23Oktober2017

Bonus RM30,000 jika menang lawan Hong Kong - TMJ

Skuad Harimau Malaya menerima suntikan semangat menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2019 menentang Hong Kong di Stadium Hong Kong pada Selasa, apabila dijanjikan imbuhan RM30,000 seandainya berjaya menewaskan pasukan tuan rumah itu.

Berita baik itu diumumkan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi sidang video bersama pemain dan ketua jurulatih, Nelo Vingada, dari Johor Bahru yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi FAM semalam.

Tunku Ismail berkata kemenangan ke atas Hong Kong itu amat ditagih bagi menutup mulut segala kritikan yang dilemparkan terhadap skuad kebangsaan kendalian Vingada itu.

"Mata manusia tidak pernah menipu, kalau seluruh rakyat negara ini termasuk saya nampak anda semua memberi 110 peratus, kalah atau menang pun kita puas hati.

"Kalau menang perlawanan ini, saya bagi bonus RM30,000. Seluruh rakyat Malaysia di belakang anda dan mendoakan kejayaan anda," katanya.

Kunjungan skuad kebangsaan ke Hong Kong hanya mempunyai satu misi untuk meraih tiga mata penting bagi mencerahkan peluang melayakan diri ke Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Anak didik Vingada sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Hong Kong pada aksi di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 5 Sept lalu, dan tewas 1-2 di tangan Lubnan pada perlawanan pembukaan peringkat kumpulan pada 13 Jun.

Setakat ini, Malaysia menduduki tangga tercorot Kumpulan B dengan mengumpul satu mata daripada dua perlawanan dan Lubnan mendahului kumpulan dengan tujuh mata dari tiga perlawanan manakala Korea Utara dan Hong Kong berkongsi dua mata.

Dalam pada itu, Tunku Ismail menegaskan kepada semua pemain untuk tidak menghiraukan kritikan daripada pihak yang tiada kaitan dalam arena bola sepak.

"Pertama sekali, ambil benda ini sebagai satu peluang untuk kita jawab balik setiap kritikan. Apa paling mustahak adalah anda semua berikan yang terbaik, saya tidak kisah apa orang lain nak cakap, saya sentiasa berada di belakang anda,” katanya.-10/10/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 772  tetamu dalam talian