12Disember2018

Belum 100 hari tapi... kerajaan PH dah jadi bahan 'troll' netizen

Belum 100 hari mememrintah Malaysia, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah berdepan defisit kepercayaan selepas menjadi bahan lawak sindiran (troll) netizen di media sosial disebabkan kenyataan menteri-menteri yang menggelikan hati serta tidak memperlihatkan mereka layak untuk jawatan itu, kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Adnan Seman.

“Apabila menteri-menteri kerajaan hari ini membuat kenyataan tentang Melayu itu pendatang, isu kasut hitam, menteri pendidikan pula sibuk bercerita isu jual plat kereta, bagi saya apa yang mereka lakukan itu amat menggelikan hati.

“Bagi saya, sebagai seorang menteri, kita beranggapan mereka akan memberikan cadangan-cadangan yang lebih bernas. Contohnya dalam soal pendidikan, bagaimana mahu meningkatkan kajian di universiti. Bagaimana formula baru boleh dipatenkan.

“Kemudian, wujudkan kerjasama di antara pemain-pemain industri, pemain ekonomi dan pasaran, dengan universiti-universiti. Ini adalah antara perkara-perkara yang mana boleh memberikan impak yang besar kepada sistem pendidikan kita di mana kita sekarang ini jauh ketinggalan. Ini sebagai satu contoh,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam program Diskusi N49 yang disiarkan oleh facebook UMNO-online setiap malam sempena PRK Sungai Kandis.

Adnan seorang peguam berkata, beliau tidak hairan jika kerajaan PH hari ini menjadi bahan-bahan jenaka dan lawak di media sosial oleh netizen.

“Dengan berlakunya isu-isu polemik sejak dua bulan kebelakangan ini apabila menteri bercerita soal pendatang, menteri bercerita tentang soal kawat, tentang jumlah ikan di laut dan sebagainya, maka tidak hairankan kerajaan PH hari ini teruk dijadikan bahan ‘troll’ oleh netizen di media sosial.

“Sepatutnya pemimpin PH, apabila mereka memberitahu rakyat kononnya BN tidak patut dipilih semula sebagai kerajaan, mereka sepatutnya dalam keadaan bersedia, kerana mereka akan mengambil tampuk pemerintah negara sekiranya mereka menang, dan ini telah pun berlaku.

“Dan apabila mereka memerintah negara, segala tindak tanduk mereka itu akan memberikan impak tidak sahaja kepada penyokong PH, tetapi juga kepada semua rakyat di seluruh negara. Jadi apabila kerajaan membuat sesuatu dasar, maka ia akan melibatkan rakyat secara keseluruhannya dan bukan hanya penyokong PH semata-mata,” tegasnya lagi.-1/8/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 279  tetamu dalam talian