22September2018

DAP paling untung... PAN yang paling malang

PAS menyifatkan keputusan terbaru pembahagian kerusi Parlimen antara parti komponen Pakatan Harapan (PH) hanya memberi kelebihan dan keuntungan kepada DAP.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata walaupun di atas kertas menyaksikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mendapat agihan jumlah kerusi terbanyak namun hakikatnya DAP yang akan untung.

"Saya rasa ia di luar kemampuan PPBM untuk memenangi kesemua 52 kerusi yang akan ditandingi, sebaliknya untuk kalah itu besar dan akhirnya DAP juga yang akan dominan kerana mereka mempunyai pengundi tersendiri selain memiliki kerusi tradisi (potensi menang)," katanya.

Beliau berkata cara pembahagian kerusi tersebut mungkin strategi untuk meraih sokongan daripada pengundi Melayu dan seolah-olah menunjukkan bahawa DAP tidak dominan dalam PH.

Sementara itu, bagi Ketua Dewan Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pula serpihan PAS iaitu PAN disifatkan malang kerana menerima jumlah kerusi yang paling sedikit dalam PH.

Menurutnya keputusan itu sudah semestinya membangkitkan kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan parti itu yang sebelum ini pernah memperlekehkan Pas dengan mengatakan bahawa mereka akan bertanding di mana-mana sahaja.

“Mereka marah, sedih dan bungkam kerana diisytiharkan dengan jumlah kerusi yang sedikit sesudah mereka ketawa memperlekeh Pas mengisytiharkan diri bertanding di mana-mana saja kerusi.

“Sedih sang malang. Ketawa sang maling,” katanya menerusi status akaun Facebook.

Pakatan Harapan mengumumkan pengagihan kerusi Parlimen akan ditandingi parti komponen itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) iaitu PPBM (52) , Parti Keadilan Rakyat (PKR) (51) DAP (35) dan Parti Amanah Negara (PAN) (27), keseluruhannya 165 kerusi di Semenanjung Malaysia.

 

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 596  tetamu dalam talian