20September2018

Peluang Chong Wei tambah kutipan emas negara

Peluang kontinjen negara untuk menambah kutipan pingat dalam acara badminton kini terletak di bahu dua wakil negara, Datuk Lee Chong Wei dan beregu wanita, Vivian Hoo-Chow Mei Kuan yang mara ke final acara individu di Sukan Komanwel 2018.

Dalam aksi separuh akhir di Carrara Sports and Leisure Centre hari ini, Chong Wei menewaskan pemain India, H.S Prannoy 21-16, 9-21, 21-15 dalam masa 58 minit.

Chong Wei, pemain ketujuh dunia, akan menentang pemain nombor satu dunia, K. Srikanth dari India yang menewaskan jaguh Malaysia itu 21-17, 21-14 dalam final acara berpasukan campuran, Isnin lalu.

Srikanth pula dengan mudah menempah slot final dalam masa 31 minit apabila menjinakkan pemain England, Rajiv Ouseph, 21-10, 21-17 pada satu lagi aksi separuh akhir.

Chong Wei berkata beliau memang sudah bersedia untuk menghadapi tentangan sengit daripada pemain India itu dan mula mengikuti rentak pantas lawannya itu pada set penentuan selepas ketinggalan jauh pada set kedua.

"Ini bukan tenaga tambahan (saya fikir) sebab ini adalah Sukan Komanwel terakhir bagi diri saya."

"Kalau kalah nanti saya kena main untuk penentuan gangsa. Bukan senang sebab tidak cukup masa untuk pulih," katanya.

Mengulas pertemuan dengan Srikanth di pentas final, Chong Wei berkata tekanan akan lebih dihadapi oleh lawannya berusia 24 tahun itu kerana statusnya sebagai pemain nombor satu dunia.

Sebaliknya, Chong Wei, yang menjangkau usia 36 tahun, Oktober ini, berkata beliau tidak mahu rasa tertekan walaupun mempunyai matlamat menyumbng emas kepada kontinjen negara.

Sementara itu, satu lagi wakil negara dalam acara beregu wanita, Vivian-Mei Kuan akan berdepan pasangan England, Lauren Smith-Sarah Walker dalam penentuan pingat emas.

Vivian-Mei Kuan sebelum itu menampilkan aksi bertenaga apabila berjaya mengetepikan gandingan India, N.Sikki Reddy-Ashwini Ponnappa, 17-21, 21-15, 21-4, dalam pertarungan selama 68 minit itu.

Gandingan England sebelum itu menewaskan pasangan tuan rumah, Setyana Mapasa-Gronya Somerville 21-15, 21-15.

Mengenai perlawanan esok, Vivian berkata kedua-dua pemain berpeluang meraih kemenangan namun ia bergantung kepada prestasi pada hari pertandingan.

"Saya harap kita akan masuk gelanggang dengan lebih yakin dan dapat bermain dengan baik. Baru kita dapat hasilkan keputusan yang lebih baik. Buat masa ini kami tidak mahu fikir mengenai pingat emas, ia mungkin beri kami tekanan," katanya.

Dalam acara perseorangan wanita, India sudah terjamin pingat emas dan perak apabila Saina Nehwal menentang Pusparla Venkata pada acara final.-14/4/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 507  tetamu dalam talian