16Januari2018

SURAT KEPADA ANAK SAYA YANG BELAJAR DI SEBUAH SEKOLAH BERASRAMA PENUH

Surat ini ditujukan bukan sahaja kepada anak saya Muhammad Firdaus yang sedang belajar di Tingkatan Lima di Sekolah Alam Shah, Putrajaya malah kepada semua pelajar-pelajar Sekolah Berasrama Penuh ( SBP) di seluruh tanah air.

 

Kamu semua adalah anak-anak yang bertuah apabila diterima memasuki SBP samaada pada Tingkatan Satu atau Tingkatan Empat kerana kamu memasuki sebuah institusi yang serba terjaga persekelilingnya. Saamada dari taraf tenaga guru yang berpengalaman, masa pembelajaran yang teratur, makanan yang seimbang dan adanya kemudahan untuk riadhah dan sukan.

Pendek kata suasana yang terdapat adalah menjurus kepada kecemerlangan dalam pelajaran dengan ditekankan juga mengenai aspek-aspek agama yang sama-sama penting dalam menyediakan seorang pelajar itu menjadi saorang dewasa yang serba boleh menghadapi apa juga dugaan dan pancaroba dalam kehidupan sehari-hari masa depan mereka yang mendatang.

Sebuah sekolah yang mempunyai kemudahan seperti SBP misalnya di Amerika Syarikat atau di Britain akan mengenakan bayaran yang tinggi yang hanya mampu di masuki oleh anak-anak orang-orang kaya dan hartawan. Tentunya yuran yang dikenakan tidak termampu oleh kerani, guru biasa atau polis di negara-negara tersebut.

Jadi dengan mendapat pendidikan di SBP dan produk SBP kamu mempunyai tanggungjawab kepada agama ,bangsa dan negara.

Selepas Tingkatan Lima kamu diberi keutamaan mendapat biasiswa samaada belajar di universiti dalam negeri atau ke luar negara mengambil kursus-kursus samaada professional atau bukan professional yang diperlukan oleh negara.

Maka akhirnya berjayalah kamu dilatih menjadi saorang doktor, peguam, arkitek, ahli ekonomi, ahli sains , pakar bintang , pakar nuklear dan sebagainya. Kamu mesti ingat selalu dari mana asalmu supaya kamu tidak merasa sombong dan terputus dari bumi tempat kamu berpijak walaupun status hidup mu telah naik dalam strata sosial masyarakat.

Meningkatkan status amat susah berlaku di Barat . Sebagai contoh di Amerika Syarikat 40% dari pelajar universiti-universiti negara adalah dari keluarga terkaya dan hartawan di negara itu. Cuma ada tempat 60% kepada golongan menengah dan bawahan . Sekolah-sekolah persediaan ke universiti di Amerika mengenakan yuran yang mahal.

Jadi peluang golongan bawahan seperti kerani, guru, ahli polis dan sebagainya ke universiti adalah terhad sekali akan menghalang mereka untuk mendapat pekerjaan-pekerjaan yang lumayan .

Di Malaysia sebaliknya mana-mana anak petani , penangkap ikan, kerani dan guru biasa yang cerdik bersempatan menjadi doktor ,peguam dan professionalnya dengan landasan pembelajaran yang baik melalui SBP.

SBP adalah hasil perjuangan orang-orang Melayu yang terdahulu yang ingin melihat anak-anak bangsa mereka berjaya dalam bidang pendidikan dan dengan demikian dapat merubah status bangsa Melayu di tanah air mereka sendiri. Kemudahan-kemudahan yang disediakan adalah yang terbaik kepada pelajar-pelajar dengan perbelanjaannya hampir seratus peratus ditanggung oleh kerajaan.

Pengorbanan pejuang-pejuang Melayu yang terdahulu itu bukan sahaja dari segi perahan otak dan keringat mereka malah ramai juga yang terkorban nyawa demi perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.

Jadi apabila kamu memasuki SBP dan kemudiannya selepas berjaya dalam hidupmu, kamu harus senantiasa mengingati pejuang-pejuang bangsa ini dan selalu menghadiahkan bacaan Yasin dan Al Fathah keatas roh-roh mereka.

Cara membalas budi mereka ialah kamu harus pula menabur budi kepada anak-anak bangsa mu supaya ada kesinambangan dalam perjuangan bangsa.

Jadi bila nanti kamu telah menjadi tokoh professional yang berjaya, pemimpin korporat, pemimpin politik, pegawai tinggi kerajaan, hakim dan sebagainya janganlah kamu lupa dirimu dan lupa asalmu. Janganlah sibuk dan asyik sahaja berada di kelab-kelab golf bermain golf. Kamu boleh bermain golf dan lain-lain sukan untuk riadhah.

Tapi kamu kena juga selalu balik ke kampong melihat dan menjeguk keadaan realiti kehidupan orang kampong tempat asalmu.. Masih banyak lagi terdapat mereka yang kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang . Malah jangan terkejut ada setengah-setengah keluarga di kampong hidup lima enam beranak dengan pendapatan hanya lebih kurang RM 100 sahaja sebulan.

Janganlah anggap orang Melayu di kelab-kelab golf itu sebagai mewakili semua orang Melayu. Dan janganlah anggap kejayaaan mu adalah hak milik dan kesenangan keluarga mu sahaja . Masih ramai orang Melayu di bandar dan luar bandar yang dalam keaadan amat dhaif dan amat memerlukan pertolongan mu.

Buatlah sesuatu untuk membantu bangsa mu.

Bagi tokoh korporat yang hartawan tubuhkanlah Yayasan untuk memberi biasiswa. Ambillah contoh seperti yang dilakukan oleh Tan Sri Halim Saad keluaran SBP tertua iaitu Kolej Melayu Kuala Kangsar dengan Yayasan Saad dan Kolej Yayasan Saadnya.

Bagi pendidik pula anjurkan kelas tuisyen di kampong-kampong kita. Beri bantuan keperluan pelajar di awal-awal tahun. Ambil anak-anak miskin atau yatim jadi anak angkat kamu..

Bagi para sarjana tubuhkan Kumpulan Pemikir ( Think-tank Group) untuk mencari arah cara penyelesaian masalah-masalah kemiskinan, ekonomi dan pendidikan orang Melayu. Kita tidak harus hanya bergantung sahaja kepada kerajaan sedangkan kita ada banyak tokoh-tokoh pemikir yang mempunyai kepakaran dalam berbagai bidang dan mempunyai sumber kewangan yang kuat. Sepatutnya kita sudah boleh bergerak sendiri dengan ide-ide untuk membantu bangsa kita.

Bagi peniaga yang berjaya pula ambillah seberapa ramai anak bangsa sebagai mentee atau protégé mu untuk kamu asuh dan kamu latih menjadi usahawan-usahawan yang berjaya di masa mendatang. Pupuklah mereka dengan pengalaman dan rahsia perniagaan yang ada pada mu..

Bagi pemimpin jabatan kerajaan dan agensi kerajaan jalan kan tugasmu dengan amanah dan jujur untuk kesejahteraan rakyat yang mana kamu di bayar gaji untuk menjalankan tugas mu..

Janganlah melakukan sebarang rasuah dan penyalah gunaan kuasa . Ia adalah ibarat mencuri harta dan hak rakyat dan tidak akan mendatangkan barakah kepada keluargamu. Kalau mahu jadi kaya mohonlah satu projek kerajaan dan jadilah saorang usahawan. Perbuatan rasuah adalah haram dan tidak baik kepada keturunan mu yang akan datang. Ia juga tidak baik kerana negara kehilang punca pendapatan yang sepatutnya ia perolihi untuk menjalankan projek-projek untuk rakyat.

Jika kamu pemimpin politik jalankan tugasmu dengan amanah dan dedikasi. Janganlah matlamat mu hanya untuk menjadikan kawan-kawan dan keluargamu kaya raya dengan secara segera.

Kuasa yang ada ditanganmu adalah kuasa politik bangsa Melayu dan kamu hanyalah diberi amanah sementara untuk memegang kuasa tersebut. Sebagai pemimpin politik ikutlah contoh pada peribadi Pak Lah, Perdana Menteri yang kita sayangi yang sudah lama berjuang turun dan naik, saorang yang sederhana yang senantiasa disayangi dan dihormati oleh rakyat.

Janganlah ikut contoh beberapa pemimpin yang baru sahaja berkuasa beberapa tahun sudah banyak tanah , melonggok harta dan keluarga mereka hidup dalam kemewahan sedang kan kita tahu asal dari mana mereka datang. Kerjaya politik pemimpin begini tidak akan bertahan lama kerana rakyat akan membenci mereka.

Jadi buatlah apa pun yang kamu boleh lakukan dengan kuasa kamu sebagai tokoh dan pemimpin yang berjaya yang memimpin sebuah syarikat korporat, jabatan kerajaan, agensi kerajaan , pemipin politik dan pertubuhan bukan kerajaan, dengan ikhlas dan amanah dengan menggunakan kuasa mu menyalurkan berbagai program dan bantuan kepada masyakatat dan bangsa mu yang yang masih miskin ini yang masih memerlukan bantuan kamu.

Kiranya kamu gagal berbuat demekian dan sebaliknya kamu asyik berpoya-poya di kelab golf maka latihan yang kamu lalui di SBP dahulu sesungguhnya adalah gagal menepati matlamatnya.

Kegagalan ini juga merupakan kerugian besar kepada masyarakat Melayu di masa akan datang. Sebaliknya jika kamu amanah , ikhlas dan gigih menyumbangkan bakti kepada bangsa , agama dan negara , kamu akan dikenang seperti tokoh-tokoh terbilang SBP yang silam seperti Tun Abdul Razak dan Pak Sako (Ishak Haji Muhammad) kedua-duanya produk Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Ingatlah harimau itu mati meninggalkan belang , maknusia itu mati meninggalkan nama.

Sekian. Yang ikhlas dari ayahmu

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 712  tetamu dalam talian