17Oktober2018

APA SUDAH JADI PADA KUMPULAN HARTANAH SELANGOR BERHAD(KHSB)?

  Saya mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Selangor pimpinan Dato Seri Mohd Khir Toyo kerana berjaya membawa Selangor mencapai taraf negeri maju yang pertama diantara negeri-negeri lain di Malaysia. Sudah selayaknya Selangor menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.

 

Dalam Selangor mencapai taraf negeri maju saya terkilan melihat nasib kedudukan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) dulunya SAP Holdings Bhd (SAP) yang lemah dan longlai saja nampaknya. KHSB ini adalah hasil “ rebranding ” dan “ repackaging ” dari SAP dalam satu pengstrukturan Kumpulan Darul Ehsan Bhd yang berlaku beberapa tahun dahulu yaitu sebelum Dato Karim Munisar, Presiden, Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) sekarang ini memulakan perkhidmatan beliau di KDEB.

Pada zaman gemilangnya harga satu syer SAP telah mencecah RM 12 satu syer. Hari ini satu syer KHSB ialah lebih kurang 19.5 sen. Apa yang sudah jadi?

Sedikit latar belakang sejarah adalah perlu di sini. SAP pada awalnya dikenali sebagai Shah Alam Properties Sdn Bhd(SAPSB). Walaupun namanya mengambil sempena ibu negeri Selangor syarikat ini tidak pernah dapat apa-apa tanah pun di Shah Alam atau sekitarnya.

Syarikat pernah buat tawaran berusahasama dengan PKNS pada tahun 1995 untuk memajukan sebidang tanah seluas 163 ekar di kawasan bekas “ motor racing ” di Seksyen 13 , Shah Alam. SAP kemudiannya difahamkan bahwa tanah tersebut PKNS akan berusahasama dengan kerabat Diraja. Jadi tiada apa-apa susulan selepas itu di ambil oleh SAP.

Projek pertama SAP ialah Taman Tun Abdul Razak. Semasa saya berhenti dari Bank Bumiputra dan memasuki SAP pada tahun 1987, Pejabat Urusannya adalah di Bandar Baru Selayang. Dengan satu pasukan yang muda tapi dinamik, kami telah mensasarkan hartanah seluas 1000 ekar pada tahun 1989. Kemudiannya kami bergerak kearah status penyenaraian di Papan Utama Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Tapi banyak rintangan yang di lalui. Semasa proses penyenaraian sedang di usahakan ada satu kumpulan syarikat Kapitan Cina ( perkataan ini amat popular di tahun 90an) telah cuba mengambil alih sebuah anak syarikat SAP iaitu Templer Park Developement (TPD) yang sedang memajukan Perangsang Templer Golf Club (PTGC) dan beberapa fasa projek perumahan di atas tanah seluas 500 ekar. Templer Park adalah ibarat intan permata ( crown jewel ) SAP dalam rencana penyenaraiannya. Kalau hilang maka hilang lah seri dan tarikan SAP.

Jadi terpaksalah pengurusan mengadap kerajaan negeri untuk menghalang Kapitan Cina tersebut mengambil projek syarikat. Ini berjaya dilakukan walaupun kita terpaksa juga menerima mereka sebagai rakan minoriti.

Semasa saya meninggalkan syarikat pada tahun 1996, SAP mempunyai kawasan hartanah seluas lebih kurang 20,000 ekar kebanyakannya di sekitar Putrajaya dan Cyberjaya.

Sebagai anak syarikat kerajaan negeri yang disenaraikan di Papan Tanda Utama, KHSB seharusnya menjadi kebanggaan Negeri Selangor. Kerajaan negeri harus berbuat sesuatu untuk mengukuhkan dan menguatkan semula KHSH seperti zaman gemilang bila ia bernama SAP. Satu cara ialah memberikan satu kawasan tanah yang stratejik di sekitar Shah Alam untuk dimajukan oleh KHSB. Tidak kiralah sama ada secara usaha sama dengan PKNS atau pun PNSB (Permodalan Negeri Selangor Bhd)

SEORANG KAWAN DALAM KENANGAN

Baru-baru ini seorang kawan lama yang kebetulan pula ada talian persaudaraan dengan saya telah meninggal dunia. Namanya ialah Allahyarhamah Rosemaria binti Talib, seorang suri rumah yang mempunyai lima orang anak. Beliau meninggal dunia akibat penyakit angin ahmar ( stroke ) and kencing manis.

Rosemaria mungkin tidak dikenali oleh ramai orang. Namun pada saya beliau telah banyak memberikan sokongan dan dorongan semasa usia remaja saya. Waktu itu saya sedang menduduki peperiksaan HSC (Higher School Certificate) pada tahun 1968.

Masa itu arwah balik ke Ulu Bernam menunggu keputusan peperiksaan SC(School Certificate) dan MCE (Malaysian School Certificate) beliau. Beliau belajar di Tuanku Khursiah College (TKC).

Seorang lagi sahabat saya ialah Cikgu Kamaruddin bin Talib. Kamaruddin adalah bekas pelajar SEDAR (Sekolah Dato Abdul Razak) Tanjong Malim. Kamaruddin dan Rosemaria walaupun sama nama bapa tapi bukan adik beradik. Saya pula bersekolah di High School , Setapak.

Kami tiga sahabatlah yang telah menubohkan Persatuan Belia Ulu Bernam untuk cuba membawa perubahan di masyarakat desa. Persatuan ini bergerak cergas dan banyak program yang kami jalankan. Antaranya ialah mengada kursus kerjaya. Kami telah mengundang pegawai-pegawai dari MARA. Diantara mereka yang saya masih ingat lagi ialah Encik (sekarang Dato’) Nik Abdul Aziz Kamil dan YM Raja Fauziah. Kemudiannya masa saya di Bank Bumiputra saya pernah bertugas dibawah Dato’ Nik Abdul Aziz.


Pada tahun 1968 itu Rosemaria dan Kamaruddin banyak memberikan dorongan dan sokongan kepada saya. Berkat dorongan dan sokongan mereka banyak merubah pemikiran saya. Tambahan kedua-dua mereka adalah bekas pelajar sekolah elit.

Jadi saya amat bertuah sekali kerana dapat bersama-sama berkongsi fikiran , pengalaman dan falsafah hidup antara satu sama yang lain dengan kedua-dua mereka terutama Rosemaria yang banyak memberikan galakkan.

Selepas itu kami teruskan hala tuju kehidupan masing-masing. Kamaruddin masuk Maktab Perguruan di Johor Baru dan bertugas di Pahang. Rosemaria berkahwin dengan seorang Pegawai FELDA dan jadi surirumah tangga dan mengikut suami bertugas di Pahang juga. Sementara saya bertugas di Kementerian Pertahanan sebelum meneruskan pelajaran di USM , Pulau Pinang.

Dalam pergaulan saya samada semasa di Bank Bumiputra, Kumpulan Perangsang Selangor dan Shah Alam Properties ( SAP Holdings Bhd) banyaklah saya berjumpa dengan rakan-rakan sekerja dan kawan-kawan keluarga yang mengenali Rosemaria. Ini kerana bekas pelajar atau “ old girls ” TKC terdapat di semua peringkat jawatan Kerajaaa atau swasta.Samaada pegawai tinggi kerajaan seperti ketua jabatan, pengetua sekolah dan tokoh-tokoh korporat. Dan ada juga yang menjadi ahli profesyenal seperti doktor, jurutera, arkitek, peguam dan lain-lain lagi. Rasanya jaringan atau “ networking ” diantara bekas pelajar TKC adalah kuat sekali.

Amatlah baik kira jaringan ini digunakan untuk membantu program-program kepentingan Melayu, selain bersifat kebajikan dan sosial sahaja, seperti program untuk murid-murid miskin di luar bandar.


Walaupun Rosemaria tidak dikenali umum di luar bulatan bekas pelajar TKC dan keluarganya namum saya percaya beliau telah menjadi ibu yang baik dan memberikan dorongan kepada mereka untuk berjaya di dunia dan akhirat. Seperti mana beliau telah memberikan dorongan kepada saya dahulu.

Saya mengingati jasa Rosemaria dan berdoa semoga Allah mencucuhi rahmatNya keatas roh Allahyarhamah. Al Fatihah.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 437  tetamu dalam talian