20September2018

Tuduhan DAP terhadap pemansuhan hutan simpan kekal berniat jahat

Barisan Nasional (BN) Perak akan mengambil tindakan terhadap DAP Perak yang mendakwa kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir secara tergesa-gesa memansuhkan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri ini seluas 3,847 hektar untuk kepentingan peribadi.

Timbalan Pengerusi BN Perak Datuk Saarani Mohamad berkata dakwaan itu berniat jahat kerana pemansuhan yang dilakukan itu bertujuan untuk memberi keutamaan kepada Rancangan Tanah Pertanian Berkelompok (RTB) dan penempatan masyarakat Orang Asli.

Beliau berkata kawasan HSK yang dimansuhkan itu juga sebenarnya diterokai penduduk tempatan lebih 40 tahun lalu untuk tujuan penanaman buah-buahan.

"Kenapa mereka (DAP) tidak menyebut pada masa yang sama kerajaan negeri merezabkan kawasan HSK di seluruh negeri dengan jumlah keluasan 23,576.18 hektar."

"Pada ketika ini juga, kerajaan negeri meluluskan seluas 2625.2 hektar kawasan tanah kerajaan untuk diwartakan sebagai HSK dan ia sedang dalam proses pewartaan," katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham pada sidang media di Ibu Pejabat DAP Perak pagi tadi, mempersoal tindakan Zambry memansuhkan kawasan HSK seluas 3,847 hektar, selain meminta penjelasan berhubung tindakan yang dilakukan itu.

Mengulas lanjut, Saarani berkata usaha mengekalkan kawasan HSK sewajarnya tidak dipertikai kerana Perak merupakan negeri yang sering menerima pengiktirafan termasuk di peringkat antarabangsa.

"Perak merupakan negeri yang mempunyai keluasan HSK tertinggi di Semenanjung Malaysia dengan keluasan 985,846.8 hektar. Perak juga diiktiraf mempunyai Pengurusan Hutan Paya Laut terbaik di dunia dengan keluasan sekitar 41,734.4 hektar," katanya.

Selain itu, Saarani yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, berkata Ngeh sengaja menimbulkan isu berkenaan bagi mengalih perhatian rakyat terhadap masalah yang melanda kepimpinan pembangkang pada masa ini untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Mereka sebenarnya cuba nak alihkan isu sebab di Perak keadaan pembangkang ketika ini tengah huru-hara...isu nak letakkan calon, isu nak guna logo dan cara mereka alih isu adalah dengan alihkan perhatian kepada perkara lain," katanya.-14/4/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 444  tetamu dalam talian