25September2018

Rundingan kerusi PH Selangor buntu... PKR mahu 28 DUN

PKR Selangor mahu bertanding di 28 kerusi DUN di mana 21 daripadanya mereka tandingi pada PRU13 manakala tujuh lagi kerusi DUN yang sepatutnya ditandingi PAS.

Berikutan itu, wujud bantahan antara PAN dan PPBM yang hanya 'berebut' 13 kerusi DUN sahaja, selepas DAP mahu bertanding semula di 15 kerusi yang dimenangi mereka sebelum ini.

Akhirnya semua pihak, kecuali DAP, terpaksa balik ke 'drawing board' lagi untuk kali ketiga selepas rundingan pembahagian 56 kerusi DUN di Selangor menemui jalan buntu.

“Pengagihan kerusi DAP boleh dikatakan sudah selesai selepas, Pakatan Selangor bersetuju memberikan balik kesemua 15 kerusi yang dimenangi pada PRU yang lepas.

“Yang menjadi masalah adalah rundingan antara PKR, PAN dan PPBM,” kata sumber.

Menurutnya, PAN dan PPBM tidak senang dengan cadangan PKR yang mahu mendominasi pembahagian kerusi DUN di Selangor.

PKR pula memberikan alasan mahu tambahan tujuh kerusi yang dikatakan itu bukan untuk ditanding oleh calon PKR, tetapi untuk beberapa pemimpin PAS yang sedia berhijrah ke PKR selepas DUN Selangor dibubarkan.

“Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Azmin Ali) bertegas untuk mengekalkan tujuh kerusi tersebut, selepas adanya rundingan dengan beberapa pemimpin PAS dari pucuk pimpinan PAS Selangor bertanding dibawah tiket PKR pada PRU akan datang.

“Buat masa ini mereka tidak nak ke PKR kerana isu bai’ah,” kata sumber itu lagi.

“Ini yang mengakibatkan PAN dan PPBM kekurangan kerusi DUN di Selangor. Namun, kita perlu memahami bahawa rundingan kerusi ini perlu ada sikap bertolak ansur.

“Sebagai contoh, di Terengganu dan Perak, PKR telahpun, memberi peluang kepada PPBM bertanding di kerusi yang dipernah ditanding oleh PKR.

“Jadi, kami nak di Selangor, mereka bertolak ansur dan memahami keadaan politik semasa di mana PKR lebih sesuai bertanding di lebih banyak kerusi berbanding PAN dan PPBM,” jelasnya.

Untuk rekod, pada PRU13, Pakatan Rakyat memenangi 44 kerusi DUN berbanding BN yang hanya menang 12 kerusi sahaja.

DAP mengetuai Pakatan dengan 15 kerusi diikuti PAS juga 15 kerusi dan PKR 14 kerusi DUN.

Namun, dua ADUN PAS keluar dari parti tersebut menyertai Amanah menjadikan jumlah kerusi berkurang kepada 13 sahaja.

Manakala, bekas MB Selangor Tan Sri  Abdul Khalid Ibrahim dan Adun Teluk Datuk, Loh Chee Heng dipecat dari parti PKR dan DAP dan menjadi ADUN Bebas.-13/3/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 577  tetamu dalam talian