16Januari2018

MASYARAKAT MELAYU DI ERA RMK9 – SUATU SENARIO

Sesuatu negara atau masyarakat perlu merancang masa depannya supaya pembangunan dan kemajuannya mempunyai objektif. Bersandarkan objektif-objektif ini program-program yang sesuai akan dijalankan untuk memenuhi matlamat yang telah ditetapkan.

 

Begitulah negara Malaysia dan masyarakat Melayu sekarang ini adalah di ambang pelancaran Rancangan Malaysia ke 9 (RMK9) dan dalam beberapa hari sahaja lagi ia akan dilancarkan oleh Pak Lah Perdana Menteri yang kita hormati dan kasihi.

Penekanan saya dalam senario RMK9 ini adalah lebih berkisar kepada program yang akan dijalankan untuk memajukan orang Melayu dari segi beberapa aspek dan senario/isu yang akan dihadapi dalam aspek-aspek tersebut seperti pelajaran, kegiatan ekonomi dan keusahawanan, keutuhan sistem perundangan Islam melalui Mahkamah Syariah dan aktivis sosial dan akhirnya keruntuhan moral di kalangan setengah remaja Melayu.

Dari segi pelajaran kita telah dimaklumkan bahwa bilangan profesyenal Melayu akan ditambah dengan kadar yang lebih drastik lagi untuk menyempitkan jurang antara golongan profesyenal Melayu dan profesyenal Cina dan India. UiTM adalah satu dari istitusi yang akan memainkan peranan penting. Ia akan mengambil dua kali ganda bilangan pelajarnya setiap kemasukan mahasiswa/inya sepanjang RMK9. Begitu juga diharap IPTA lain seperti UM akan menambah pelajar Melayu dalam kursus-kursus strategiknya seperti perundangan, perubatan, kejuruteraan dan perakaunan dengan lebih banyak lagi sejajar dengan matlamat RMK9.

Mengenai biasiswa dan pinjaman untuk belajar di universiti samaada dari JPA, Petronas, Telekom, TNB saya berpendapat haruslah penekanan diberikan kepada calun-calun Melayu samaada dari bandar atau dari luar bandar yang betul-betul memerlukan kemudahan dan bantuan tersebut. Mereka ini lah yang harus di beri keutamaan. Anak-anak orang Melayu yang berpendapatan tinggi dan berjaya tidak harus menerima bantuan dan kemudahan pelajaran walaupun sebagai orang Melayu mereka berhak di bawah Pasal 153 Perlembagaan Persekutuan.

Hak memanglah ada tapi adakah wajar mereka yang berpendapatan tinggi bersaing dengan anak-anak guru biasa , kerani, penjaja dan buruh yang menghuni rumah setinggan atau kos rumah di bandar-bandar dan anak-anak petani dan penangkap ikan di luar bandar? Mereka inilah yang lebih berhak untuk mendapat kemudahan dan bantuan tersebut.

Keluarga saya sendiri tidak pernah menggunakan kemudahan biasiswa dan pinjaman kerajaan dalam pendidikan anak kami yang sekarang ini terdiri dari dua orang akauntan, seorang doktor, seorang hafidz dan kemudian berkelulusan syariah dari Universiti Jordan, seorang masih di tahun akhir perubatan Kolej Perubatan Manipal-Yayasan Melaka di Melaka dan yang bongsu di Sunway College sedang ambil A Levels. Cuma yang doktor seorang itu sahaja yang dapat pinjaman MARA itu pun semasa tahun keempat dan tahun akhir penggajian perubatannya.

Kami mengambil keputusan ini oleh kerana Allah telah memberi kami sedikit rezeki yang lebih dan oleh itu telah mengambil ketetapan dan berpendirian bahwa peluang kemudahan pelajaran oleh kerajaan harus lah disalurkan kepada golongan-golongan yang benar-benar memerlukan bantuan tersebut.

Kepada golongan profesyenal muda yang telah berjaya keluar dari kepompong kemiskinan melalui bantuan kerajaan mereka sudah boleh berdikari dalam pendidikan anak-anak mereka. Satu cara yang popular ialah dengan membeli insuran pendidikan untuk masa depan anak-anak mereka. Golongan ini juga perlu menabung. Mereka harus menukar pemikiran dan nilai orang Melayu yang amat kurang sifat dan perangai menabung. Apabila tabungan kita banyak tentunya kekuatan ekonomi masyarakat Melayu secara otomatik akan jadi kuat.

Dengan cara begini kemudahan yang di peruntukkan dalam Pasal 153 akan terus membantu golongan sasar yang benar-benar memperlukan kemudahan tersebut untuk sosial mobiliti anak-anak mereka untuk keluar dari jerangkap kemiskinan yang mencengkap kebanyakan masyarakat Melayu bandar dan luar bandar .

Dengan cara begini juga Pasal 153 betul-betul menolong orang-orang Melayu yang miskin dan ianya tidak dapat lagi dipertikaikan lagi oleh bangsa-bangsa lain. Mereka tidak boleh lagi menuduh bahwa orang Melayu yang kaya atau berjaya pun masih menerima bantuan dan kemudahan kerajaan sedangkan di kalangan bangsa-bangsa asing ini sendiri terdapat ramai juga yang miskin dan melarat.

Tambahan pula dengan kaedah ini akan terbentuk satu keadaan yang egalitarian di dalam masyarakat Melayu sendiri yang tentunya akan merangsang kearah keadilan sosial dalam masyarakat kita.

Golongan muda profesyenal Melayu haruslah bersedia lebih agresif turut serta dalam isu-isu negara. Badan-badan seperti Prowaris, Ansara dan lain-lain mestilah berani menyuarakan harapan orang Melayu dalam beberapa perkara yang menyentuh masa depan orang Melayu.

Isu seperti Memorandum yang diserahkan oleh 10 Menteri Bukan Islam kepada Pak Lah mengenai kedudukan Mahkamah Syariah baru-baru ini harus membuka mata orang Melayu mengenai perkembangan sebegini yang akan tentunya berlaku lagi di masa hadapan.

Apakah tindak balas kita ? Harus kah kita terus berundur walhal kita ada banyak bijak pandai di kalangan masyarakat kita? Isi hati orang Melayu haruslah diluahkan. Di sinilah peranan penting Prowaris , Ansara dan lain-lain pertubuhan sebagai suara orang Melayu.

Dari segi pemikiran adalah diharapkan dalam masa lima tahun RMK9 akan ada satu pertukaran dari segi paradigma di kalangan orang Melayu. Konsep Melayu unggul (Towering Malays) haruslah menjadi kenyataan.

Satu cara ialah dengan menghapuskan secara sedar sifat selesa yang umumnya kedapatan di kalangan orang Melayu. Kita tidak harus puas hati dengan apa-apa pencapaian orang Melayu setakat ini walaupun telah banyak kemajuan yang di capai. Sifat selesa adalah merupakan satu sifat buruk di kalangan orang Melayu yang menghambat kemajuan masyarakat Melayu. Ia harus di kikis dan di buang jauh-jauh.

Mengapa perasaan selesa ini bahaya? Bila kita dalam zon selesa kita tidak akan mengambil apa-apa tindakan dan inisiatif ke arah pembaharuan. Tidak akan ada idea-idea untuk memperelokkan kerja dan kehidupan kita. Akibatnya kita masih selesa di takuk lama sedangkan dunia bergerak lancar kehadapan dengan idea-idea dan teknoloji baru.

Satu cara mengatasi sifat selesa ini ialah melalui konsep berhijrah.Penghijrahan bukan sahaja dari aspek fizikal tapi juga secara mengambil nilai sejagat yang murni.Satu aspek kemajuan masyarakat Jepun amnya dan perniagaan mereka khas ialah mereka mempraktikkan dan berpegang kuat kepada konsep Kaizen.

Konsep ini bukanlah konsep asli orang Jepun tetapi dipinjam dari Amerika. Kaizen bererti “continuous improvements”. Atau pembaikan kerja atau tugasan yang berterusan. Jadi apa-apa kerja atau tugasan yang mereka buat mereka akan terus menerus memikirkan bagaimana kerja atau peroses tugasan tersebut dapat di perbaiki. Misalnya cara pengilangan mereka. Begitu juga barangan-barangan mereka seperti eletronik, kamera, robot dan produk lain-lain yang senantiasa diperbaiki terus menerus. Kita lihat seperti mereka senantiasa ada sifat tidak puas hati dengan produk mereka yang sediaada.

Ini tidaklah menidakkan yang orang Melayu tidak ada langsung sifat Kaizen tetapi penghayatan kepada sifat senantiasa mahu memperbaiki peroses dan mutu kerja ada kunci kepada menghilangkan sifat selesa di kalangan orang Melayu. Oleh itu ia adalah penting dan perlu dipupuk dan di perkuatkan lagi.

Meluasnya sifat keselesaan ini lah yang dirasakan membuat orang Melayu kurang daya saing, kurang agresif dan kurang ketahanan. Sifat-sifat ini penting untuk sesuatu masyarakat berkembang di zaman moden ini.

Dari segi ekonomi NGO perniagaan seperti Dewan Perniagaan Melayu haruslah memainkan peranan mereka tanpa banyak retorik dengan mengadakan berbagai program dalam berbagai bidang perniagaan. Dewan sekarang ini nampak sangat kelesuannya berbanding semasa ia dipimpin oleh Tengku Razaleigh, Tan Sri Ariffin , Tan Sri Yahya dahulu.

Pada zaman itu peranan Dewan adalah amat dihormati oleh kerajaan dan menjadi mekanisme kerajaan dalam pembangunan usahawan. Sekarang ini sektor –sektor yang bergerak nampaknya hanyalah dalam bidang pertanian, infrastruktur dan franchise. Yang lainnya tidak ketara. Seperti perpatah Inggeris “the silence is deafening ”.

Dewan harus menjadi jurucakap bagi pihak usahawan menyampaikan idea dan program kepada kerajaan dalam hal-hal keusahawan. Ia tidak perlu beretorik sahaja. Biarlah kerja retorik diserahkan kepada ahli-ahli politik. Yang penting ialah Dewan harus menjaga , mengalak dan mempertahankan usahawan Melayu dari situasi seperti yang berlaku pada tahun 1997 semasa Krisis Kewangan dan Ekonomi Negara.

Semasa krisis tersebut banyak usahawan Melayu yang rebah dan berkubur. Banyak juga usahawan Melayu yang terdahulunya bermasalah semasa Kemelesatan Ekonomi tahun 1985/86 turut menjadi mangsa pada tahun 1997 walaupun mereka ini telah pun ditolong oleh kerajaan melalu ERF tetapi ternyata kurang berdaya tahan dan akibatnya turut bermasalah pada tahun 1997.

Dewan perlu melihat perkara ini dengan serius kerana ekonomi negara pada amnya akan melalui satu readjustment setiap sepuluh tahun. Apakah program Dewan membantu ahli-ahlinya dalam menghadapi zaman meleset yang sudah tentu akan datang dalam RMK9 ?

Dalam hal ini Dewan perlulah mengambil sikap pro aktif dan tidak menunggu bantuan dan suapan dari kerajaan sahaja. Kita kena sediakan payung sebelum hujan.Dewan perlu juga membantu kerajaan dalam soal ketirisan projek kerajaan yang diberikan kepada peniaga Melayu.

Kurangnya syarikat Melayu yang benar-benar beroperasi telah dinyatakan hasil dari beberapa kajian sebagai satu sebab ramainya pengganguran di kalangan siswazah Melayu. Sekiranya syarikat bumiputra yang mendapat projek kerajaan menjalankan projek tersebut sendiri tentunya ramai jurutera, arkitek, akauntan, peguam, jurukur bahan, pengurus dan eksekutif Melayu yang akan dapat peluang berkerja di syarikat-syarikat tersebut.

NGO-NGO perniagaan Melayu dan kerajaan hendaklah mengatur satu strategi untuk mengatasi ketirisan ini dengan cara yang lebih serius dan menyeluruh termasuk menyenaraihitamkan syarikat yang berkenaan. Dengan cara ini juga hanya usahawan Melayu yang tulen sahaja yang akan tinggal. Dan syarikat ini harus dipupuk sehingga dapat disenaraikan di Bursa Saham Malaysia.

Dalam soal agama Islam kita telah lihat bahwa keutuhan Mahkamah Syariah tetap terpelihara walaupun terdapat banyak serangan dibuat terdapatnya. Jaminan Pak Lah bahwa Pasal 151(1A) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahwa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa yang mutlak dalam hal-hal yang berkenaan dengan Agama Islam tidak akan dipinda telah meredakan kegelisahan di kalangan umat Islam di negara ini.

NGO aktivis sosial seperti Sisters in Islam (SIS) ada peranan dalam proses pergerakan kemodenan masyarakat Melayu terutama dalam hal-hal kaum Hawa. Tapi SIS perlulah lebih banyak berinteraksi dengan mereka-mereka yang mempunyai pendidikan agama yang mendalam seperti Dato Dr Marsitah Ibrahim, Setiausaha Parlimen di JPM, pihak JAKIM dan pihak ulama-ulama sendiri seperti Mufti-mufti dan Majlis Fatwa.

Adalah amat silap kalau kita tidak mendalami hukum syarak dan kemudiannya kita mengeluarkan fatwa kita sendiri. Ini akan merosakkan dan mencelarukan umat Islam sendiri yang tidak akan menguntungkan kita semua. Ia juga bertentangan dengan prinsip pertama Islam Hadhari iatu untuk menguatkan ketaqwaan dan keimanan.

Jika kita ikhlas kita harus terus menerus berdialog dengan mereka yang benar-benar arif dalam agama. Seperti kata orang tua-tua kalau kita bawa emas kepada tukang besi alamat emas kita akan rosak dan binasa.

Jadi emas harus dibawa ke tukang emas. Islam Hadhari mempunyai prinsip menjaga hak kaum wanita dan minoriti. Jadi dalam merangka programnya jika SIS ikhlas dalam perjuangannya maka pemimpin mereka seperti Zainah Anwar dan lain-lain pejuang hak wanita harus mengambil daya usaha berdialog dengan mereka yang arif dalam agama demi kebaikan umat Islam sejajar dengan apa yang di perjuangkan oleh Pak Lah melalui pendekatan Islam Hadhari.

Akhirnya satu aspek yang dirasakan sungguh penting ialah usaha mengatasi penyalahgunaan dadah dan masalah budaya negatif di kalangan remaja Melayu. Perpatah Melayu ada mengatakan bahwa Pemuda Harapan Bangsa dan Pemudi Tiang Negara. Jika Harapan Bangsa dan Tiang Negara tidak dijaga dengan rapi akibatnya adalah amat membahayakan survival masyarakat Melayu di masa hadapan.

Program yang dijalankan oleh Pemuda UMNO dan pertubuhan belia seperti “Enam Jahanam” dan “Anti Black Metal” untuk menentang penggunaan dadah dan black metal adalah di alu-alukan.

Walaubagaimana pun lebih banyak program bersepadu harus di jalan mengatasi masalah ini. Peranan Agensi Anti Dadah perlu di perkuatkan. Istitusi-istitusi seperti keluarga, sekolah, mesjid , belia, pejabat agama perlu digembelingkan. Ahli-ahli politik perlu lebih serious dalam memimpin program mengangani masalah ini. Sebagai Pemimpin mereka harus menggunakan segala kuasa dan pengaruh yang ada pada mereka.

Kita harus ambil contoh betapa seriousnya MCA menangani masalah pil ecstacy di kalangan remaja Cina beberapa tahun yang lalu yang ternyata amat berkesan. Pemimpin politik Melayu samada UMNO atau PAS harus mengambil iktibar dari tindakan MCA itu demi survival bangsa Melayu.

Mungkin satu pendekatan ialah dengan memberikan belia Melayu kekuatan kerohanian melalui program mendalamkan aqidah dan keimanan mereka. Keduanya dengan memberikan mereka aktiviti ekonomi yang akan memberi mereka pencarian hidup supaya mereka ada harapan dalam kehidupan mereka.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 807  tetamu dalam talian