20Ogos2017

Chong Wei buru gelaran baru selepas juarai All England...

Sebaik menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Juara All England, Datuk Lee Chong Wei melaungkan keazaman untuk memburu gelaran ke 12 Terbuka Malaysia yang akan berlangsung di Kuching, Sarawak bermula 4 hingga 9 April ini.

Beliau selamat tiba di KLIA, sebentar tadi.

Ahad lalu, Chong Wei mudah 'mengajar' pemain China, Shi Yuqi 21-12, 21-10 pada pentas akhir Seluruh England di Arena Barclaycard, Birmingham. Chong Wei membuktikan statusnya sebagai pemain nombor satu dunia apabila tidak berdepan masalah membenam pemain berusia 21 tahun itu secara straight set dalam tempoh 45 minit.

Keputusan ini sekali gus menyaksikan pemain berusia 34 tahun itu menamatkan penantian tiga tahunnya untuk meraih kejuaraan terbabit apabila meraih mahkota berprestij itu buat kali keempat selepas kali terakhir pada 2014.

Jaguh perseorangan negara itu, berkata dia sangat berharap dapat merealisasikan impian itu apatah lagi beraksi di laman sendiri.

"Terbuka Malaysia sangat penting untuk saya dan saya akan buat persiapan yang terbaik untuk memenanginya buat kali ke-12 tahun ini.

"Sebelum Terbuka Malaysia saya akan beraksi di Terbuka India terlebih dulu dan harap boleh dapat keputusan yang baik," kata Chong Wei.

Turut menyambut Chong Wei ialah Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamed Al Amin Abd Majid, Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai dan pegawai kanan badan induk itu.

Isteri Chong Wei, Datin Wong Mew Choo dan dua anak mereka, Kingston serta Terrance turut menyambut ketibaan pemain nombor satu dunia itu.

Tahun lalu, Chong Wei mencipta sejarah baharu Terbuka Malaysia apabila merekodkan gelaran ke-11 Terbuka Malaysia sekali gus menjadi pemain terbanyak muncul juara kejohanan itu sejak ia diperkenalkan pada 1937.

Chong Wei bagaimanapun akan berlepas ke New Delhi untuk aksi Terbuka India yang bermula 28 Mac hingga 2 April ini.

"Saya ada lebih kira-kira dua minggu untuk membuat persiapan bagi kedua-dua kejohanan ini. Saya akan bincang dengan jurulatih (Hendrawan dan Tey Seu Bock) bagi memastikan saya berada pada tahap terbaik," katanya.-14/3/2017


loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 615  tetamu dalam talian