01Oktober2014

Masalah jadi orang Nombor 2…

Bermula dengan menang jawatan Naib Ketua Pemuda kemudian dilantik Timbalan Menteri, dan terbaru dipilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO menyebabkan Datuk Razali Ibrahim dilihat lebih ke depan berbanding bosnya, Khairy Jamaluddin.

Maka macam-macam cerita disebalik perlantikan beliau tambahan pula Khairy, walaupun menang Ketua Pemuda tidak tersenarai dalam kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Malah ada yang sudah buka cerita kononnya jawatan Ketua Pemuda UMNO seolah-olah dalam tangannya jika ada perebutan jawatan itu pada masa depan.

Bagaimanapun, bagi sesiapa yang mengenali Ahli Parlimen Muar itu, beliau bukanlah seorang yang mudah terpengaruh dengan bisikan sesetengah pihak yang mahu melihat mereka seperti tidak ‘ngam’ atau ada kem masing-masing dalam Pemuda.

“Itu semua persepsi. Saya dan Khairy okay. Dalam politik persepsi dan spekulasi dah jadi mainan. Sejak pemilihan dalam perhimpunan Agung UMNO (PAU) dulu, macam-macam cerita saya dengar. Saya Cuma malas nak layan. Bagi saya yang penting, saya buat kerja,” katanya dalam interbiu dengan Agendadaily baru-baru ini.


Razali mengakui turut mendengar orang mempertikaikan cara beliau dan Khairy yang amat berbeza mungkin membawa masalah kepada Pemuda.

“Memang cara dan pendekatan kami berbeza, tetapi perbezaan itulah yang dapat menggerakkan Pemuda dengan lebih berkesan. Saya lebih suka memandang perbezaan sebagai satu kelebihan dan meraih faedah daripada perbezaan itu dengan menukarnya kepada sesuatu yang negatif,” katanya.

Razali menegaskan antara Khairy dan beliau tidak ada sebarang masalah tetapi tidak menafikan menghadapi masalah kecil di kalangan pengikut masing-masing.

“Saya tidak nafikan ada sedikit masalah di kalangan pengikut, tetapi Khairy dan saya akan bersama-sama memikul tanggungjawab mengendalikan pengikut masing-masing.

“Untuk mengendalikan pengikut bukan mudah. Apabila saya membuat sesuatu keputusan, ada yang tidak berkenan atau tidak serasi dengan pendekatan saya. Saya menyedari risiko yang bakal dihadapi kerana kadangkala saya terpaksa berbuat sesuatu tidak mengikut cakap mereka. Tetapi saya kena tegas demi keutuhan parti.

“Sekiranya pengikut percaya kepada saya, mereka seharusnya fahami tindakan saya adalah untuk kepentingan parti. Mereka harus memberi kepercayaan dan mendengar cakap saya,” katanya.

Razali berkata halangan dan cabaran paling besar buatnya ketika ini ialah menjadi Nombor 2.

“Menjadi Nombor 2 dalam Pemuda dan Kementerian Belia dan Sukan agak mencabar. Kadang-kadang orang lupa saya Nombor 2 dan menganggap saya ada kuasa penuh untuk berbuat sesuatu. Tetapi menjadi Nombor 2 tidak bermakna saya tidak boleh buat kerja. Bagaimanapun apa yang saya buat haruslah seiringan dengan Nombor 1. Tetapi setakat ini, Alhamdulillah, Khairy dan Datuk Shabery memberikan saya ruang dan kepercayaan untuk mengetengahkan idea-idea.

“Cabaran kedua ialah bagaimana saya boleh melakukan tugas sebagai Nombor 2 dengan penuh tanggungjawab dan berkesan. Sebarang Nombor 2 kita berperanan menjadi orang kanan yang boleh dipercayai dan diharapkan. Satu kapal tidak boleh mempunyai dua nakhoda,” katanya.

Razali mengakui faktor umur memberinya sedikit kelebihan sebagai Naib Ketua Pemuda dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan.


“Memang saya berada dalam golongan belia (15-40). Saya tidak berada dalam peringkat umur yang baik, tetapi yang paling dekat. Ini memberikan kelebihan kepada saya untuk mendekati dan memahami golongan muda.

“Sehubungan itu saya mengamalkan dasar pintu terbuka. Golongan muda boleh datang ke pejabat saya pada bila-bila masa. Saya akan bersemuka dan berbincang dengan mereka secara berkumpulan. Selain menjimatkan masa, saya juga mahu antara kami tidak ada rahsia.

“Dengan cara ini, semua orang dapat mendengar dan memahami masalah masing-masing serta berkongsi idea. Tidak lama lagi, saya akan meletakkan satu kain rentang gergasi yang dipanggil “Ekspresi Minda” di luar pejabat saya. Golongan belia atau sesiapa sahaja yang datang boleh menulis komen atau cadangan di kain rentang itu. Di situ saya boleh mendapat maklum balas secara langsung,” katanya.

Ramai orang bercakap mengenai mendekati dan memahami belia. Apakah pendekatan yang dilakukan oleh kementerian?

“KBS mahu memberi peluang kepada golongan belia merancang dan melaksanakan program mereka sendiri. Kami akan jadi pemandu sahaja. Sehubungan itu individu atau persatuan belia yang mempunyai cadangan, terutama yang memanfaatkan visi 1Belia 1Malaysia dialu-alukan datang kepada kami.

Ditanya apakah kesilapan ketara yang dilakukan oleh pemimpin atau kerajaan kepada belia sebelum ini, Razali berkata, pemimpin tidak bercakap dalam bahasa yang sama dengan belia, lantas tidak dapat memahami mereka. Selain itu katanya, pemimpin lebih bersikap menghukum daripada memahami.

“Golongan muda tidak suka dipersalahkan setiap kali berlaku gejala kurang sihat. Selain itu golongan muda sekarang tidak berminat mendengar cerita pasal PPRT, Bursa Saham, SPNB, Projek Basmi Kemiskinan dan sebagainya yang tidak berkaitan dengan mereka.

“Golongan muda sekarang dilahirkan selepas peristiwa 13 Mei dan bagi mereka, apa yang berlaku sebelum mereka dilahirkan adalah tidak relevan. Maka untuk pilihanraya umum akan datang, perkara ini tidak harus digunakan sebagai modal.

“Kita mesti menyedarkan golongan ini supaya mengundi untuk apa yang mereka percaya dapat menjamin masa depan masing-masing, dan bukannya berdasarkan perkara yang dibenci.

“Golongan muda kena ada sifat mementingkan diri sendiri. Mereka mesti mementingkan masa depan dan apa yang dimahukan. Jangan kerana mual atau benci dengan keadaan politik, mereka undi mengikut perasaan.

“BN sudah lama dibina. Nak runtuh sekejap aja. Sehubungan itu penting kita memahami bakal 2 juta pengundi baru pada Pilihanraya Umum (PRU) akan datang. Kita berada dalam zon bahaya sekarang. Kita mesti nasihat dan tanamkan di dalam fikiran golongan muda supaya jangan mengundi atas semangat kebencian kerana mereka tidak mendapat faedah apa-apa.

“Masalahnya sekarang golongan muda mudah dimanupulasi kerana walaupun ada pengetahuan, mereka tidak ada pengalaman. Lantas mereka senang dipergunakan oleh golongan yang mempunyai agenda dan kepentingan tersendiri.

“Pemimpin pula kena jujur, ikhlas dan amanah. Pendekatan juga haruslah kreatif dan mengikuti perkembangan semasa. Itulah sebabnya saya menggunakan “facebook”. Saya sentiasa menggunakan internet. Jika saya tidak membuka laptop, saya akan memeriksa email dan mesej di handphone. Facebook memang berkesan. Saya menerima berpuluh aduan, cadangan dan maklumbalas sehari.

“Nasihat saya kepada golongan belia, terutama yang tidak peduli dengan apa yang berlaku di sekeliling – mereka harus mengambil berat kerana ia berkaitan dengan masa depan mereka. Jika tidak puashati terhadap sesuatu, luahkan, jangan pendamkan.

“Jangan biarkan diri diperalatkan. Adalah tidak salah untuk menyuarkan keinginan dan harapan. Beritahu kami dan sama-sama kita mencari penyelesaian,” katanya mengakhiri perbualan.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 639  tetamu dalam talian