putera UMNO dan tiba saja umur 22 tahun, sudah tentu dia akan jadi Pengundi, kita akan pastikan dia akan mengundi kerajaan yang memerintah, itu wajib, kita tak mahu lagi pengundi atas pagar.

Sekiranya dia nak sertai ‘mainstream’ Pemuda UMNO, dia nak berkecimpung lebih mendalam dan nak jadi pemimpin, kita bagi sampai ke 25 tahun, selepas 25 tahun, dia sudah tahu apa itu UMNO, kita tidak mahu ahli-ahli UMNO, sudah sampai usia Pemuda tapi menyanyi lagu UMNO pun tak tahu.

Mereka perlu jadi ahli UMNO, kita kata tidak mahu politik, tapi apa…kita tidak mahu perebutan jawatan, jangan ada pertandingan…itulah dikatakan tadika, kita berikan apa yang dia mahu dulu, apa dia minat nak buat, lepas itu kita didik mereka.

Kita akan tengok saja apa yang mereka nak buat sehingga mereka semua sudah OK dengan kita, barulah kita panggil dan perbetulkan mereka. Begitu juja Putera UMNO, dia suka main bola, kita ikut…dia suka ex-game, kita ikut, dia suka lumba motor, kita ikut…kita nak ambil mereka kemudian nak suruh mereka ikut cakap kita, budak sekarang tidak boleh, kita pergi pada mereka dan Tanya apa mereka nak buat dan mereka suka, kita cuba penuhi. Kita nak tahu apa yang mereka minat.



AGENDADAILY : Keahlian Putera UMNO ini macamana, untuk lepas sekolah saja ke atau penganggur pun boleh?

AZEEZ : Kita kira ‘lock stock and barrel’, saya ini macam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sapu semua, saya ambil semua lepas itu, mana yang boleh saya bentuk, mana yang boleh jadikan seorang cendikiawan, jadikan seorang penyanyi, seorang pemain muzik, boleh main drum… saya akan susunkan mereka mengikut kemampuan dan kebolehan masing-masing. Saya akan ada pendekatan tertentu dengan mereka ini.

Saya tidak kata, nak yang ini dan yang itu saya tak mahu, jadi saya ambil yang pandai-pandai kemudian yang tak pandai saya tolak tepi, masalah negeara kita tidak akan ada penyelesaian dan kesudahannya, ianya akan tetap dengan masalah sosial akan berlaku.

Saya akan ambil semua, kemungkinan besar dalam 100 orang akan ada 5 orang tegar benar masalahnya, tidak jadi masalah, saya ambillah 95 orang, kemudian yang lima tu kita ikutlah dengan cara tegarnya, apa nak buat.

Printable Version | Email to a Friend

Agenda Daily: Real News For New People


 
 

Copyright © 2004-2009 Agenda Daily Dot Com.
While we make every effort to ensure the accuracy and completeness of the information contained in AgendaDaily,
no representation expressed or implied is made in respect of the said information.
This site is developed and maintained by Agenda Daily Dot Com.

Powered by tmsPUBLISHER-e.