20Januari2018

PERLUNYA MENJAGA DAN MEMPERTAHANKAN HAK, HARTA DAN MARUAH KITA

Dalam Islam kita perlu menjaga dan mempertahankan hak, harta dan maruah kita apabila ada orang yang cuba mencabarnya.

 

Harta dan Maruah adalah dua dari lima perkara keutamaan (Dharuratul Khams) atau Maqasid al Syariah. Perkara-perkara yang lain ialah Nyawa, Agama dan Akal.

Sekiranya sebagai misalan jika harta atau maruah kita dicabar orang kita wajib dan perlu bertindak mempertahankan kepentingan kita.

Contohnya isteri kita dikacau orang atau pun rumah kita dimasuki pencuri kita tidak boleh berdiam diri Kita mesti menggunakan apa jua kekuatan kita demi menjaga harta dan maruah keluarga kita.

Biasiswa Umpama Hak Dan Harta Kita


Saya ingin memberi satu contoh yang lebih meluas lagi. Kita sedia maklum jumlah golongan profesyenal Melayu dan Bumiputra adalah masih jauh lebih kecil kalau di bandingkan dengan jumlah bukan Melayu dan bukan Bumiputra yang sudah lama mendapat “head start” sejak dari zaman penjajahan lagi.

Untuk merapatkan jurang “human capital” atau modal insan yang terlatih lagi canggih ini aspek pendidikan merupakan satu aspek yang amat penting sekali bagi meramaikan bijak pandai Melayu.

Mengambil kira faktor inilah atas desakan UMNO maka semasa pengubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu oleh Suruhanjaya Reid dan kemudiannya menjadi Perlembagaan Persekutuan Melayu Raya atau Malaysia selepas Malaysia ditubohkan telah dimasukkan Perkara 153 kedalam Perlembagaan Persekutuan bagi memperuntukan bahawa setiap orang Melayu dan bumiputra mana-mana negeri-negeri Sabah dan Sarawak yang berkelayakan adalah diberi hak biasiswa secara automatik.

Ini jelas dari Perkara 153 (3) yang antara lain memperuntukkan :

“ perezapan bagi orang Melayu dan bumiputra mana-mana Negeri-negeri Sabah dan Sarawak .......... mengenai biasiswa, bantuan dan lain-lain keistimewaan pelajaran atau latihan atau kemudahan-kemudahan khas, Yang diPertuan Agong boleh memberi apa-apa arahan am sebagainya yang dikehendaki bagi maksud itu kepada mana-mana Suruhanjaya yang dimaksudkan oleh Bahagian 10 atau kepada mana-mana pihakberkuasa yang bertanggungjawab atas pemberian biasiswa, bantuan atau lain-lain keistimewaan pelajaran atau latihan atau kemudahan-kemudahan khas itu ; dan Suruhanjaya atau pihakberkuasa itu hendaklah mematuhi arahan-arahan itu dengan sempurna.”

Daripada peruntukan di atas jelas bahwa orang Melayu secara otomatik mempunyai hak untuk mendapat biasiswa atau bantuan dan lain-lain kemudahan istimewa pelajaran atau latihan atau kemudahan-kemudahan khas.

Ini jelas merupakan hak, harta dan pusaka kepada orang Melayu sebagai pribumi negara ini. Harta pusaka ini haruslah kita pertahankan dengan nyawa dan kekuatan yang ada ada pada kita. Dan jangan sekali-sekali kita membiarkan ia di cairkan atau “diluted” oleh mana-mana pihak atas apa-apa asas atau sebab pun oleh kerana ia sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jadi sebarang pemberian pinjaman atau apa-apa bantuan atau kemudahan dalam pelajaran yang memerlukan pembayaran balik adalah bertentangan dengan dan tidak memenuhi semangat Perkara 153 (3) Perlembagaan. Ini perlu diperbetulkan oleh pihak kerajaan.

Kalau tidak Kerajaan adalah tidak berlaku adil kepada orang Melayu dan bumiputra di Sabah dan Sarawak. Perlu diingat bahawa keadilan dalam Islam ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Apa guna kita ada bangunan yang antara yang tertinggi di dunia dan prasarana negara serba canggih jika negara pada waktu yang sama sudah tiada peruntukan untuk biasiswa kepada pelajar Melayu miskin yang berhak untuk mendapat biasiswa tersebut ?

Kerajaan perlu mencari cara penyelesaian supaya hak orang Melayu yang sejajar dengan peruntukan Perlembagaan Malaysia dipulihkan.

Hak Asasi Orang Melayu


Kebelakangan ini setengah-setengah pihak seperti NGO atau parti pembangkang seperti DAP lebih ingin menonjolkan dan memperlihatkan keadilan itu dari perspektif golongan minoriti sahaja.

Mereka nampak sangat menggunakan prinsip ketujuh Islam Hadhari iaitu Hak Minoriti. Persoalannya bagaimana pula hak dan keadilan kepada pihak majoriti ?

Adakah kita terlampau menjaga hak kaum minoriti sampai kita mengabaikan hak majoriti ? Adalah kaum minoriti ini sudah mendapat hak keistimewaan lebih dari kaum majoriti sampai apa yang mereka mahu harus dilayan semuanya.

Adakah mentaliti kita masih seperti yang diperkatakan oleh Allahyarham Aminuddin Baki di tahun 60an dahulu iaitu “Ayam di kepuk mati kelaparan dan itik di air mati kehausan”.

Masihkah kita berfikiran kera di hutan harus disusukan sedangkan anak di rumah dalam nazak mati kelaparan. Adakah kah orang kita masih berperangai sebagai “nature’s gentleman” yang hebat digambarkan oleh pihak British ?

Manusia yang senang dipergunakankan oleh pihak musoh dan pesaing. Adakah benar seperti kata Dr Mahathir bahawa orang Melayu kurang kemahiran berunding (lack negotiating skills) ?

Maka setengah pemimpin kita peringkat menteri nampaknya memberikan muka yang berlebihan kepada NGO dan DAP apabila mereka menimbulkan sesuatu isu seperti hak asasi maknusia yang tentunya ada agenda mereka sendiri.

Pemimpin-pemimpin UMNO peringkat menteri ini persis lupa yang mereka mewakili UMNO yang rata-rata ahlinya adalah orang Melayu yang beragama Islam yang kebanyakannya masih miskin .

Dan mereka merupakan wakil rakyat di kawasan Parlimen majoriti pengundi orang Melayu. Apakah hak asasi rakyat miskin sudah terbela?

Kita tidak mahu setengah-setengah pemimpin UMNO atas isu hak asasi maknusia diperguna dan dipergudakan oleh pembangkang untuk golongan bukan Melayu supaya pemimpin Melayu dan rakayat Melayu perlahan-perlahan direnggangkan.

Maka akan timbul kurang keyakinan orang Melayu kepada pemimpin UMNO angkara seorang dua menteri UMNO yang kurang peka akan perasaan orang Melayu yang masih kuat Islamnya.

Ini akan membahayakan kekuatan UMNO sendiri yang kalau tidak dibetulkan cepat akan mempengaruhi kekuatan Barisan Nasional di pilihanraya umum yang akan datang. Pelanduk selalu lupakan jerat tapi jerat tidak pernah lupakan pelanduk.Adalah malang jika kita ada Pak Kadok dan Pak Pandir di zaman serba moden dan canggih ini.

Setakat manalah kekuatan NGO-NGO ini yang kita nampak tergamam dan takut sangat? Mungkin di Bangsar dan Brickfields di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

Mereka ini hanya menyebukkan diri mereka sahaja. Tapi tempat-tempat ini kebanyakannya adalah kawasan profesyenal bukan Melayu dan sememangnya mereka telah berfikiran “anti establishment” pun selama ini.

Kekuatan UMNO adalah di penempatan Melayu di bandar dan kampong-kampong di luar bandar yang mana majoritinya masih dalam keadaan miskin dan dhaif. Hak asasi mereka harus dan perlu juga dijaga.

Mereka memerlukan bantuan Kerajaan untuk pendidikan anak-anak mereka dari sekolah rendah hingga ke universiti untuk menjadi seorang profesyesal, pentadbir. usahawan atau saintis dalam berbagai bidang. Mereka tahu pendidikan merupakan jalan kearah mobiliti sosial.

Mereka hendakkan anak-anak mereka keluar dari kepumpung kemiskinan melalui pencapaian yang cemerlang dalam lapangan pelajaran sehingga ke universiti supaya anak-anak mereka dapat keluar dan turut mengecapi kekayaan dan kemewahan negara mereka.

Hak asasi orang Melayu ini selalu kita lupa dan adalah tujuan ruangan ini untuk mengingatkan setengah menteri kita mengenai hakikat ini.

Masa depan politik UMNO adalah menjaga sokongan orang Melayu di bandar dan luar bandar. Bukannya NGO-NGO yang berteriak seperti keldai senantiasa tidak puas hati semuanya tidak betul.

Adakah orang Melayu selalu bertanya apakah motif dan agenda mereka ini berbuat apa yang mereka buat?

Tidak kah harus orang Melayu merasa cemburu menjaga hak dan harta mereka seperti mana cemburunya mereka menjaga anak gadis mereka.

Maruah Seorang Wanita Melayu

Apa yang mereka perjuangkan hanya melibatkan bangsa mereka sahaja. Ini jelas dengan isu seorang wanita cerah seakan seorang wanita Cina yang di suruh menjalankan ketuk ketampi oleh Polis yang dihebohkan oleh Teresa Kok di Parlimen dan juga akhbar China Press yang mengatakan wanita tersebut rakyat negara China Komunis.

Pada masa yang sama Teresa juga membawa empat wanita warga China Kominis yang didakwa di suruh menjalankan ketuk ketampi.

Jadi Teresa Kok ini ingin memberikan gambaran melalui peroses deduksi bahawa gambar wanita bogel yang tunjukkan itu adalah seorang rakyat Republik China Komunis.

Ini juga di hebohkan oleh China Press , sebuah harian Cina yang antara terbesar jumlah pembacanya. Kita menyokong tindakan tegas kerajaan terhadap China Press kerana ia cuba memainkan api perasaan perkauman dan menjejaskan kepentingan negara sampaikan menjelang Sidang Kemuncak Asia Timur baru-baru ini negara terpaksa meminta maaf kepada China.

Tindakan akhbar China Press ini amat memudaratkan kepentingan Malaysia dan seharusnyalah ia diberi hukuman yang seberat-beratnya sebagai pengajaran kepada akhbar-akhbar lain supaya lebih berhati-hati dan bertanggung jawab dimasa hadapan.

Bila ternyata wanita tersebut adalah seorang rakyat Malaysia berketurunan Melayu isunya berubah dan dialihkan dari isu asal.

Persoalan mereka sekarang menjadi mengapa kerajaan tidak memberitahu lebih awal mengenai identiti perempuan tersebut. Banyak NGO antaranya Majlis Peguam timbul memberi sokongan kepada Terasa Kok ini.

Saya amat bersetuju dengan kenyataan Pak Lah Perdana Menteri kita ketika beliau menjelaskan isu tersebut. Mengikut Pak Lah adakah umum akan mempercayainya jika pihak Polis mengeluarkan kenyataan yang wanita dalam gambar tersebut berketurunan Melayu pada masa isu itu diperkatakan dengan panasnya oleh media cetak dan eletronik ? Tentunya umum tidak akan mempercayai apa-apa kenyataan dari pihak Polis.

Pokok bicara sekarang ialah apakah langkah yang perlu diambil terhadap Teresa Kok yang telah mengaibkan seorang wanita Melayu dalam muslihat politiknya untuk jadi juara kepada wanita rakyat negara China Kominis serta lain agenda-agenda politiknya yang boleh dibaca secara inferens. Adakah memadai dengan Teresa Kok ini cuma memohon maaf sahaja ?

Pada saya ia tidak memadai. Teresa Kok harus membayar ganti rugi kepada wanita tersebut atas perbuatannya yang secara tidak langsung mengaibkan wanita Melayu tersebut. Kalau ia gagal berbuat demikian wanita Melayu yang terbabit haruslah membawanya ke mahkamah kerana mengaibkannya.

Wanita tersebut boleh juga mengkaji kemungkinan menyaman akhbar China Press yang telah membesar-besarkan isu dirinya kononnya seorang rakyat negara China.

Masyarakat mesti memberikan satu meseg yang kuat dan keras kepada mereka ini supaya jangan bertindak sesuka hati sahaja. Cara mereka bertindak sepatutnya hendaklah adil dan berkemah tinggi. Dan sekiranya mereka melakukan kesilapan mereka mesti menerima bahana dan padahnya .

Kalau tidak, maruah kita akan terus dipijak-pijak dan terus tidak dihormati oleh mereka demi kepentingan politik mereka.

Seperti yang saya nyatakan diatas maruah merupakan keutamaan yang kelima dalam Dharuratul Khams atau Maqasid al Syariah.

Sekiranya maruah orang Islam tercabar kita wajib bertindak balas. Itulah asasnya prinsip kesepuloh Islam Hadhari yakni kekuatan ketenteraan.

Kekuatan ketenteraan ini bukan sahaja meliputi hal-hal ketenteraan malah merangkumi kekuatan diri, fizikal dan spiritual. Ini jelas dari firman Allah SWT dalam al Quran surah al Anfal: 60 yang bermaksud:

“ Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap bersedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya .”

Kesimpulannya ialah orang Melayu mesti berani menyuarakan bantahan atau perasaan tidakpuasti kita sekiranya berlaku apa-apa cubaan membahayakan nyawa, agama, akal, harta dan maruah kita oleh mana-mana pihak.

Dan kita berhak menyerang balik melalui tindakan mahkamah atau cara-cara yang diizinkan oleh undang-undang terhadap golongan-golongan yang cuba merosakkan Dharuratul Khams atau Lima Keutamaan agama kita.

Kita harus melakukan bantahan kita secara bertamaddun, cara berhemah dan berakhlak tinggi. Ia juga menjadi satu cara berdakwah. Tidak mustahil jika ada antara mereka yang akan memeluk agama Islam bila melihat cara penganut Islam menangani isu dan masalah mereka.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 555  tetamu dalam talian