16Oktober2018

Zahid ketua pembangkang yang baru

Sudah jelas... Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dipilih sebagai Ketua Pembangkang Dewan Rakyat yang baru selepas mengetuai angkat sumpah ahli parlimen pembangkang.

Walaupun sebelum ini ada ura-ura Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin akan diberikan peranan tersebut.

UMNO masih mempunyai 51 kerusi Parlimen selepas tiga MPnya keluar parti baru-baru ini.

PAS mempunyai 18 kerusi Parlimen sebelum ini mengatakan tidak berminat dengan jawatan tersebut.

Kerusi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu di berada di kedudukan pertama, barisan kiri di Dewan Rakyat, ruang untuk Ketua Pembangkang.

Pemilihan itu turut disahkan oleh, Ahli Parlimen Ketereh yang juga Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, ketika ditemui media, Isnin.

Menurut Annuar, pelantikan Zahid mendapat persetujuan sebulat suara, termasuk PAS.

Jelasnya perkara itu dipersetujui dalam satu mesyuarat di ibu negara semalam yang turut dihadiri semua parti pembangkang.

"Pada mesyuarat itu, hanya satu nama diusulkan dan kami bersetuju secara sebulat suara untuk lantik Datuk Zahid sebagai Ketua Pembangkang.

"Langsung tiada bantahan," katanya.

Annuar menjelaskan, pertemuan itu berjalan lancar tanpa sebarang pertikaian kerana hanya satu nama calon Ketua Pembangkang diketengahkan, sekali gus mendapat persetujuan bersama secara tuntas.

Sementara itu, semua 221 Ahli Dewan Rakyat mengangkat sumpah kecuali Presiden PPBM yang juga Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang bercuti sakit selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada pankreas baru-baru ini.

Urusan mesyuarat kemudiannya akan disusuli dengan pemilihan dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada kalangan Ahli Parlimen bagi membantu Yang Dipertua Dewan Rakyat mengendalikan urusan mesyuarat dan memastikannya berjalan lancar.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah negara menyaksikan peralihan kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) dan detik itu akan disiarkan secara langsung oleh semua stesen TV utama negara.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari hingga 16 Ogos.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V akan merasmikan serentak persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara esok.

Kali terakhir Dewan Rakyat bersidang ialah pada 5 April lepas, sebelum ia dibubarkan pada 7 April untuk memberi laluan kepada PRU14 diadakan.

-16/7/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 670  tetamu dalam talian