23November2017

Filem 'Rise of Legend' ditayangkan awal tahun depan...

Akhirnya, peminat Datuk Lee Chong Wei dapat menyaksikan filem kisah perjalanan hidup pemain badminton nombor satu negara itu apabila ia akan mula ditayangkan awal tahun hadapan.

Filem 'Rise of Legend' arahan Teng Bee itu mengisahkan sepenuhnya mengenai penglibatan awal Chong Wei dalam arena badminton sehingga menjadi jaguh terkemuka dunia.

Chong Wei berharap filem biografi mengenai dirinya akan menjadi inspirasi bukan sahaja kepada rakyat Malaysia, malah untuk peminat sukan badminton di seluruh dunia.

"Saya tidak sangka kisah hidup saya sebagai pemain badminton dijadikan filem. Saya berharap filem ini menjadi inspirasi kepada semua peminat badminton tempatan dan luar negara.

"Filem ini mengisahkan cabaran kehidupan saya sebagai pemain badminton dan saya berharap dapat mendorong penonton untuk lebih suka sukan badminton dan tidak mudah berputus asa," katanya kepada pemberita selepas sidang media filem berkenaan pada Khamis.

Chong Wei yang juga meluangkan masa untuk turun padang ketika kru produksi mengadakan sesi uji bakat bagi pemilihan pelakon bagi menjayakan wataknya.

Filem yang dirancang sejak tiga tahun lepas itu mengambil masa pengambaran 50 hari dan melibatkan lebih 2,000 peserta uji bakat untuk melakonkan watak Chong Wei.

Beliau turut berpuas hati dengan lakonan Tosh Chan bagi watak dewasa dan Jake Eng untuk watak ketika kanak-kanak.

Chong Wei berkata pihak produksi juga bercadang menayangkan filem tersebut di luar negara seperti Singapura, China, Taiwan dan Jepun.

Antara pelakon membintangi filem itu adalah Datuk Rosyam Nor yang memegang watak jurulatih kebangsaan Datuk Misbun Sidek, Ashley Ashley (Datin Wong Mew Choo), pelakon terkenal Singapura, Mark Lee (bapa Chong Wei, Lee Ah Chai) dan Yeo Yann Yann (ibu Chong Wei, Khor Kim Chooi).

Sementara itu, Rosyam berkata filem tersebut bukan sahaja mengisahkan perjalanan hidup Chong Wei tetapi turut memaparkan hubungan erat antara Chong Wei dan Misbun yang diibaratkan seperti bapa dan anak.

"Saya bersetuju menerima tawaran melakonkan watak Misbun kerana impak filem ini bukan fiksyen tetapi realiti. Saya percaya filem ini mampu menjadi rujukan pada masa akan datang," kata Rosyam.-10/11/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 653  tetamu dalam talian