13Disember2018

Yayasan CIMB 'suntik' sukan gimnastik

Selepas skuasy dan berbasikal, Yayasan CIMB kini memberi penajaan sebanyak RM550,000 setahun kepada Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) untuk memperkasakan Program Pembangunan Gimnastik CIMB-MGF.

Presiden MGF, Datuk Mohd Jaya Al Bakri berkata kerjasama itu adalah bagi tempoh tiga tahun dengan tambahan pilihan selama setahun lagi bagi membangunkan sukan gimnastik artistik dan gimrama.

“Pembangunan gimnastik ini merangkumi pembangunan gimnas, jurulatih dan juga pengadil,” katanya selepas pelancaran Program Pembangunan Gimnastik CIMB-MGF oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Menara Bumiputera-Commerce di sini hari ini.

Menerusi penajaan itu, Mohd Jaya berkata program berkenaan diharap dapat mencungkil lebih ramai lagi atlet gimnas di peringkat umur yang lebih awal.

“Diharap nanti, kita akan mempunyai lebih ramai bilangan gimnas, atlet yang bukan sahaja mengharumkan nama negara di Sukan Komanwel tetapi juga hingga ke Sukan Olimpik satu hari nanti,” katanya.

Pada majlis pelancaran yang turut diadakan sempena Hari Wanita Sedunia itu, Perdana Menteri turut menyampaikan penajaan Akademi Skuasy CIMB kepada dua pemain skuasy iaitu S Sivasangari dan Ng Eain Yow.

Mereka menerima penajaan berjumlah RM1.5 juta bagi pengajian di universiti tempatan selama tempoh tiga tahun.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan CIMB, Datuk Hamidah Naziadin berkata pihaknya berbangga dengan kerjasama bersama MGF dalam program pembangunan sukan yang pertama memberi tumpuan kepada wanita, seiring dengan fokus pihaknya dalam memberi kesan jangka masa panjang kepada penerima.

“Sukan mempunyai potensi yang besar dalam memperkasa wanita, menyediakan platform kepada mereka untuk bersinar di samping lelaki, serta mempromosi kesamarataan jantina dan masyarakat yang lebih seimbang,” katanya.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata pemilihan sukan gimnastik adalah bertepatan dalam membantu membangunkan pelbagai jenis sukan di tanahair.-9/3/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 330  tetamu dalam talian