11Disember2018

Presiden MOM: Norza calon terbaik ganti Tunku Imran

Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dilihat sebagai antara calon terbaik untuk mengisi kekosongan kerusi presiden badan induk sukan negara yang bakal ditinggalkan Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar pada pemilihan ahli lembaga eksekutif 2018 yang akan berlangsung, Jun hadapan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memberi bayangan awal mengenai keyakinannya terhadap Mohamad Norza kerana Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu memiliki pengalaman yang cukup luas dan berkelayakan untuk mengisi kekosongan ‘kerusi panas’ tersebut.

“Kalau kita lihat dari hierarki, timbalan presiden saya lihat mempunyai kelayakan dan berpengalaman. Sebagai orang muda, Datuk Seri Norza boleh dipertimbangkan.

“Saya sendiri bertanya kepada beliau (Tunku Imran) sama ada perkara ini tepat atau tidak dan beliau mengesahkan tidak akan bertanding pada pemilihan akan datang kerana sudah mencapai usia 70 tahun dan saya menghormati keputusan ini.

“Beliau masih menawarkan khidmat selaku penasihat tidak rasmi, sebagai seorang yang sentiasa memberi nasihat untuk MOM atau sukan Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, Tunku Imran telah menyuarakan hasratnya untuk berundur daripada MOM selepas berjaya mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan 2015 dan menyifatkan kepimpinan sekarang merupakan sebuah pasukan yang sangat baik.

Beliau juga enggan mengulas mengenai calon-calon yang berpotensi untuk mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkannya itu sambil menyifatkan MOM tidak pernah ketandusan bakat-bakat baharu.

Sementara itu, Khairy memberitahu, selepas tamat penganjuran Sukan SEA 2017, tumpuan Malaysia kini terarah kepada Sukan Komanwel dan Sukan Asia yang akan berlangsung pada April dan Ogos tahun hadapan.

Katanya, dua temasya sukan itu merupakan ujian sebenar buat kontinjen Malaysia dan mereka perlu membuktikan bahawa mereka bukan sekadar jaguh serantau tetapi boleh mencapai kejayaan di sana.

“Sukan SEA lebih tertumpu memberi pendedahan kepada atlet pelapis tetapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia adalah cabaran sebenar,” katanya.-20/11/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 389  tetamu dalam talian