Mengenali AgendaDaily.com | Hubungi Kami | Maklum Balas Fri, 10 September 2010 |





 Selamat Datang, Pelawat
  Agenda Daily Laman Web
LAMAN UTAMA
Johor
Kedah
Kelantan
Negeri Sembilan
Pahang
Penang
Perak
Perlis
Sabah
Sarawak
Terengganu

Ruangan
- INI ALAMAT KAMI
- BERITA UTAMA
- A Kadir Jasin -Other Thots
- Raduan Taib - Direct to The Point
- Syed Hussein Al Attas
- Badrul Hisham Abdul Aziz - WADTK
- Norzah - Baca jangan tak baca
- Jamelah Bakar - Pena Rakyat
- Noor Hasilah - Apo kono Eh Jang
- Sembang Kawan-Kawan
- SEJENAK BERSAMA
- CATATAN PERJALANAN AGENDADAILY
- EDISI KHAS AGENDADAILY



agendadaily@gmail.com

Laman khas himpunan interbiu Agendadaily - SILA KLIK

Puncanya…Wan Azizah


Video lucah hantui Shahanim,Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia

Kena gugur Timbalan Menteri : Akhirnya Idris Haron ‘buka cerita’


Puteri UMNO kalau tak agresif…baik tutup kedai - Azalina

Ali Rustam tak pandang belakang…


Khairy:Menjawab persepsi sebagai Ketua Pemuda UMNO yang 'tak settle'

Saya tidak boleh berfungsi macam Samy Vellu...


Sejenak bersama Yang DiPertua Dewan Negara…

Keluh kesah Presiden BAM...urus syarikat lebih mudah

Susah senang jadi ' referee' di Dewan Rakyat

Dalam persaingan politik… tidak ada naib juara….


Masalah jadi orang Nombor 2




Agenda Daily: DEBARAN UMNO KUBANG PASU:MAHATHIR TEWAS...MUKHRIZ TERPILIH

DEBARAN UMNO KUBANG PASU:MAHATHIR TEWAS...MUKHRIZ TERPILIH

Sehingga berita ini ditulis jam 6 petang Jumaat ground report yang diperolehi oleh Agendadaily mengatakan bahawa kempen intensif ‘berbagai cara’ disaat akhir terus menerus menyelubungi UMNO Bahagian Kubang Pasu menjelang mesyuarat perwakilan pagi Sabtu.

Harapan untuk memujuk Tun Dr Mahathir Mohamad agar menarik diri dari bertanding dalam pemilihan perwakilan UMNO bahagian itu untuk ke Perhimpunan Agung UMNO tidak berhasil.

Terbaru pagi Jumaat Timbalan Ketua UMNO Bahagian Zaini Jaafar dan seorang ahli jawatankuasa bahagian itu telah datang sendiri ke pejabat Dr Mahathir di Yayasan Perdana,Putrajaya untuk memujuknya.

Beliau dikatakan membawa memorandum yang ditandatangani oleh sebilangan besar ketua-ketua cawangan UMNO di Kubang Pasu yang berharap Dr Mahathir tidak bertanding.

Bekas Perdana Menteri itu difahamkan akan hadir sendiri pada mesyuarat itu di Dewan Wawasan Jitra yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Mahazdir Khalid.

Nasib Dr Mahathir samaada terpilih atau tidak menjadi salah seorang dari tujuh perwakilan ke perhimpunan itu akan ditentukan oleh 493 oleh perwakilan bahagian berkenaan dari 138 buah cawangan.

Beliau yang merupakan bekas Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu akan berentap dengan 16 orang calon lain termasuk anaknya Datuk Mukhriz.

Dr Mahathir hanya memperolehi 15 pencalonan.Kalangan orang-orang Dr Mahathir menyifatkan jumlah pencalonan itu tidak mengambarkan senario pemilihan sebenar lagipun beliau lewat mengesahkan bertanding.

Mereka hanya berani meletakan harapan 50-50 kerana mendakwa ini memandangkan usaha dijalankan untuk memastikan Dr Mahathir tidak terpilih selain dari usaha memujuk beliau menarik diri.

Mereka mengesahkan suasana terkini di Kubang Pasu seperti kata Ketua UMNO Bahagian Datuk Johari Baharom macam pilihanraya kecil.

Ramai para pemerhati politik termasuk para wartawan dari Kuala Lumpur telah berpusu ke Alor Star sejak Khamis untuk melihat secara langsung suasana kempen pemilihan perwakilan ini.

Khamis Johari telah mengadakan sidang akhbar bersama sebilangan ahli jawatankuasa bahagian itu untuk membuat rayuan terakhir agar Dr. Mahathir Mohamad menarik diri.

Katanya ini bagi menjaga imejnya sebagai seorang negarawan.- 8/9/2006

JIKA GELOMBANG WIRELESS INTERNET OK DI KAWASAN DEWAN MESYUARAT…AGENDADAILY AKAN CUBA MEMBERIKAN LAPORAN TERKINI DARI MASA KE SEMASA DARI SITU.

--------------------------


Kubang Pasu :Orang-orang kecil yang kena buat keputusan besar

UMNO Bahagian Kubang Pasu tidak mempunyai sejarah berdepan dengan sebarang masalah politik yang besar dan rumit.

Bahagian yang terletak di salah satu dari 11 daerah di Kedah itu sekian lama ‘tenang-tenang saja’ menjadi bahagian primadona khususnya sepanjang era 22 tahun pentabiran Tun Dr Mahathir Mohamad seperti status yang dinikmati oleh UMNO Bahagian Kepala Batas sekarang.


Ahli-ahli UMNO di 138 buah cawangan di bahagian itu mungkin tidak pernah bermimpi mereka satu hari nanti kena buat satu keputusan besar.


Mereka kini sudah tiada pilihan bila bekas Perdana Menteri itu membuat pengumuman rasmi selepas satu majlis Alor Star pada 23 Ogos lalu hendak berentap menjadi salah seorang perwakilan UMNO Bahagian itu ke Perhimpunan Agung UMNO.


Samada nak ditelan mati bapak atau nak diluah mati emak mereka kena membuat penentuan pada hari Sabtu 9 September ini bila menghadiri mesyuarat perwakilan tahunan UMNO bahagian itu.



Ia merupakan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian yang paling dinanti-nantikan oleh semua pihak.


Ada pemerhati politik menilai Dr Mahathir telah menjangkau untuk test the limit dalam isu kritikannya terhadap Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerusi keputusannya itu.


Beliau ibarat kata memperjudikan segala-galanya kepada akar umbi UMNO yakni di ‘padang permainannya’ sendiri.


Mengambil kira personaliti politik UMNO satu Malaysia sekarang tidak ada orang lain yang dikatakan boleh lawan keresahan yang dihadapi Datuk Johari Baharom.


Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri itu yang kini mengetuai UMNO Bahagian Kubang Pasu tentunya berada diatas kerusi paling panas.


Johari yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Datuk Joe’ oleh kalangan rakan politik berdepan dengan situasai yang unik lagi kronik.


Dr Mahathir bos lama dan Pak Lah bos baru.Beliau pernah berkerja sebagai Setiausaha Politik kepada kedua-dua mereka.


Johari pernah berdepan dengan berbagai dakwaan bila Datuk Mukhriz Mahathir tewas dalam pertandingan jawatan Ketua Pemuda UMNO Kubang Pasu pada pemilihan UMNO musim lalu tidak lama selepas beliau mewarisi jawatan Ketua Bahagian dari Dr Mahathir.

Ini termasuk ada yang kata beliau backing Zulkifli atau Mohd Ros Ahmad yang menang jawatan itu.

Dalam kontek nasional cabaran beliau kena tangani hasrat Dr Mahathir hendak menjadi perwakilan bahagian itu ke perhimpunan agung adalah jauh lebih besar dari pemilihan jawatan Ketua Pemuda bahagian.

Realiti politik yang kerap kali bersandarkan pada hakikat … kill or be killed …makanya apa pilihan yang Johari ada.


Kejayaan Dr Mahathir memenangi pemilihan jadi perwakilan itu,jika menjadi kenyataan boleh dianggap sebagai endorsement rasmi yang pertama peringkat grassroot UMNO pada perjuangannya macam Lone Ranger menentang Abdullah.

Kesannya dikatakan cukup menusuk dan boleh mencetuskan berbagai andaian sekalipun tiada siapa yang dapat memberi satu penentu rasmi sejauh mana sokongan padanya menerusi berbagai ceramah yang diadakannya setakat ini dan terbaru yang akan diadakan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada petang Sabtu ini.


Sekalipun mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada Jumaat malam 25 Ogos memutuskan UMNO tidak menghalang Dr Mahathir untuk bertanding menjadi perwakilan dan Abdullah selaku Presiden UMNO berkata terserah kepada UMNO Bahagian Kubang Pasu untuk membuat pemilihan - suara-suara yang tidak senang berdepan dengan kemungkinan beliau menjadi perwakilan sudah kedengaran dikalangan sebahagian besar saf kepimpinan utama UMNO.


Walaupun ia dilembutkan dengan kenyataan tidak mahu beliau merendahkan mertabatnya sebagai seorang negarawan tidak siapa yang dapat menolak kebimbangan berbagai kemungkinan akan timbul di Dewan Merdeka ,PWTC jika Dr Mahathir melangkah masuk untuk menghadiri perhimpunan itu November ini.


"Ia tidak pernah berlaku dalam sejarah UMNO di mana bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden UUMNO mahu bertanding di dalam G7 dan menjadi perwakilan," kata ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar.


Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob pula berkata: "Pelik pun tidak, hairan pun tidak, tetapi ia (tawaran Dr Mahathir) luar biasa sedikit. Dan UMNO mahu mengetahui apakah sebab di sebalik kesanggupan Dr Mahathir itu dan isu-isu yang mahu diketengahkan serta tujuannya."


Naib Presiden UMNO yang juga Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohamed Ali Rustam berkata secara peribadi, beliau merasakan tindakan Dr Mahathir itu tidak sesuai bagi seorang yang pernah memegang jawatan presiden Umno.Katanya banyak lagi saluran lain yang boleh digunakan Dr Mahathir untuk menyampaikan pandangannya kepada parti.

Timbalan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata Dr Mahathir tidak perlu merendahkan martabatnya sebagai seorang negarawan untuk menjadi anggota perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO.

"Walaupun UMNO tiada sekatan kepada mana-mana anggota yang berhasrat menjadi pewakilan, tetapi itu mungkin relevan kepada anggota lain kerana Dr Mahathir pernah menjadi nombor satu dalam parti.

"Tak seharusnya kedudukan beliau terlalu rendah. Saya fikir Tun mesti ada penasihat. Seperti kitab lama ia perlu diletakkan di tempat tinggi. Kalau diletakkan di lantai saya khuatir ia kelak nanti dipijak orang,”katanya.


Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata Dr Mahathir yang diiktiraf sebagai negarawan tidak seharusnya meletakkan dirinya di peringkat bawah hanya untuk menjadi perwakilan ke perhimpunan agung UMNO November ini.


Beliau berkata tindakan bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO itu akan menjejaskan kredibilitinya kerana beliau masih dihormati.


"Walaupun peraturan UMNO membenarkan sesiapa sahaja bertanding, Tun tidak patut menawarkan diri untuk bertanding G7 (perwakilan bahagian 7 orang yang dipilih disamping 6 orang pemimpin bahagian yang automatik jadi perwakilan) , biarlah orang lain atau orang biasa sahaja," kata Mahdzir.


Ketua Pemuda UMNO Malaysia Datuk Seri Hishamuddin Hussein lebih terbuka bila meminta Dr Mahathir menimbang semula keputusannya dan berkata ‘‘saya bimbang, khuatir dan sedih sekiranya dengan kehadiran Dr. Mahathir dalam perhimpunan itu akan menjejaskan orang Melayu atau kedudukannya sendiri.


“Sehubungan itu, Tun kena fikirlah sendiri kesannya yang bukan sahaja akan kena pada dirinya tetapi kepada UMNO dan akhirnya kepada orang Melayu itu sendiri,’’ katanya.


Apapun mereka yang mengenali Dr Mahathir cukup tahu beliau tidak pernah berpatah balik bila buat sesuatu keputusan.


Sebagai ahli biasa UMNO yang melawan arus sekarang beliau terpaksa menghadapi realiti politik ada yang setuju dan tidak setuju dengan keputusanya.


Dari ground report yang Agendadaily perolehi dari sumber-sumber di UMNO bahagian itu nampaknya semacam ‘perang senyap’ sedang berlangsung di bagai peringkat untuk menentukan menang kalah Dr Mahathir dalam pemilihan jadi perwakilan itu.


Dr Mahathir dikatakan tidak begitu mempunyai grip politik secara peribadi keatas cawangan-cawangan UMNO di Kubang Pasu.Kelebihan beliau ialah sentimen kuat kepadanya sebagai bekas Perdana Menteri dan orang lama di Kubang Pasu.


Ini mungkin boleh dilihat dari tindakan tujuh cawangan Pemuda UMNO yang mendesak pengkritik utama Dr Mahathir iaitu Datuk Seri Nazri Aziz dipecat.


Namun begitu ada yang menggangap ia tidak boleh menjadi kayu pengukur sokongan menyeluruh menjelang mesyuarat perwakilan bahagian itu.


Ini kerana politik di cawangan-cawangan adalah berbeza dengan politik peringkat nasional.


Rata-rata beberapa orang ahli UMNO bahagian itu yang ditinjau pendapat mereka masih meletakan harapan 50-50 bagi Dr Mahathir walaupun setakat ini majoriti iaitu sudah lebih 70 cawangan yang dilaporkan menyokong beliau dipilih menjadi perwakilan.


“Sentimen menyokong Dr Mahathir dipilih boleh tahan tetapi kempen intensif sedang berlangsung secara senyap-senyap yang bertumpu kepada perbahasan apakah rasional beliau nak jadi perwakilan.

“Jadi ia boleh swing ke sana atau ke sini menjelang hari pengundian,”kata mereka.


Memetik kata salah seorang dari mereka, “ orang-orang Kubang Pasu memang tengah pening berdepan dengan satu keadaan serbasalah yang belum pernah dirasai sebelum ini.”- 30/9/2006

-----------------------------------


PANAS...PANAS...PANAS...:Dr Mahathir cetuskan debaran dan macam-macam andaian bila nak hadir dalam Perhimpunan Agung UMNO November ini...



Cuba bayangkan Tun Dr Mahathir Mohamad melangkah masuk ke dalam Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada hari pertama Perhimpunan Agung UMNO pada pagi 13 November ini.

Bagaimanakah suasananya ketika itu mengenangkan jika isu kritikan beliau terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi belum selesai.

Selaku Presiden UMNO Abdullah akan berada diatas pentas bersama barisan ahli Majlis Tertinggi lain.Di deretan kerusi di bawah pula ada lebih 2,000 perwakilan UMNO.

Ada yang menduga keadaanya pasti ‘mencengkam’ dan ada yang meramalkan berbagai senario yang dibayangi oleh wajah-wajah penuh dengan serba salah di saat itu... dan seterusnya sepanjang tiga hari perhimpunan tahunan UMNO yang dihadiri oleh perwakilan dari seluruh negara itu berlangsung.

Sebagai seorang perwakilan biasa beliau tentunya akan duduk di barisan belakang dengan para perwakilan lain.

Mengambil kira naluri biasa manusia sudah pasti ribuan mata perwakilan dan pemerhati akan kerapkali merenung tajam kearahnya.


Apakah halnya pula semasa beliau berjalan ke sana kemari ketika beramah mesra dengan para perwakilan.

Sebagai bekas Perdana Menteri bagaimana pula dari segi protokol.Apakah beliau akan minum bersama dengan para ahli Majlis Tertinggi lain di ruang VIP dan seribu satu macam lagi tandatanya berlegar.

Inilah yang menjadi bahan cakap-cakap di sekitar sebuah hotel di Alor Star petang Rabu sejurus berakhirnya ceramah bertajuk 'Cabaran Pembangunan Ummah'.






Dr Mahathir telah menyampaikan ceramah berkenaan yang dianjurkan oleh Dewan Perhimpunan Melayu Kedah(DPMK).

Yang Dipertua DPMK ialah sahabat lama Dr Mahathir iaitu Tan Sri Khalid Abdullah yang merupakan bekas Pengerusi Ekskutif Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.


Ini adalah undangan keempat beliau terima setelah berceramah di Kelab Century Paradise,Taman Melawati,di Kota Bharu dan majlis Jasamu DiKenang anjuran Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara.


Semasa sesi soal jawab pada ceramah yang bertumpu pada isu kritikannya terhadap Abdullah,salah seorang hadirin yang memperkenalkan dirinya sebagai ahli UMNO Bahagian Kubang Pasu telah bangun bertanya samaada bekas Perdana Menteri itu akan menerima pemilihan sebagai perwakilan bahagian itu ke Perhimpunan Agung UMNO.

Kira-kira 1,000 orang hadirin spontan memberikan tepukan gemuruh bila beliau mengesahkan sedia menghadiri perhimpunan itu sekiranya terpilih.

Katanya beliau tidak akan berganjak dari keputusan itu sekalipun ada pihak-pihak yang mungkin berusaha memujuknya agar tidak berbuat demikian.


Sekalipun 2006 bukan tahun pemilihan jawatan...jika Dr Mahathir turut hadir sebagai perwakilan biasa Perhimpunan Agung UMNO kali ini adalah dijangka ia akan mencuri perhatian seluruh negara.

Jika Dr Mahathir hadir dalam perhimpunan itu ini adalah kali pertama dalam sejarah UMNO seorang bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden UMNO hadir sebagai perwakilan biasa.

Seorang pegawai bekas Perdana Menteri itu mengesahkan beliau telah menandatangani borang pemilihan untuk jadi perwakilan itu sejurus kembali dari lawatan ke China Sabtu lalu.

Beliau akan bertanding untuk dipilih sebagai salah seorang dari tujuh perwakilan yang dibuat menerusi pemilihan.

Enam perwakilan lain dari sesuatu bahagian UMNO ke perhimpunan itu layak secara automatik.Mereka ialah Ketua UMNO Bahagian,Timbalan ketua,Naib ketua,Ketua Pemuda,Ketua Wanita dan Ketua Puteri.






Semasa sesi soal jawab itu juga Dr Mahathir menafikan langkah Petronas membeli syarikat Konsortium Perkapalan milik anaknya Mirzan selepas krisis mata wang tahun 1997 dulu satu bailout.

Katanya ia satu urusan jual beli biasa sebuah syarikat yang bermasalah dengan tawaran harga yang jauh rendah dari harga sebelum krisis mata wang yang telah membuatkan banyak syarikat jatuh bangkrap.

Menurut Dr Mahathir Petronas yang merupakan pemilik syarikat perkapalan MISC sebaliknya telah memperolehi keuntungan dalam operasinya setelah membeli syarikat milik Mirzan itu.


Dalam ceramahnya beliau antara lain mempersoalkan perlantikan semula Datuk Seri Rafidah Aziz ke dalam kabinet Abdullah yang didakwanya memberi banyak sekali AP kepada dua individu.

Menjawab soalan mengenainya dalam sidang akhbar,Dr Mahathir mendakwa beliau tidak tahu samada Rafidah ada berbuat demikian (bagi banyak AP) semasa pentabirannya.

Beliau juga menafikan dakwaan mengatakan pernah "menyelamatkan" Rafidah dari disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah satu ketika dulu.


Semasa sidang akhbar Dr Mahathir menjawab berbagai soalan termasuk soal keputusannya nak hadiri Perhimpunan Agung UMNO,kuota pencalonan UMNO,saham MAS Tan Sri Tajuddin Ramli,isu dakwaan penglibatan saudara Perdana Menteri dalam program jualan minyak Iraq untuk makanan,reaksinya kerajaan menganggap semua isu yang dibangkitkannya semua sudah dijawab dan mengarahkan perbincangan mengenai isu ini dihentikan serta apa langkah seterusnya untuk mendapat sokongan dikalangan ahli UMNO dan rakyat pada apa yang didakwanya terhadap Abdullah.


DPMK yang menganjurkan majlis itu ialah sebuah badan terbuka yang boleh dianggotai oleh semua orang Melayu negeri Kedah tak kira dari mana-mana parti politik asalkan bukan wakil rakyat yang sedang berkhidmat.

Satu-satunya tokoh pembangkang negeri itu yang hadir sama di majlis berkenaan ialah Mahfuz Omar dari parti PAS.

Khalid yang juga bekas ahli Exco Kerajaan Negeri memberitahu para wartawan mereka juga bercadang untuk mengundang Perdana Menteri sendiri untuk memberi ceramah kepada ahli-ahli DPMK.-- 23 Ogos 2006.







BERIKUT IALAH TRANSKRIP SOAL JAWAB DR MAHATHIR DALAM SIDANG AKHBAR SELEPAS MAJLIS CERAMAH ANJURAN DPMK DI ALOR STAR PETANG RABU.

Wartawan:( merujuk kepada keputusannya hendak hadir dalam Perhimpunan Agung UMNO) apakah Tun bercadang untuk berucap di perhimpunan itu jika diberi peluang?

Dr Mahathir: Ya…jika saya dibenarkan berucap …saya akan berucap...jika saya dibenarkanlah (nada sinis).

Wartawan Agendadaily: Apakah Tun sudah tandatangani borang pemilihan bertanding jadi perwakilan (UMNO Bahagian Kubang Pasu) ?

Dr Mahathir: Dah sign dah…kita sign awal-awal lagi.

Wartawan Agendadaily : So no turning back ?

Dr Mahathir : No turning back …saya ahli biasa UMNO..nombor 1…ahli pertama UMNO (baru - selepas mahkamah putuskan UMNO lama tak sah berikutan krisis pertandingan Team A dan Team B pada tahun 1987) …sekarang saya tak boleh bercakap dalam UMNO…

Wartawan Agendadaily :Tidakkah kehadiran Tun akan wujudkan suasana yang tension nanti di perhimpunan itu?

Dr Mahathir :Tak patut ada tension …saya ahli UMNO...saya tahu kalau kita nak ada Perhimpunan Agung UMNO yang mana semua orang bangun kata kami sokong…kami sokong…tak semacam UMNO semasa sayalah...saya pun kena hentam juga masa saya…jadi dalam UMNO memanglah ada kebebasan bersuara..tapi kalau kita ada UMNO yang mana semua kata kami sokong…kami bersetuju…kami Yes Minister …jadi nampak tak semacam UMNOlah…UMNO dah jadi badan lain.

Wartawan Agendadaily :Dari segi protokol tak kan Tun sebagai bekas Perdana Menteri nak duduk di belakang (bersama perwakilan biasa lain) ?

Dr Mahathir :Semacam…saya biasa duduk belakang…jadi Presiden pun saya pi duduk di belakang …nak rasa tengok macam mana duduk (rasa jadi perwakilan biasa) ..dulu dia tunjuk dalam gambar (siar dalam suratkhabar pernah duduk belakang sekejap semasa satu Perhimpunan Agung UMNO beberapa tahun lalu)…tak bagi duduk depan…saya duduk di belakanglah.

Nanti kata kami sayang kepada Perdana Menteri…bekas Perdana Menteri janganlah jadi macam tu…duduk belakang…itu bukan sayang…itu nak tutup mulut saya.

Wartawan Agendadaily: Ada pandangan yang mengatakan keadaan ini berlaku kerana Tun sudah menguasai selama 22 tahun dan sistem ini berjalan kerana Tun sendiri dah melaksanakannya ( tak boleh kritik pemimpin) sekian lama dalam UMNO...jadi mereka ikut sajalah?

Dr Mahathir: Apa yang saya buat…zaman saya…semua orang boleh bercakap…Tunku Abdul Rahman boleh bercakap…tak ada larangan samasekali.Masa Tengku Razaleigh lawan dengan saya…Datuk Abdullah (Pak Lah) lawan dengan saya…Datuk (Tun) Musa lawan dengan saya…tak ada sekatan…ini langsung tak ada kebebasan…yang ini yang saya hairan...tak ada kebebasan bagi ahli UMNO nak bercakap…bukan sahaja ahli biasa tetapi bekas Presiden pun tak boleh bercakap…

Tunku Abdul Rahman boleh bercakap…Tengku Razaleigh kempen seluruh Malaysia…Datuk Abdullah Ahmad Badawi kempen seluruh Malaysia…kata saya komunis semua…pun saya tak tahan…kan masa tu saya Perdana Menteri dan Presiden UMNO…saya tak guna kuasa tu nak sekat dia…tapi sekarang ni macam-macam kuasa kerajaan diguna…tak bagi permit untuk bercakap.


Wartawan Agendadaily :Jadi apakah Tun tak pernah laksana sistem blacklist terhadap penentang Tun…contohnya nama kena mark ( kalau kritik atau lawan ) ?

Dr Mahathir :tak ada..bahkan akhirnya mereka saya terima balik dalam kabinet.(Datuk) Rais Yatim dah bakar habis dah semua …jambatan...tapi masuk jadi menteri..(Datuk) Kadir Sheikh Fadzir,(Datuk) Syed Hamid Albar...bahkan Pak Lah sendiri…dia tentang saya…saya terima…saya bukan orang yang buat blacklist .

Kalau you berjuang untuk UMNO you ada hak.

Wartawan: Dalam bulan ini ada dua perkataan yang digunakan iaitu iblis …adakah Tun terasa iblis itu ditujukan pada Tun…ataupun perkataan beruk yang disebut oleh menantu (Khairy - beruk yang goyang pokok sekalipun tak ada angin ) …apa pandangan Tun atas dua perkataan ini?

Dr Mahathir :Bolehlah takat tu…bila panggil orang beruk boleh...orang lain jangan mencarut… jangan jawab langsung…ini kebebasan…ketelusan ...yang kita tengok sekarang ni...mengata kat orang …nak panggil orang beruk apa semua.

Saya ni dihasut oleh Matthias Chang…Ibrahim Ali.

Wartawan :Selama 22 tahun …Tun tak pernah guna perkataan ‘ saya Perdana Menteri’ ( yang disebut oleh Pak Lah dalam satu ucapan baru-baru ini ) ..apa pandangan Tun?

Dr Mahathir: saya anggap walaupun dilantik sebagai Perdana Menteri ...saya sebenarnya servant kepada orang…kita dalam kerajaan pun kita kata government servant .Jadi kita tak boleh tunjuk sangat bahawa saya Perdana Menteri boleh buat apa saja…cuma memberi dorongan…memberi panduan…jadi orang lain kalau tak bersetuju…tak bersetujulah…

Jadi nak kata saya Perdana Menteri…jesteru itu ikutlah saya…sebab tu saya kata (dalam ucapan tadi) jangan kata Hidup Mahathir …(patutnya) Hidup UMNO … Hidup Melayu …yang pentingnya UMNO dengan Melayu...bukan saya…saya tak penting…

Saya cuma menyuarakan pendapat ramai orang yang telah menyatakan kepada saya rasa tidak puashati mereka…tetapi hidup dalam ketakutan…kalau mereka kontraktor…mereka akan hilang kontrak…kalau mereka berkerja dengan kerajaan…maka akan diambil tindakan terhadap mereka…macam-macam rasa ketakutan.


Ada Menteri Besar yang diarah…tapi bila tanya oh dak…dak…saya tahu benda ni berlaku.Di arah oleh Khairy.Ada pegawai kerajaan pun yang diarah.

Wartawan Agendadaily :dalam persoalan Tun ni…Perdana Menteri dah arahkan menteri-menteri jawab isu-isu yang dibangkitkan…mereka anggap semua dah jawab…Tun bagaimana?

Dr Mahathir: Saya tanya soal mudah...betul atau tidak awak yang menawarkan bekalan pasir kepada Singapura…tak jawab…sebaliknya nak suruh saya jawab...macam mana saya nak jawab...dokumen tu ada kat dia…kalau saya keluarkan dokumen tu ..saya kena tangkaplah OSA…

Wartawan Agendadaily; tapi Datuk Najib... bila kita tanya hal ini sudah bagi jaminan Tun boleh bagi bukti tu secara tertutup?

Dr Mahathir: .(Secara) tutup tak mau...bagi secara terbuka...(kalau secara) tutup dia tak cerita kat orang.Saya nak keluar benda tu...bagi pengakuan sebarang dokumen kalau saya dapat ...saya boleh dedah dokumen itu dan tidak ada tindakan terhadap saya berkenaan OSA...bagi pengakuan bertulis...saya akan kemukakan bukti tu.

Wartawan Agendadaily :Lepas tu Tun akan keluarkan bukti tu?

Dr Mahathir : saya akan carilah..

Wartawan Agendadaily: Orang semua nak tahu...ada tidak benda tu ditangan Tun sekarang ni ?

Dr Mahathir : orang nak tau buat apa...kalau orang tahu nanti ambil mai selidik...cungkil ambil dalam bilik rumah saya...tak payahlah saya taulah cara tu...geledah...geledah.

Wartawan Agendadaily :Ada yang berkata tindak tanduk Tun ni saja nak jejaskan kedudukan Pak Lah sebagai Perdana Menteri …akhirnya menumbangkan Pak Lah…jadi apa komen Tun?


Dr Mahathir: dia cuma buat benda yang betul…tak tumbanglah…bila buat tak betul... dia tumbanglah.

Wartawan Agendadaily :tadi dalam ucapan Tun ada dakwa lepas Tun berhenti jadi PM dua minggu siapa-siapa yang datang jumpa Tun kena blacklist …apakah Tun ada bukti hal ini?

Dr Mahathir :saya diberitahu akan kena blacklist .

Wartawan Agendadaily : Mungkin itu hanya hearsay saja?

Dr Mahathir : hearsay …takat tu saya boleh...tak kan blacklist tu written bagi kat saya pula…yang ni yang susah orang minta bukti pada saya yang saya tak boleh bagi…saya minta bukti yang dia boleh bagi.

Wartawan Agendadaily :tapi dunia sekarang ni…semuanya perlukan bukti?

Dr Mahathir :saya tau dia ada bukti…dia tak tunjuk...saya tak boleh bawa dokumen nanti kena tangkap…benda yang rahsia dia boleh declassify …tapi dia tak mau buat…dia declassify surat saya…surat saya tu Singapura dah siar dah…buat apa…surat saya tu tak ada apa pun…apa dia yang saya kata dalam surat saya…?

Wartawan: Tun dah sign nak bertanding jadi perwakilan.Apa Tun nak buat hadir dalam Perhimpunan Agung UMNO?

Dr Mahathir: saya pi duduk di belakanglah…kita nak dengarlah apa nak cakap…kalau ada peluang kita bercakap...kita bercakaplah…(kot dia boleh ) bagi lima minit bercakap.

Wartawan :tu flatform besar ( boleh bercakap kepada semua perwakilan )... Tun?

Dr Mahathir :flatform besar…tapi cakap lima minit..

Wartawan Agendadaily :kalau Tun ada peluang bercakap…apa Tun nak cakap (di perhimpunan tu) ?

Dr Mahathir: (ketawa ) tu tunggulah…kalau saya cerita sekarang…tak seronoklah…( nanti) orang tak baca dah suratkhabar.

Wartawan : Bila Tun Perdana Menteri… Datuk Seri Abdullah Timbalan Perdana Menteri...ada laporan yang dikeluarkan oleh Kongres Amerika tentang penyiasatan Oil For Food punya skandal ( berkaitan Iraq) …ada beberapa pemimpin dunia dari Asia,Amerika, Eropah dan sebagainya….Pak Lah sendiri dikaitkan…namanya ada tersenarai sebagai beneficiary …tetapi tidak ada tindakan diambil masa Tun PM dan sekarang...adakah Tun sedar tentang ini masa Tun PM?


Dr Mahathir :Masa saya PM saya tidak sedar…cuma selepas saya letak jawatan…laporan dibuat….yang penting bukan dia beneficiary atau tidak tetapi sebagai Timbalan Perdana Menteri atau menteri atau sesiapa yang pegang jawatan (kerajaan) tidak harus terlibat dalam apa-apa transaksi komersial.Nampaknya dia terlibat.Sejauh mana dia terlibat saya tidak tahu…tetapi saya fikir perlu ada siasatan oleh sebuah badan bebas…bukan oleh mereka yang dibawah arahannya.


Menteri Hal Ehwal India..( sebut nama tapi tak jelas).. namanya ada dalam senarai itu dia letak jawatan.

Wartawan: Ada Pak Lah ditanya mengenai hal ini oleh media macam mana nama dia boleh disenaraikan…dia menafikan tahu menahu mengenainya tetapi mengakui ada ahli perniagaan yang menemuinya minta surat sokongan dan beri surat sokongan…mungkin itu sebabnya namanya ada dalam senarai?

Dr Mahathir: (beberapa patah perkataan tak jelas) Orang itu adalah kakak iparnya…itu yang saya dapat tahu.

Wartawan: Adakah itu nama-nama dari Malaysia termasuk yang genuine.?

Dr Mahathir: yang genuine …macam Effendi memanglah dan (tak jelas namanya) ..tapi depa ni bukan kerja dengan kerajaan.

Sekurang-kurangnya saya patut tahu atau mendapatkan kebenaran saya…tetapi ini tidak…tidak ada kebenaran diminta…dan saya tidak tahu apa-apa mengenainya sehingga saya letak jawatan.

Jika berlaku di zaman (pentabiran) saya Perdana Menteri …saya pasti akan menolaknya dan mengambil apa-apa tindakan yang sewajarnya.


Wartawan Agendadaily : (Dalam ucapan tadi ) Tun ada berkata bahawa Datuk Seri Rafidah
tidak patut dilantik semula sebagai menteri (dalam kabinet Pak lah ) , boleh tak Tun ulas lanjut hal itu?.


Dr Mahathir: Ya…dia buat sesuatu yang bertentangan dengan dasar kerajaan, sepatutnya dia tidak dilantik. Dia bagi AP kepada kawan-kawan…dua orang tertentu dan sesiapa lain nak AP mesti beli kepada orang itu…dan dia tau…


Kenapa bagi pada orang itu supaya orang itu jual…


Wartawan Agendadaily : Tun pasti semasa Tun jadi Perdana Menteri dia tak buat macam tu…?


Dr Mahathir : Well..certainly not to that extend ..lah…adalah orang yang dapat AP tapi dua orang ni, saya dapat tau dia dapat…mungkin masa saya …saya tak dak maklumat langsung.

Yang saya tau, pada masa saya ialah ada kereta Korea yang dibawa masuk dan declare pada jumlah RM11 ribu dan saya tanya dia dan bagi dia itu soal lain...AP adalah hal AP.


Wartawan :Persoalannya ialah semasa Datuk Seri Anwar dulu hendak diambil tindakan kes rasuah pada Rafidah, Tun didakwa mempertahankannya?


Dr Mahathir : Macam-macam tuduhan dari Datuk Seri Anwar... saya ni macam jin, kata dialah…saya ni tak patut jadi Perdana Menteri langsung tapi itu tak benar sama sekali saya tak ambil tindakan tapi Badan Pencegah Rasuah ambil tindakan sampai Rafidah komplen cara orang itu ambil tindakan pada dia cukup keras sangat…panggil dia…soal dia…tapi akhirnya mereka buat keputusan tidak ada bukti yang cukup untuk diambil tindakan.


Wartawan : Bukan Tun halang…?


Dr Mahathir : Saya tak halang…semua siasatan…semuanya saya tak halang. Kalau ada bukti ambil tindakan.


Wartawan Agendadaily : Sekarang ini semacam Perdana Menteri dah tak nak jawab persoalan-persoalan yang Tun bangkitkan dan semacam tak nak layan apa yang Tun cakap, apakah Tun akan terus bercakap…?


Dr Mahathir : Saya akan terus bercakap…dia tak jawab…tak jawablah…kerana tak boleh nak jawab... benda tu betul.

Saya kata bagi AP kat Haniff dengan banyak…dia tak boleh jawab, benda tu betul…saya kata dia buat tawaran pasir sebanyak satu billion cubic meter …dia tak boleh jawab kerana benda tu betul…

Kalau dia nak jawab…betullah apa yang Dr Mahahtir kata…itu salahlah dia…dia nak bagi pesawat pejuang Singapura terbang dalam ruang udara Malaysia…itu betul atau tidak…kalau dia nak jawab kata betul…dia kata betul…jadi orang marahlah pada dia…jadi dia tak jawablah…senyaplah..

Tapi dia gunalah Brendan Preira (Pengarang New Straits Times)…pergi cungkil Ani Arope, cungkil Tajuddin Ramli kononnya saya paksa Tajuddin Ramli…saya boleh bagi keratan suratkhabar tentang kenyataan Tajuddin Ramli, apabila dia dapat beli MAS kerana pada masa itu dia ada dua kapalterbang dalam MHS (Malaysian Helicopter Services).. saya boleh bagi kenyataan dia yang begitu seoronok sekali dapat MAS bukan mudah…


Wartawan : Tapi dia buat tu macam (kata dia dipaksa beli untuk ' khidmat negara'.…?


Dr Mahathir : Ya..lah…macam (Datuk) Nadzmi Salleh (bekas CEO Proton) , bila dia berhenti…dia dapat RM1 juta tapi dia buat kenyataan kata dia tak dapat…lepas tu dia datang jumpa saya...dia kata sorrylah tak betul…betullah apa yang Tun kata…sebenarnya tawaran pada dia cuma RM500 ribu tapi saya yang penaik sampai RM1 juta bagi kat dia pasal saya ingat khidmat dia bagus…tapi dia mai bagitau kat saya, tak bagi tau kat orang suratkhabar.

Kalau you nak tahu pergi tanya dia…betul tak dia datang jumpa saya kat dia dapat RM1 juta kerana saya recommend tetapi Mahaleel, sampai sekarang ni tak dapat satu sen dan yang lain-lain tak taulah... barangkali yang lain dapat tak taulah…saya tau Mahaleel tak dapat ..


Wartawan : Tun Salleh Abas (bekas Ketua Hakim Negara) dakwa masa pentabiran Tun kuasa badan kehakiman 'disekat' …ada apa-apa Tun nak kata tentang itu?


Dr Mahathir : itu adalah persepsi dia..tapi kemampuan saya untuk ‘sekat’ badan kehakiman tidak ada.Badan kehakiman sebenarnya sudah buat keputusan sebelum datang kepada saya …banyak kali….termasuk mengistiharkan UMNO haram (pada awal tahun 1988)..hanya satu cawangan (UMNO) yang kecil buat silap seluruh 2 juta ahli UMNO terpaksa menanggung akibatnya…adakah saya sekat (keputusan) itu.Itu adalah keputusan mahkamah.



Printable Version | Email to a Friend

Agenda Daily: Real News For New People


 
 

Copyright © 2004-2009 Agenda Daily Dot Com.
While we make every effort to ensure the accuracy and completeness of the information contained in AgendaDaily,
no representation expressed or implied is made in respect of the said information.
This site is developed and maintained by Agenda Daily Dot Com.

Powered by tmsPUBLISHER-e.