17Januari2018

Ini barisan terbaik pemain badminton negara ketika ini

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menyifatkan barisan pemain yang dipilih untuk menggalas cabaran negara di Kejohanan Berpasukan Asia (Kelayakan Piala Thomas) di Alor Setar, Kedah pada 6 hingga 11 Feb ini merupakan pasukan terbaik ketika ini.

BAM mengumumkan senarai pemain pada kejohanan itu akan diketuai Datuk Lee Chong Wei, Lee Zii Jia, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Soong Joo Ven bagi acara perseorangan lelaki manakala beregu lelaki terdiri daripada Tan Wee Kiong-Goh V Shem, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Muhd Rumsani.

BAM turut menyenaraikan Leong Jun Hao sebagai pemain perseorangan pilihan keempat untuk tujuan pendedahan.

"Pemilihan pemain tersebut dibuat menerusi ranking dalaman yang dilakukan secara mingguan oleh ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek," katanya.

"Setiap pemain diberikan peluang untuk berlawan antara satu sama lain yang akan menentukan ranking dalaman tersebut. Mereka merupakan senarai terkini pemain-pemain yang ingin diketengahkan jurulatih.

"Pemilihan Iskandar kerana tahun ini beliau perlu membuktikan prestasinya. Memandangkan Iskandar telah pulih daripada kecederaan dan keyakinan diri, Misbun memaklumkan beliau (Iskandar) sudah bersedia menghadapi cabaran yang lebih besar tahun ini.

"Kombinasi Iskandar dan Zii Jia adalah yang terbaik. Zii Jia dari segi ranking adalah kedua terbaik selepas Chong Wei," katanya.

Bagi senarai beregu pula, Mohamad Norza berharap V Shem-Wee Kiong mendapat semula prestasi cemerlang mereka setelah digandingkan semula tahun ini.

Mohamad Norza berkata Kejohanan Thailand Masters, Malaysia Masters, Indonesia Masters dan Terbuka India pada bulan ini merupakan kejohanan yang penting untuk kesemua pemain menyiapkan diri dalam misi meraih kelayakan Piala Thomas.

Malaysia kini menghuni tempat ketujuh dalam ranking dunia di hadapan Indonesia, India serta Hong Kong dan perlu menamatkan Kejohanan Berpasukan Asia di kedudukan empat terbaik bagi mendapatkan slot automatik Piala Thomas di Bangkok, Mei depan.

Sekiranya gagal ke separuh akhir dan tiga pasukan di bawahnya berjaya ke saingan empat terbaik, Malaysia buat kali pertama dalam sejarah penglibatannya, gagal ke kejohanan Piala Thomas.

Dalam pada itu, Mohamad Norza turut mengumumkan senarai pemain wanita di Kejohanan Berpasukan Asia untuk kelayakan Piala Uber iaitu terdiri daripada pemain perseorangan Soniia Cheah; Goh Jin Wei; Lim Yin Fun dan S. Kisona manakala beregu, Vivian Hoo-Woon Khe Wei; Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Yap Chen Wen-Goh Yea Ching.-5/1/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 636  tetamu dalam talian