18Januari2019

Norza menang tanpa bertanding Presiden Majlis Olimpik Malaysia

Memperbaiki pencapaian dalam Sukan Asia 2018 dan meneruskan hasrat membida Sukan Komanwel 2026 akan menjadi fokus utama Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria selaku orang No. 1 Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selepas diumum menang tanpa bertanding sebelum pemilihan badan sukan negara itu pada 5 Mei ini.

Dalam majlis pengumuman pencalonan pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MOM hari ini, Mohamad Norza menang tanpa bertanding untuk jawatan Presiden bagi penggal 2018-2021 setelah tiada calon lain dinamakan bagi mencabarnya dalam sesi pemilihan pada bulan depan.

Mohamad Norza berkata, lima pingat emas, 14 perak dan 14 gangsa yang diraih kontinjen negara dalam Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan harus diperbaiki dalam temasya pada tahun ini di Jakarta-Palembang Ogos nanti.

“Saya tahu ini merupakan tugas sukar tetapi tidak mustahil untuk dilaksanakan dan kerana itu dalam Sukan Asia Ogos depan sasaran kita adalah untuk memperbaiki pencapaian di Incheon empat tahun lalu.

“Dalam masa sama, kita akan teruskan misi memburu pingat emas pertama untuk negara dalam Sukan Olimpik di Tokyo nanti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada 5 Mei ini Mohamad Norza akan diumumkan secara rasmi sebagai Presiden MOM keenam selepas penyandang Tunku Imran Tuanku Ja’afar memilih untuk berundur selepas dua dekad menduduki jawatan No. 1 itu.

Mohamad Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mendapat empat pencalonan sebagai Presiden MOM yang baharu dan telah berbakti bersama badan sukan negara itu sejak 2015 sebagai Timbalan Presiden.

Dalam pada itu, Mohamad Norza turut memberitahu dia sedia untuk mengemukakan cadangan kepada Menteri Belia dan Sukan selepas selesai Pilihan Raya Umum ke-14 berhubung hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026.

“Ini adalah hasrat Tunku Imran yang sangat baik. Malaysia pernah menjadi tuan rumah beberapa temasya sukan sebelum ini dan infrastruktur yang kita ada juga adalah antara terbaik.

“Bagi saya menjadi tuan rumah Sukan Komanwel adalah satu penghormatan,” katanya.

Malaysia pernah menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada 1998 yang berlangsung di Kuala Lumpur.-25/4/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 477  tetamu dalam talian