25September2018

Tiga perkara buat Kit Siang jadi macam 'cacing kepanasan'

Kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi benar-benar telah membuat Lim Kit Siang benar-benar melenting sehingga membuat kenyataan balas.

Ahli Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA),  Tun Faisal Ismail Aziz berkata terdapat tiga perkara yang menjadikan Ketua Ahli Parlimen DAP itu menjadi 'cacing kepanasan'.

"Pertama kerana tembelangnya mahu menjadi Perdana Menteri telah diketahui. Kedua, ahli UMNO dan orang Melayu atau Bumiputera diingatkan tentang kemusnahan dan bencana yang bakal diakibatkan oleh DAP di bawah Dinasti Lim jika Pakatan berjaya memerintah.

"Ketiga, kerana pembohongan DAP dan pembangkang selama ini telah didedahkan," katanya pada Agendadaily Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mohd Puad yang bertajuk "PRU Ke 14 " BN Lawan Calon PM, Lim Kit Siang dan PAU UMNO 2017 menjadikan dia dan DAP cacing kepanasan.

Tambah Tun Faisal, pembohongan Kit Siang bermula apabila mendakawa Mohd.Puad menerima gaji lebih tinggi daripada menteri dan hanya perlu melapor kepada Perdana Menteri dan mempertahankan Perdana Menteri.

"Kenyataan ini adalah pembohongan yang nyata kerana seluruh institusi perkhidmatan awam mengetahui bahawa gaji menteri lebih tinggi daripada pegawai yang digajikan secara kontrak 'for service'  dan menerima gaji secara 'lump sum'.

"Kit Siang juga jelas berbohong kerana apabila mengulas ucapan Presiden UMNO di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017, Puad melakukannya di atas kapasiti Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia dan bukan sebagai Ketua Pengarah JASA seperti yang didakwa.

"Ini hanya salah satu contoh pembohongan Kit Siang dan DAP, tidak termasuk pembohongan yang lain seperti dongeng 40,000 pengundi Bangladesh, 'black out semasa pengiraan undi' dan lain-lain pembohongan lagi, termasuk yang berkaitan 1MDB," katanya.

Tun Faisal turut bertanya benarkah Kit Siang tidak mahu menjadi Perdana Menteri kerana bekas Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Jawi, Tan Beng Huat mengakui sudah beberapa kali mendengar Kit Siang meletakkan harapan mahu menjadi Perdana Menteri.

"Perkara ini bukan mustahil kerana DAP boleh menuntut hak ini jika mereka menguasai lebih banyak kerusi-kerusi DUN di negeri seperti di Pulau Pinang dan Selangor sehingga menjadikan mereka berkuasa di negeri-negeri tersebut.

"Berdasarkan hujah bahawa gabungan parti PAN, PPBM dan PKR hanya mampu menarik sokongan 30 peratus pengundi kaum Melayu dan baki 70 peratus adalah undi kaum Cina yang majoritinya diusahakan oleh DAP," tambahnya lagi.

Menurut Tun Faisal, sikap DAP terhadap agama dan institusi Islam selama ini membuktikan ancaman parti ini terhadap Islam adalah benar kerama dalam perlembagaan DAP sendiri menyebut bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah "dokumen sekular dan antara matlamat DAP adalah untuk mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal", iaitu suatu perkara yang menafikan kedudukan istimewa Islam sebagai agama Persekutuan dan peranan serta pemgaruhnya dalam penentuan dasar, program serta aturan-aturan tertentu di dalam negara.

"Sudah tentu Kit Siang tidak senang hati apabila Mohd Puad membangkitkan pula tentang hasrat DAP mahu menjadikan orang Kristian sebagai Perdana Menteri. Walaupun DAP menafikannya, bekas ahli DAP, Razali Abdul Rahman, orang Melayu yang pernah menjadi orang kanan Lim Guan Eng, telah membuat laporan polis mengesahkan dakwaan ini dan mengakui bahawa beliau sendiri hadir dalam pertemuan paderi yang turut di hadiri oleh Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Oii.

"Tidak perlu Kit Siang berlakon seolah-olah sangat prihatin mengenai soal tadbir urus dan kleptokrasi kerana negeri yang ditabdir DAP dan anaknya sendiri telah ditadbir dengan begitu teruk dan anaknya sendiri didakwa at atas kesalahan rasuah.

"Keprihatinan palsu Kit Siang ini juga jelas apabila dia sanggup bekerja sama dengan 'kleptokrat sebenar' yang pernah didakwa oleh Kit Siang sendiri telah mengakibatkan negara hilang berbilion ringgit akibat "skandal Forex Bank Negara" dan yang mengamalkan nepotisme serta kroni kapitalisme sehingga anak-beranaknya boleh menjadi begitu kaya dalam masa yang singkat.

"Keprihatinan Kit Siang terhadap demokrasi juga hanya sandiwara semata-mata kerana di dalam parti DAP, pemilihan jawatankuasa pusat telah diserang sebagai suatu proses yang tidak demokratik dan melanggar peraturan.

"Manakala dari aspek pentadbiran parti, bekas ahli DAP sendiri, Tan Beng Huat menyebut, "dia (Kit Siang) bukan sahaja tidak bertolak-ansur, dia juga diktator. Cuba lihat apa yang dia dan anaknya lalukan terhadap mereka yang menentang," jelasnya.-12/12/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 550  tetamu dalam talian