10Disember2018

TAHNIAH DAN SYABAS KEPADA UMNO/ BN KERANA MEMENANGI DUN PENGKALAN PASIR

  Ucapan tahniah dan syabas seharusnya diberikan kepada UMNO/BN dibawah kepimpinan Pak Lah, Perdana Menteri yang kita sayangi dan sanjungi diatas kemenangan calonnya Hanafi Mamat dalam pilihanraya kecil DUN Pengkalan Pasir baru-baru ini.

 

UMNO di bawah kepimpinan Pak Lah membawa pendekatan Islam Hadhari dengan konsepnya antara lain menekankan Keimanan dan Ketaqwaan kepada Allah, Kerajaan yang Adil dan Amanah, Rakyat yang Berjiwa Merdeka, Penguasaan Ilmu Pengetahuan, Pembangunan Ekonomi Seimbang, Keutuhan Budaya dan Moral dan lain-lainnya.

Saya berada di kawasan DUN tersebut untuk beberapa hari bersama anak saya Muhammad Asri yang kebetulan pernah belajar di Tahfiz Kampung Danga, Pasir Mas sebelum melanjutkan pengajiannya dalam lapangan Syariah di Universiti Jordan, Amman. Kini beliau bertugas di sebuah firma Peguam Syarie. Kami berkesempatan mengikuti program lawatan sehari Pak Lah ke DUN Pengkalan Pasir semasa kempen pilihanraya kecil tersebut.

Pada pendapat saya ada beberapa faktor yang menyebabkan kemenangan memihak kepada UMNO/BN dan tidak kepada PAS.

Pertamanya, jentera parti UMNO/BN telah bergerak dengan lancar walaupun ada masaalah dalaman UMNO yang cuba diambil kesempatan oleh PAS. PAS ibarat menangguk di air keruh tapi nyata strategi nya gagal. UMNO/BN dapat mengatasi masaalah dalamannya dengan baik dan bijaksana dan jenteranya tetap berjalan lancar walaupun pihak musuhnya cuba mengelirukan keadaan dengan cerita dan dakyah yang bukan-bukan.

Keduanya, PAS terlalu yakin akan menang kerana adanya calun bebas yang telah berjaya mendapat undi sebanyak 1,600 dari DUN Pengkalan Pasir semasa Pilihanraya Umum 2004 yang lalu. Tambahan pula kali ini calun bebas yakin dapat menarik undi sebanyak 1,400 daripada penyokong UMNO. Senario ini tentunya akan memberi kemenangan selesa kepada PAS.

Oleh itu PAS nampak benar, pada pemerhatian saya, berada dalam zon selesa dan terlalu yakin menang kerana mereka merasakan dengan cerita adanya permasaalahan dalam UMNO dan juga adanya calun bebas yang akan memecahkan undi UMNO, kemenangan semestinya akan berpihak kepada PAS. Itulah perkiraan mereka.

Ini berbeza dengan pemimpin-peminpin UMNO seperti Dato Seri Najib, Tan Sri Muhammad , Dato Annuar Musa, Dato Mustapha Mohamad, Dato Seri Shahidan Kassim dan pemimpin Pemuda UMNO seperti Sdr Khairy Dato Jamaluddin yang bertungkus lumus berkempen dengan penuh dedikasi untuk memenangkan calun UMNO/BN.

Mereka telah berkampung di Pengkalan Pasir seperti juga Sdri Noraini , Ketua Puteri UMNO dan juga Sdri Nora Azmin Radzuan selaku Ketua Puteri UMNO Selangor yang juga berkerja kuat demi kemenangan parti yang amat dicintai.

Sdri Nora Azmin ini banyak orang menyangka adalah anak saya. Saya akan merasa amat bertuah kalau ia benar-benar anak saya kerana ia seorang profesyenal , seorang akauntan yang bersopan santun, lulusan dari sebuah universiti di Australia dan sekarang ini pula merupakan seorang konsultan kewangan.

Saya juga berkesempatan bertemu dengan bekas Ketua Wanita Sabah merangkap Exco Wanita UMNO Pusat iaitu YB Senator Dato Dayang Mahani yang turut memberi sokongan moral kepada kempen UMNO. Beliau adalah isteri kepada sahabat lama saya Onn Arrifin yang berasal dari Muar, Johor tapi kini menetap di Sabah. Saya tidak sempat bertanya pada Dayang tentang perkembangan projek perfileman suaminya.

Dengan senario yang saya nyatakan di atas yang mana PAS menyangka akan menang dengan selesa alangkah terkejutnya pemimpin dan penyokong PAS apabila pengumuman tidak resmi mendapati UMNO/BN menang dengan majoriti 129 undi. Selepas pengiraan semula hari berikutnya iaitu pada 7 Disember 2005 dalam pengumuman resmi, UMNO/BN telah memenangi kerusi DUN Pengkalan Pasir dengan majoriti 134 undi.

Reaksi pemimpin dan penyokong PAS menunjukkan mereka tidak dapat menerima kekalahan mereka. Malah mereka cuba mencari kambing hitam untuk di salahkan. Isu seperti undi hantu dan undi pos mula dibangkitkan. Lalu kedengaranlah ura-ura untuk ke mahkamah membantah keputusan pilihan raya kecil tersebut.

Pokok persoalan di sini ialah PAS menggunakan strategi salah yang telah memakan tuan. Mereka terlalu sangat mempercayai kenyataan calun bebas yang akan menarik undi UMNO sebanyak 1,400 undi ke pihak calun bebas. Bila calun bebas hanya dapat 415 undi dan hilang wang depositnya jelas PAS terperangkap dengan strateginya yang nyata silap.

Jadi pada saya PAS dalam sesi post-mortemnya haruslah menilai sejauh mana perjuangannya masih relevan berdepan dengan pendekatan Islam Hadhari yang di bawa oleh UMNO di bawah kepimpinan Pak Lah. Malah Islam Hadhari ini semakin di terima di peringkat OIC sendiri. Ini jelas semasa Mesyuarat Kemuncak OIC baru-baru ini di Jeddah, Arab Saudi.

Persoalannya adakah memadai rakyat hanya mendengar kuliah setiap hari Jumaat sedangkan kerajaan negeri tidak ada membawa apa-apa pembangunan ekonomi kepada rakyat?

Tidak kah penting adanya perseimbangan di antara ukhrawi dan duniawi? Perseimbangan antara fardu ain dan fardu kifayah?

Bukankah kita harus melalui alam dunia dalam perjalanan ke alam akhirat? Harus kah orang Islam miskin di dunia untuk selamat di akhirat? Bagaimana dengan Saidina Abu Bakar as Sidik seorang sahabat, bapa Aisyah yang menjadi isteri Nabi Muhammad s.a.w, itu adalah seorang yang hartawan ?


Bagaimana dengan Nabi Sulaiman ‘a.s. seorang Nabi yang kaya raya?

Inilah isu yang harus difikirkan oleh PAS sekiranya ia mahu masih relevan lagi dalam lanskap politik kontemporari Malaysia .

Pertanda sudah nyata bahwa gelombang biru akan melanda negeri Kelantan, negeri Siti Wan Kembang ini, sekiranya PAS tiada jawapan kepada pendekatan Islam Hadhari yang dibawa oleh Pak Lah , Perdana Menteri Malaysia yang kita hormati dan kasihi.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 258  tetamu dalam talian