17November2018

Shafie didakwa untuk takutkan peguam - Najib

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa pertuduhan terhadap Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini boleh dilihat sebagai satu langkah untuk menakutkan atau menghalang beliau dan peguam lain daripada mewakilinya di mahkamah.

Najib turut mendakwa pertuduhan terhadap Muhammad Shafee mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 merupakan satu tindakan untuk menafikan hak beliau mendapatkan perbicaraan yang adil.

"Membuat dakwaan terhadap Tan Sri Shafee kerana menerima pembayaran bagi khidmat guamannya adalah satu duluan (precedent) perundangan yang berbahaya buat semua peguam, ahli profesional dan perniagaan.

"Tiada siapa akan selamat jika kerajaan memilih untuk menjadikan anda mangsa atau melakukan penindasan terhadap anda," kata Najib dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Najib mendakwa pemilihan masa bagi menuduh Muhammad Shafee mengejutkan kerana beliau masih tidak lagi diambil keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ataupun berpeluang untuk memberi bukti dokumen-dokumen berkaitan.

"Ini bermakna siasatan masih lagi belum lengkap sebelum Tan Sri Shafee dituduh di mahkamah," kata Najib.

Muhammad Shafee merupakan peguam utama yang mengetuai barisan tujuh peguam bela yang mewakili Najib ketika bekas Presiden UMNO itu didakwa pada 4 Julai lalu atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk kepentingan peribadi melibatkan RM42 juta berkaitan syarikat SRC International Sdn. Bhd.

Muhammad Shafee juga mewakili Najib ketika didakwa pada 8 Ogos lalu atas tujuh pertuduhan termasuk tiga pertuduhan baharu iaitu didakwa menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram yang dikaitkan dengan dana syarikat SRC International, empat tahun.-13/9/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 477  tetamu dalam talian