16Oktober2018

Seorang lagi MP UMNO 'hilang'... belum angkat sumpah di Dewan Rakyat

Seorang lagi Ahli Parlimen UMNO 'hilang' selepas tidak hadir angkat sumpah Ahli Parlimen yang diadakan pada Selasa di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Sipitang Yamani Hafez Musa yang juga anak kepada Datuk Seri Musa Aman tidak dapat dikesan kerana dipercayai berada di luar negara.

Yamani Hafez yang juga Ketua Pemuda UMNO Sabah dipercayai mengiut jejak bapanya yang kini berada di London.

Setiausaha Pemuda UMNO Sabah, Bahrin Abdul Karim ketika dihubungi berkata, kali terakhir beliau berjumpa dengan Yamani Hafez adalah di kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah di Sri Gaya selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), iaitu sebelum Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri.

"Selepas itu, kami terputus hubungan. Beliau tidak menghubungi sesiapa pun antara kami (ahli Pemuda UMNO). Saya percaya beliau berada di London menemani bapanya," katanya dipetik Berita Harian.

Bahrin yang juga Timbalan Ketua UMNO bahagian Kota Kinabalu berkata, Yamani masih memimpin pergerakan Pemuda UMNO di Sabah sementara menunggu pelantikan baharu oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Sementara itu, Mazlan @ Joehari Manan yang menggantikan Yamani Hafez sebagai Ketua Pemuda UMNO Sipitang berkata, beliau juga terputus hubungan dengan Ahli Parlimen Sipitang itu dan kali terakhir berhubung ketika pemilihan UMNO untuk meminta kebenarannya menggantikan jawatan itu dan Yamani Hafez memberi persetujuan.

"Saya tak pasti di mana sebenarnya beliau berada, tetapi saya dengar di luar negara," katanya sambil menambah sayap Pemuda UMNO Sipitang kini menumpukan usaha untuk memperkukuh pergerakan itu.

Selepas PRU-14, Musa dilaporkan ke Kuala Lumpur pada 14 Mei, dua hari selepas Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Musa kemudian dilihat berada di London sebelum mengeluarkan kenyataan menerusi peguamnya yang mendakwa kini mendapatkan rawatan di negara itu.-18/7/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 535  tetamu dalam talian