26September2018

PRU-14: BN pilih calon disukai rakyat

Dengan menggabungkan calon muka lama dan muka baru, seimbang antara lelaki, wanita... BN sudah bersedia untuk menghadapi pilihanraya bila-bila masa.

Tapi ada pesanan untuk calon yang tidak terpilih nanti... mereka perlu berlapang dada dan terus menyokong calon yang terpilih mewakili parti.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, beliau sedia maklum terdapat segelintir ahli-ahli parti cuba menonjolkan diri agar dipilih sebagai calon.

“Kita tidak suruh mereka promosi diri, tetapi mereka sendiri yang hendak buat. Kalau tidak dapat jadi calon, terima sahaja kenyataan.

“BN merupakan satu parti berstruktur dan mempunyai tatasusila dan bukan seperti parti lain yang carba-marba dengan diasaskan atas faktor kekecewaan,” katanya di Putrajaya pada Khamis.

Beliau berkata, senarai nama calon sudah berada dalam tangan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dimuktamadkan.

Tengku Adnan berkata, nama-nama tersebut sudah melalui proses saringan khas dan akan melalui tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Jabatan Insolvensi.

“Kita mahu calon yang dipilih ini disukai rakyat dan bukannya disukai parti atau individu tertentu. Hal ini kerana akhirnya rakyat juga yang akan menentukan siapa wakil mereka.

“Siapa nama calon itu kena tunggulah, itu rahsia. Tetapi saya boleh katakan ia mestilah seimbang antara wanita, pemuda, calon lama mahupun baharu,” katanya.

Ketika ditanya mengenai calon kitar semula, Tengku Adnan selaku Menteri Wilayah Persekutuan menjelaskan, parti akan menyaring terlebih dahulu untuk menentukan sama ada mereka benar-benar memberi kemenangan atau sebaliknya.

Menurut beliau, calon-calon yang kecundang ketika PRU-13 perlu menjelaskan kepada parti berhubung punca kekalahan mereka." katanya.

Ditanya mengenai tindakan beberapa parti komponen BN termasuk MCA, GERAKAN dan MIC yang sudah menyerahkan senarai calon dan mengumumkan calon mewakili parti masing-masing, Tengku Adnan berkata, ia mungkin disebabkan jumlah calon dan kerusi bagi parti itu yang agak sedikit berbanding UMNO.

"Mereka boleh umum tetapi kita akur kepada saranan Presiden agar ia tidak dilakukan hingga pengumuman rasmi calon dibuat apabila tiba masanya," katanya.-23/2/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 488  tetamu dalam talian