14November2018

PFAM kecam penyebaran senarai gaji pemain Kedah

Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) menyelar tindakan segelintir individu tidak bertanggungjawab yang menularkan senarai gaji pemain skuad Liga Super Kedah bagi musim 2018.

Setiausaha PFAM Ahmad Fauzi Saari berkata isu berkaitan gaji merupakan perkara yang amat sensitif dan kebocoran maklumat itu adalah pencabulan privasi terhadap pemain.

Beliau berkata tindakan itu adalah tidak profesional dan bertentangan dengan nilai integriti serta prinsip profesionalisme yang ditekankan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pentadbir Liga Malaysia, Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

"Ia boleh memberi ancaman keselamatan kepada pemain dan keluarga pemain. Keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya maklumat yang dipaparkan itu adalah tidak benar, sekali gus memberi kesan negatif kepada pemain," katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, katanya, PFAM mendesak pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap individu berkenaan untuk mengelak perkara sama berulang.

Senarai gaji pemain skuad Liga Super Kedah itu tular di laman Facebook sejak Rabu.-8/2/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 433  tetamu dalam talian